Jadikan al-Quran standard kehidupan – Sinar Harian

PUTRAJAYA – Umat Islam diseru untuk menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai standard kehidupan harian, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Menurutnya, al-Quran bukan sekadar menjadi panduan hidup beragama dengan amalan ibadah semata-mata, tetapi kehidupan seharian secara holistik.

“Hari ini orang bercakap mengenai standard kehidupan, tetapi garis panduan yang terbaik sebenarnya datang daripada ALLAH SWT.

“Sempena Ramadan ini, kita manfaatkan mukjizat al-Quran dengan menyemai amalan baik iaitu berinteraksi dengan al-Quran. Kita ada hak berkaitan al-Quran iaitu membaca, bertilawah, bertadabbur, memahami makna dan pengertian, seterusnya mengamalkannya.

“Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita memahami dan mengaplikasikan mesej al-Quran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Jakim sebagai Penaung program #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) meneruskan sokongan bagi program World #QuranHour kali ketujuh pada 24 Ramadan 1443H bersamaan 26 April ini, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Disember depan.

Tiga program utama tersebut turut mendapat kerjasama daripada rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Hakimah berkata, World #QuranHour dilihat berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Tahun ini katanya, Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan pada kempen gerakan al-Quran dalam membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) sepanjang tahun ini.

“Surah Al-Sajdah ayat 6 hingga 9 menceritakan bagaimana ALLAH SWT yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib, dan Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. ALLAH Maha Berkuasa menjadikan segala sesuatu dan menciptakan manusia daripada tanah.

“Jika dilihat daripada sumber asal kejadian kita, tidak selayaknya mendapat penghormatan. Namun ALLAH meniupkan roh, memuliakan dan menjadikan kita sebagaimana sekarang ini, tetapi sangat sedikit dalam kalangan kita yang bersyukur.

“Kesyukuran membawa kita bersujud kepada pencipta alam semesta. Ini adalah perkara yang sangat penting. ALLAH membekalkan kita dengan pelbagai sumber kehidupan termasuk pendengaran, penglihatan dan segala nikmat kita untuk menjalani kehidupan seabgai khalifah di muka bumi ini.

“Sekiranya seseorang itu tidak sedar bahawa kebergantungannya hanya kepada ALLAH SWT semata-mata, dia seperti orang yang menzalimi diri sendiri. Dengan bersujud, hubungan kita dengan ALLAH maha pencipta menjadi lebih dekat,” ujar beliau.

Katanya lagi, sujud memainkan peranan penting untuk mempamerkan rasa syukur kita kepada ALLAH SWT atas segala kurniaan-Nya. Penghayatan kepada al-Quran sebagai panduan hidup memberi kesan sangat besar kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Hakimah menambah, jika seseorang itu meninggalkan al-Quran, ini bermakna dia menjauhkan diri daripada agama. Hebatnya al-Quran daripada ALLAH SWT mampu melembutkan hati Saidina Umar Al Khatab yang terkenal dengan sifat tegas, garang dan keras hati.

“Semoga kita mendapat petunjuk dan hidayah ALLAH untuk meneruskan kehidupan lebih baik di muka bumi dan di akhirat,” ujarnya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai World #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/REGWQH2022.

Sumber