IHP meningkat pada kadar lebih perlahan 2.3 peratus pada Januari

INDEKS Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 2.3 peratus kepada 124.9 pada Januari 2022 daripada 122.1 pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Januari 2022 (1.9 peratus).

“Peningkatan inflasi ini telah didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan (6.0 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (3.6 peratus).

“Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.1 peratus); restoran dan hotel (2.1 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.2 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata, isu kenaikan harga makanan seperti sayur-sayuran, daging dan ikan yang berlarutan sejak beberapa bulan lepas berikutan kesan langsung daripada kekurangan bekalan serta kenaikan harga makanan ternakan sekali lagi memberi tekanan kepada inflasi makanan.

Beliau berkata, kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

Inflasi makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 3.6 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Makanan di rumah yang mengandungi bahan mentah untuk memasak di rumah meningkat 4.1 peratus.

Walaupun kenaikan tertinggi dicatatkan oleh daging (7.8 peratus), peningkatan subkumpulan ini adalah lebih perlahan berbanding peningkatan pada Disember 2021 (8.3 peratus).

Beliau berkata, ini disebabkan penurunan purata harga ayam mentah pada Januari 2022 kepada RM9.48 sekilogram berbanding RM9.54 pada Disember 2021.

“Ini diikuti kenaikan sayur-sayuran (5.0 peratus); susu, keju dan telur (4.7 peratus); minyak dan lemak (4.6 peratus); serta ikan dan makanan laut (4.2 peratus).

“Sementara itu, makanan di luar rumah meningkat 3.1 peratus dan antara makanan yang menunjukkan peningkatan adalah masakan berasaskan daging (6.3 peratus), masakan berasaskan sayur-sayuran (4.7 peratus), nasi berlauk (4.5 peratus) dan sate (3.9 peratus),” katanya.

Pada masa sama, kumpulan pengangkutan meningkat 6.0 peratus berikutan kesan asas yang lebih rendah disebabkan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 pada Mac 2021 (RM2.05) dan masih tinggi berbanding harga purata RM1.87 per liter pada Januari 2021.

Tambahan pula, harga purata petrol tanpa plumbum RON97 turut meningkat kepada RM3.06 per liter berbanding RM2.17 per liter pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, IHP kesemua negeri mencatatkan kenaikan iaitu lima negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.3 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9 peratus), manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.8 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.

Mohd Uzir berkata, inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 1.6 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan pengangkutan iaitu 3.3 peratus. Selain itu, kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah turut mencatatkan kenaikan 3.1 peratus, diikuti makanan dan minuman bukan alkohol (2.8 peratus) serta restoran dan hotel (2.1 peratus). – Bernama

Sumber