Ejens, masa untuk aktifkan semula memori anda! Sebelum “Ejen Ali The Movie 2” menghentam pawagam pada 22 Mei ini, jom kita imbas kembali perjalanan luar biasa seorang budak biasa bernama Ali yang kini menjadi ejen penting dalam mempertahankan Cyberaya. Daripada musim 1 hingga musim 3 termasuk filem pertama yang sarat dengan aksi, semuanya telah dihimpunkan untuk membakar semangat anda menjelang misi terbaru di layar perak. Bagi yang belum ‘khatam’ kisah Ali, ini peluang terbaik untuk ulang tayang dan memahami segala detik penting sebelum menyertai misi baharu.
Musim 1: Permulaan Ali sebagai Ejen MATA
Perjalanan Ali sebagai ejen bermula tanpa dirancang hanya kerana membeli nasi lemak tempoyak udang dalam perjalanan ke sekolah! Secara tidak sengaja, Ali telah mengaktifkan IRIS, alat perisikan canggih milik agensi rahsia MATA. Dengan kuasa IRIS, Ali diberi keupayaan persepsi luar biasa, sekali gus membawa dirinya ke dalam dunia ejen perisik. Dibantu oleh pak ciknya Ejen Bakar dan rakan sekelas Ejen Alicia, Ali menghadapi cabaran besar apabila musuh berbahaya, Uno, muncul dengan dendam lama terhadap MATA. Musim ini membuka mata Ali kepada konflik tersembunyi yang berlaku di sebalik keindahan bandar futuristik Cyberaya, sambil memupuk nilai keberanian dan tanggungjawab dalam dirinya.
Musim 2: Mengenal Erti Persahabatan di Akademi MATA
Dalam musim kedua, Ali diserap ke Akademi MATA untuk menjalani latihan bersama ejen muda lain. Di sinilah dia mula memahami dinamika kerja berpasukan, cabaran berdepan ketidakyakinan diri, dan kepentingan mempercayai rakan seperjuangan. Namun, krisis lebih besar tercetus apabila Uno kembali bersama pasukan penjahat Numeros untuk merampas IRIS daripada Ali. Episod penuh aksi ini menyaksikan bagaimana Ali dan rakan-rakannya mengatasi konflik demi menyelamatkan MATA dan Cyberaya.
Ejen Ali The Movie (2019): Konflik Peribadi yang Menguji Kesetiaan
Filem sulung Ejen Ali membawa penonton menyelami dilema dalaman Ali apabila IRIS ditukar kepada versi baharu, IRIS Neo, yang boleh digunakan oleh ejen lain. Ali rasa tercabar dan kehilangan arah. Dalam kekeliruan itu, dia bertemu Niki individu misteri yang mendedahkan realiti masyarakat tersisih di Pinggiran Cyberaya. Kini, Ali harus memilih antara kesetiaan kepada MATA atau memperjuangkan kebenaran yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
Musim 3: Ali Berjuang Demi Legasi Ibunya di Arena MATA
Musim ketiga menyaksikan Ali cuba menebus kesilapan lalu setelah disingkirkan sebagai pengendali IRIS. Peluang kedua datang apabila dia dijemput menyertai pertandingan Arena MATA bersama ejen muda lain, termasuk empat ejen antarabangsa. Tanpa disedari, pertandingan ini menjadi medan pemilihan pengendali IRIS baharu. Di samping itu, Ali mendapat tahu bahawa ibunya, Aliya, merupakan antara pencipta IRIS dan juara Arena MATA suatu ketika dahulu. Kesedaran ini membakar semangat Ali untuk meneruskan perjuangan, terutama apabila ancaman baru muncul melalui kebangkitan Cinco dan Rizwan.
Sudahkah Anda Bersedia?
Ejens, misi kita belum selesai! “Ejen Ali The Movie 2” bakal menjanjikan lebih aksi, emosi dan pendedahan mengejutkan tentang dunia Cyberaya. Pastikan anda bersedia untuk menyertai misi ini bermula 22 Mei 2025 di pawagam seluruh negara. Jangan ketinggalan untuk menonton treler rasmi filem ini. Gunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #SatriaBangkit untuk kongsikan keterujaan anda dan semarakkan lagi perbualan di media sosial!