Tuah nyata menyebelahi enam ahli PlusOne apabila pembelian mereka sepanjang kempen Goal!!! Untung Raya membawa kepada pengalaman eksklusif bernilai RM222,000, termasuk percutian ke Mexico dan peluang menyaksikan aksi bola sepak bertaraf dunia secara langsung.

Keenam-enam pemenang berlepas dari KLIA pada petang Rabu untuk mengikuti perjalanan selama lapan hari empat malam yang menjanjikan pelbagai pengalaman menarik. Kempen yang berlangsung hampir tiga bulan bermula 21 Februari hingga 30 April 2026 berjaya menarik lebih 61,000 penyertaan dari seluruh negara, dengan pemenang terdiri daripada pelanggan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Emma (Lee Kia Xuan) berkata, panggilan yang diterimanya daripada Senheng menjadi antara detik paling menggembirakan dalam hidupnya. “Saya benar-benar tidak menjangkakan kemenangan ini. Ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” katanya.

Ahmad Badli Shah pula menyifatkan hadiah tersebut sebagai penghargaan paling bermakna sepanjang menjadi ahli PlusOne. Menurut Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng, kempen tersebut adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk terus memberikan pengalaman yang lebih bernilai kepada pelanggan.

Beliau berkata, Senheng akan terus memperkenalkan ganjaran yang inovatif melalui ekosistem omnichannel, sekali gus memastikan pelanggan menikmati lebih banyak manfaat setiap kali berbelanja. Kini dengan lebih empat juta ahli PlusOne di seluruh negara, Senheng terus memperkukuh kedudukannya sebagai peruncit yang bukan sahaja menawarkan produk berkualiti, malah pengalaman yang mampu mencipta kenangan seumur hidup.