AYER HITAM, 10 Februari 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus memperkasakan sektor pertanian dengan penganjuran Jelajah Malaysia Digital (JMD) @Kedah. Program ini menumpukan kepada penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT) dalam inisiatif Digital AgTech, yang bertujuan meningkatkan produktiviti pertanian serta memastikan keterjaminan makanan negara.
JMD @Kedah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memacu ekonomi digital, selari dengan sasaran sumbangan 25.5% kepada KDNK menjelang 2025. Sejak pelancaran Digital AgTech pada November 2023, lebih 600 sistem telah diterapkan di seluruh negara dan memberi manfaat kepada lebih 30,000 usahawan tani.
Di Kedah, sebanyak 40 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan pada tahun 2024 melibatkan sektor tanaman, ternakan, dan akuakultur. Tahun 2025 pula menyaksikan pelaksanaan 15 projek tambahan dengan nilai melebihi RM300,000 bagi memperluas penerapan teknologi pertanian digital.

Transformasi ini membawa impak positif kepada sektor pertanian dengan peningkatan produktiviti sehingga 20%, peningkatan pendapatan sebanyak 20%, serta pengurangan kos operasi sebanyak 30%. Selain itu, program ini turut membantu golongan B40 dan menarik minat belia, dengan lebih 50% peserta berusia di bawah 40 tahun dan berpotensi menjana pendapatan tambahan hingga RM10,000 setahun.
JMD @Kedah turut merangkumi lawatan tapak ke fasiliti akuakultur berteknologi AI, sesi perkongsian impak keberhasilan pendigitalan dalam pertanian, serta sesi libat urus antara usahawan tani dan pemegang taruh industri bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam ekosistem Digital AgTech.
Majlis perasmian JMD @Kedah telah disempurnakan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, bersama pemimpin utama KPKM dan MDEC. Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai agensi seperti MARDI, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Agrobank, dan syarikat teknologi termasuk Pacton Technologies serta Blue Archipelago Berhad.
Dengan kejayaan Digital AgTech, kerajaan komited untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian demi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan daya saing industri agro di Malaysia