Ahsin. – Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
KUALA LUMPUR – Ibadah yang bersifat sosial dan spiritual perlu dilakukan secara seiring kerana ia menjadi formula untuk mendapat ganjaran pahala yang ‘lengkap’ dari ALLAH SWT.
Tokoh Huffaz Nusantara, Profesor Dr Ahsin Sakho Muhammad berkata, amalan yang bersifat spiritual atau kerohanian seperti solat akan memperkukuhkan lagi hubungan manusia dengan ALLAH.
Katanya, amalan sosial seperti menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang telah diberikan Yang Maha Esa.
“Jadi elemen sosial dan spiritual ini harus seiringan kerana jika seseorang itu hanya mementingkan spiritual tetapi melupakan aspek sosial, maka masih belum dapat ganjaran pahala (yang sempurna).
“Malah dalam al-Quran disebut ibadah yang kesan positifnya boleh dirasai seluruh manusia atau masyarakat, ia jauh lebih baik daripada ibadah yang hanya memberi manfaat pada dirinya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada slot perkongsian cabaran sosial dan spiritual yang dihadapi masyarakat sempena World #QuranConvention (WQC) 3.0 bertajuk ‘Coping With Challenges Surah Al-Sajdah’ di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di sini, pada Sabtu.
Slot yang dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail itu menyaksikan Qari My#QuranTime, Tirmizi Ali membacakan Surah Al-Fatir ayat 28 hingga 30.
Mengupas lanjut tentang ayat dari surah itu, Ahsin menjelaskan, pada ayat 30 Surah Al-Fatir, disebutkan bahawa ALLAH akan melengkapkan ganjaran pahala kepada hamba-Nya.