Malaysia merekodkan jumlah perdagangan keseluruhan sebanyak RM249.9 bilion pada bulan Mac 2025, melibatkan nilai eksport RM137.3 bilion dan import RM112.6 bilion. Statistik ini diterbitkan menerusi laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, Mac 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, prestasi eksport mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak RM8.7 bilion atau 6.8% berbanding Mac 2024. Lonjakan ini dipacu oleh peningkatan eksport di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang (+RM10.7 bilion), Selangor (+RM4.2 bilion), Melaka (+RM744.9 juta) dan Kelantan (+RM12.1 juta).
Namun begitu, penurunan eksport turut direkodkan di beberapa negeri, termasuk Johor (-RM1.4 bilion), Perak (-RM1.3 bilion), Kedah (-RM883.7 juta), Sarawak (-RM849.2 juta), Pahang (-RM798.0 juta), Sabah (-RM519.2 juta), W.P. Kuala Lumpur (-RM500.4 juta), Negeri Sembilan (-RM413.5 juta), W.P. Labuan (-RM180.7 juta), Terengganu (-RM116.3 juta) dan Perlis (-RM12.2 juta).
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan sebanyak 37.8%, diikuti oleh Selangor (18.9%), Johor (17.8%), Sarawak (7.0%), dan W.P. Kuala Lumpur (3.8%).
Bagi prestasi import pula, jumlah import negara pada Mac 2025 mencatatkan penurunan tahunan sebanyak RM3.3 bilion atau -2.8%. Penurunan ini berpunca daripada penurunan nilai import di kebanyakan negeri seperti Johor (-RM6.0 bilion), Melaka (-RM1.6 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.5 bilion), Sarawak (-RM535.8 juta), Pahang (-RM410.0 juta), Kedah (-RM192.0 juta), Terengganu (-RM102.9 juta), Perlis (-RM94.2 juta), Kelantan (-RM55.9 juta), W.P. Labuan (-RM47.2 juta) dan Sabah (-RM13.0 juta).
Sebaliknya, terdapat peningkatan import di empat negeri utama iaitu Pulau Pinang (+RM5.2 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.2 bilion), Selangor (+RM192.5 juta) dan Perak (+RM173.2 juta).
Dari segi agihan import, Selangor mencatatkan bahagian tertinggi iaitu 24.5%, diikuti oleh Pulau Pinang (24.4%), Johor (23.4%), W.P. Kuala Lumpur (8.8%) dan Kedah (4.9%).
Sebagai tambahan, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, yang bertujuan memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.
Bagi meraikan kepentingan statistik dalam kehidupan seharian, 20 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’. Pada masa yang sama, Hari Statistik Dunia Keempat juga akan disambut pada tarikh yang sama dengan tema ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.
Untuk maklumat lanjut dan akses kepada pelbagai data serta visualisasi statistik negara, orang ramai boleh mengunjungi portal OpenDOSM NextGen di: https://open.dosm.gov.my.