Honda RS-X Menjadi Rezeki Penonton Bertuah Anugerah Lagu Indie 2024

Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) yang meraikan bakat serta karya muzik bebas tanah air telah melengkapkan sesi penyampaian hadiah untuk peraduan “Tonton ALI24 & Menang Motor”. Pemenang diumumkan ketika siaran langsung Pentas Akhir pada 27 Julai lalu. Tahun ini menandakan kerjasama kali kedua antara Honda Motorcycle Malaysia dan Anugerah Lagu Indie, dengan sebuah motosikal Honda RS-X Winner bernilai RM10,298.00 dijadikan hadiah utama.

Peserta bertuah, Fathana Nadirah bt Mohd Tareh, 36 tahun, diumumkan sebagai pemenang motosikal tersebut. Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Honda Impian X V Power Motor Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, disempurnakan oleh Steven Chin selaku Division Head of Marketing bersama Jennifer Thompson, Co-EP Anugerah Lagu Indie 2024. Turut hadir memberi sokongan ialah Eddick Cheah, Brand Comms Manager; Helmi Azman daripada pasukan Maeztro SCK Honda Racing Team; serta Haziq Fairuze daripada pasukan Idemitsu Honda Yam Racing. Tajaan ini digerakkan dengan tujuan mengukuhkan lagi hubungan antara Honda dan golongan belia di Malaysia melalui pertandingan interaktif khas di ALI24.

Peraduan ini dijalankan eksklusif di Platform X untuk penonton siaran langsung YouTube rasmi ALI (@anugerahlaguindie). Tiga kod unik dikongsikan sepanjang siaran dalam segmen berbeza. Peserta perlu mengumpulkan ketiga-tiga kod tersebut dan menjawab satu soalan berkaitan Honda. Bagi melengkapkan penyertaan, peserta perlu menghantar ciapan di Platform X dengan menyertakan kod, jawapan, tag @anugerahlaguindie dan @hondamotorcycle.my serta tanda pagar #ALI2024HONDA.

Pemenang ditentukan berdasarkan penyertaan yang dihantar paling pantas dan lengkap. Promosi berlangsung dari 21 hingga 27 Julai 2025, manakala pertandingan hanya dibuka pada 27 Julai 2025. Pemenang diumumkan secara rasmi sewaktu Malam Finale ALI24 di Jiospace, Petaling Jaya.