Insomniacks, kumpulan pop rock tempatan, sekali lagi membuktikan pengaruh besar mereka apabila tiket konsert jelajah Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu habis terjual dalam masa singkat. Fenomena serupa turut berlaku di Capitol Theatre, Singapura pada 16 Ogos apabila semua tiket berjaya dijual sehingga ke barisan terakhir. Sambutan hangat itu tidak terhenti di situ kerana cenderahati rasmi konsert juga habis dibeli di lokasi sehingga stok licin, menandakan sokongan padu yang tidak pernah putus daripada peminat. Bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi, koleksi barangan rasmi kini turut ditawarkan secara dalam talian di umusic.my.
Kejayaan Insomniacks yang berjaya mencatatkan jumlah penstriman tertinggi di Carta RIM pada tahun 2024 bukan alasan untuk mereka berhenti berkarya. Sebaliknya, pencapaian itu dijadikan dorongan untuk terus memperkukuh karya muzik dan persembahan, dengan tekad untuk kekal relevan sebagai kumpulan pilihan generasi muda. Momentum ini diteruskan dengan kehadiran single terbaru berjudul Seperti Dulu yang diperdengarkan buat pertama kali di Singapura dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2025. Lagu ini digambarkan sebagai sebuah surat cinta istimewa buat semua pendengar dan penyokong setia yang telah bersama mereka sejak awal perjalanan muzik.
Menurut anggota kumpulan, Seperti Dulu ditulis sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan, sambil mengingatkan bahawa setiap momen bersama tetap bermakna. Dari sudut kreatif, liriknya ditulis bersama oleh anggota kumpulan manakala komposisi disusun oleh Iqie dengan kerjasama rapat bersama Taja. Hasilnya ialah sebuah karya yang jujur dengan sentuhan nostalgia yang membawa kembali memori era awal muzik Insomniacks, sekaligus mengekalkan hubungan istimewa dengan perjalanan seni mereka. Selepas pelancaran rasmi pada 29 Ogos, kumpulan ini akan meneruskan promosi ke Jakarta pada penghujung September, sekali lagi membuktikan semangat mereka untuk membawa muzik melangkaui sempadan.