Haramain #QuranHour di Tanah Suci

Haramain #QuranHour di Tanah Suci

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) akan meneruskan lagi kerjasama menggerakkan kempen #QuranHour dengan memfokuskan pengisian al-Quran kepada para jemaah haji Malaysia pada musim haji yang diadakan sejak tahun 2015.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, TH mendapat sokongan yang penuh daripada rakan sinergi yang juga penganjur World #QuranHour iaitu Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd untuk menggerakkan Haramain #QuranHour ketika musim haji nanti.

“Insya-ALLAH, TH mendapat komitmen dan sokongan yang kuat daripada Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dan merekalah tulang belakang TH dalam merealisasikan Haramain #QuranHour yang bakal diadakan nanti.

“Kerjasama ini akan dieratkan dari masa ke masa selari dengan komitmen TH untuk meneruskan gerakan memupuk masyarakat di seluruh dunia berinteraksi dengan al-Quran,” katanya pada sidang media sempena Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Penutupan Program RSR (Rejab, Syaaban, Ramadan) di Dewan Besar TH di sini semalam.

Hussamuddin & Zukri

Hussamuddin & Zukri

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyambut baik komitmen TH dan berbesar hati untuk melancarkan lagi kerjasama menggerakkan kempen Haramain #QuranHour di Tanah Suci sepanjang musim haji akan datang.

Katanya, jika pihak TH sudi bekerjasama dalam menggerakkan Haramain #QuranHour kepada jemaah Malaysia pada musim haji nanti, pihak Kumpulan Media Karangkraf akan membantu melancarkan lagi komitmen tersebut.

“Sebelum ini pun kita buat sendiri dan dengan bantuan yang sedikit kempen berkenaan menjadi. Kalau komitmen yang diberikan sebagaimana yang dikatakan Zukri, saya rasa insya-ALLAH.

“Objektif WUIF sebenarnya adalah untuk melahirkan sebuah gelombang. Bayangkan selama 44 hari di Tanah Suci, jemaah boleh setiap hari tadabbur Quran, fahami isinya dan kemudiannya tazakkur, melaksanakan dan mengamalkan pengajaran dari al-Quran. Di Arafah pula semua jemaah haji membaca al-Quran serentak dan apabila habis baca ada pula sesi tadabbur saya rasa kesannya sampai bergoncang dunia,” katanya.

Seorang kakitangan TH khusyuk membaca al-Quran pada Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Penutupan Program RSR di Dewan Besar TH.

Seorang kakitangan TH khusyuk membaca al-Quran pada Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Penutupan Program RSR di Dewan Besar TH.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyelamatkan ummah dan memastikan umat Islam memahami agama Islam dalam konteks sebenarnya sehingga mampu untuk membaca al-Quran melalui proses tadabbur dan tazakkur.

“Di sini, saya mahu menyampaikan pesanan kepada pengurusan TH, sebenarnya ALLAH SWT pilih anda semua untuk berada di tempat yang luar biasa ini dan sayang jika anda semua tidak merebut peluang ini dengan mencipta jalan singkat dengan melalui highway untuk ke syurga.

“Ini kerana setiap tahun berpuluh-puluh ribu jemaah tunai haji, beratus ribu tunai jemaah umrah tapi kita lihat tapi majoritinya apabila balik tetap seperti sebelumnya hanya segelintir sahaja berubah secara istiqamah.

“Saya sarankan supaya TH tukar pendekatan, maknanya 44 hari jemaah haji berada di tanah suci kena target ketika balik mereka sudah berjaya khatam secara bertadabbur al-Quran,” katanya.

Tambahnya, apabila jemaah balik daripada menunaikan haji atau umrah, al-Quran menjadi sistem operasi dalam hatinya, mindanya menjadi minda al-Quran dan akhlaknya menjadi akhlak al-Quran.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *