Jangan sesekali meninggi diri

Jangan sesekali meninggi diri

DALAM kehidupan bermasyarakat, lazimnya golongan yang bersikap rendah diri akan mendapat tempat kerana kemuliaan sifat mereka berbanding dengan orang yang gemar meninggi diri.

Benar, mereka yang merendah diri sebenarnya sentiasa bersederhana dalam banyak perkara dan tidak menganggap dirinya begitu istimewa.

Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT memberikan wahyu kepada saya supaya kamu semua suka merendah diri sehingga tiada seorang pun melakukan kezaliman kepada orang lain dan tiada seorang pun yang merasa dirinya lebih tinggi darjatnya daripada orang lain (yakni membanggakan diri).” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Apabila seseorang memiliki sifat merendah diri, tiada ruang di dalam hatinya untuk meninggi diri.

Diceritakan seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Ubaidah al-Jarrah ketika beliau menjadi imam untuk satu solat jemaah, usai solat, beliau berkata: “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya berasakan aku ini lebih hebat daripada orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Jika sahabat nabi pun dihasut syaitan dengan mudah, apatah lagi kita.

Justeru, marilah kita raih sikap tawaduk dalam diri dengan melakukan perkara berikut:

1. Sentiasa bersangka baik dengan sesiapa sahaja.

2. Mengamalkan sunah secara sederhana dan tidak bermewah dengan harta dunia.

3. Menghormati hak jiran tetangga.

4. Tidak menzalimi sesama makhluk.

5. Tidak menghina seseorang di atas kesalahan yang pernah dilakukan.

6. Menghormati sesiapa sahaja yang lebih muda atau orang tua.

Apa kata kita cuba praktikkan semua perkara itu di dalam komuniti masing-masing.

Ia bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga kebaikan bersama dalam hidup bermasyarakat.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *