Hospital Columbia Asia lancar pusat kanser pertamanya

Dr Boon Kheng (kiri) melancarkan pusat kanser Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau pada Khamis.

Dr Boon Kheng (kiri) melancarkan pusat kanser Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau pada Khamis.

HOSPITAL Columbia Asia melancarkan pusat kanser pertamanya di cawangan Bukit Rimau di sini yang menawarkan perkhidmatan saringan kanser dan diagnostik, rawatan serta rehabilitasi.

Pengarah Urusan Columbia Asia, Dr Chan Boon Kheng berkata, pusat kanser tersebut turut dilengkapi peralatan serta pakar perubatan berpengalaman yang disokong pasukan radioterapi dan unit kimoterapi.

Menurutnya, pembukaan pusat kanser itu diharap memberikan rawatan holistik melalui pencegahan kanser, bimbingan serta sokongan buat pesakit.

“Penjagaan pesakit kanser memerlukan pendekatan menyeluruh serta disiplin yang tidak terhad kepada ubat-ubatan sahaja.

“Dengan pendekatan integratif, kami menyediakan pelan rawatan khusus untuk setiap pesakit melalui gabungan inovasi klinikal serta penjagaan khusus untuk setiap pesakit bagi memberikan rawatan kualiti serta terbaik,” katanya pada pelancaran pusat kanser Hospital Columbia Asia pada Khamis.

Bilik kawalan bagi pemantauan pesakit yang menjalani rawatan di bilik radiasi.

Bilik kawalan bagi pemantauan pesakit yang menjalani rawatan di bilik radiasi.

Dr Boon Kheng berkata, laporan daftar kanser kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peningkatan 11 peratus kes kanser baharu dengan lebih 30 peratus kematian direkodkan berbanding tahun 2007-2011.

“Kami menyasarkan penubuhan pusat kanser di Bukit Rimau ini mampu mengurangkan kes melalui pengesanan kanser di peringkat awal, meningkatkan peratus sembuh serta rawatan terbaik buat pesakit.

“Kami juga akan perluas kesedaran kanser dengan bekerjasama dengan rakan strategik dan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) dan Cansurvive,” jelas beliau.

Sempena pembukaan pusat kanser itu, Hospital Columbia Asia mengambil inisiatif Breaking Barriers menerusi kempen #ClockOut2CheckUp menerusi saringan kanser percuma ke atas 275 kakitangannya.

Kini, hospital itu turut menawarkan lebih 1,000 saringan kepada mana-mana syarikat yang berminat menyertai inisiatif tersebut dengan mendaftar di www.columbiaasia.com/ClockOut2CheckUp bermula 29 September hingga 31 September 2022.

Pihak hospital juga akan menawarkan 200 saringan kanser melibatkan orang awam mulai 1 Oktober 2022.

Sumber