ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
DOKTOR, saya ada masalah gigi bergoyang. Namun, kalau boleh saya tidak mahu ia dicabut dan sangat berharap gigi ini dapat diselamatkan lagi. Apa nasihat yang boleh doktor berikan? -SAKIT GIGI, NUR ALIFAH MOHD RAHIM, SITIAWAN, PERAK
JAWAPAN:
GIGI yang bergoyang itu selalunya dikaitkan dengan penyakit periodontitis.
Periodontitis adalah keadaan yang mana gusi kita ada jangkitan.
Sebenarnya gusi kita ini dipegang oleh beberapa struktur dipanggil struktur penyokong gigi (tooth supporting structure) yang terdiri daripada:
1) Cementum (lapisan luar akar gigi)
2) Periodontal ligament (tali yang pegang gigi dengan tulang)
3) Alveolar bone (tulang yang mengadap akar gigi)
Untuk memudahkan pemahaman kita, bayangkan gigi kita ini terapung dalam tulang rahang.
Di sekeliling akar gigi itu ada tali-tali kecil (periodontal ligament) yang sangat banyak yang mengikat gigi antara cementum dan alveolar bone.
Jadi, penyakit periodontitis ini ialah keadaan, struktur penyokong gigi yang ke-tiga tadi itu musnah atau dirosakkan oleh bakteria!
Bayangkan, jika banyak tali yang memegang gigi itu putus, tulang gigi kecut. Jika banyak tali memegang gigi itu putus, apa akan jadi? Tentunya tidak kuat dan akan bergoyang.
Bayangkan sekali lagi, gigi yang sepatutnya dipegang dengan berjuta-juta tali, apabila terkena periodontitis hanya ada beberapa tali saja. Bukankah akan menjejaskan keteguhan gigi itu?
Periodontitis ini sebenarnya disebabkan oleh tahi gigi (plak) dan ‘dibantu’ oleh karang gigi.
Tahi gigi mula-mula terbentuk di atas gigi, sebelum ia mengeras menjadi karang gigi. Kemudian karang gigi tadi merebak terbentuk ke dalam gusi pada akar gigi.
Jadi tali dipegang gigi tadi tidak dapat berpaut pada gigi disebabkan terdapat karang gigi.
Akhirnya gigi jadi goyang.
Kaedah rawatan
Ada tiga gred gigi goyang iaitu gred 1, gred 2 dan gred 3.
Gred 1 dan 2 boleh diselamatkan lagi tetapi jika gred 3, memang terpaksa dicabut sahajalah jawapannya. Rawatannya ialah scaling dan root planing.
Jika teruk, mungkin perlu pembedahan gusi. Gusi dibelah dan akar gigi dibersihkan.
Jadi kaedah ini boleh dilakukan untuk mencegahnya:
1) Berus gigi dan floss gigi dengan betul. Jangan berus sekadar berus, berus gigi tapi tak bersih.
2) Buat pemeriksaan setahun sekali. Mahu enam bulan sekali lebih baik. Jika ada karang gigi, terus cepat-cepat scaling (cuci gigi) jangan bagi alasan ‘tak ada masa’ atau ‘nanti-nantilah’, takut nanti sudah terlambat.
Panduan mudah memilih ubat gigi
SOALAN 2
PADA masa kini, terdapat terlalu banyak pilihan ubat gigi di pasaran. Saya tak tahu hendak memilih yang bagaimana? Mohon panduan daripada doktor. -BANTU SAYA, MUHAMMAD NAIM ABDULLAH, KEPONG, KUALA LUMPUR
JAWAPAN:
UBAT gigi sebenarnya tambahan untuk membersih gigi kita sahaja.
Sebenarnya, kalau kita berus gigi dengan betul dan boleh membuang tahi gigi yang melekat pada gigi dengan berkesan, tanpa ubat gigi pun tiada masalah.
Namun, jika memilih ubat gigi, apa yang penting ialah ubat gigi itu mengandungi florida yang bagus untuk gigi.
Florida ni dapat ‘remineralisasikan’ lapisan gigi kita yang terhakis disebabkan asid yang dikeluarkan oleh bakteria.
Analogi mudahnya. Kita makan manis, selepas itu bakteria pun makan sekali makanan manis yang terselit pada celah gigi itu. Kemudian, bakteria ini mengeluarkan asid.
Asid ini akan menghakis lapisan luar gigi.
‘Tugas’ florida pula membantu menampung semula lapisan yang terhakis tu. Kesannya, tidak jadilah gigi berlubang.
Namun, ini untuk fasa awal gigi berlubang atau waktu ia mula-mula hendak berlubang. Tapi jika gigi sudah lubang besar, ia perlu ditampal.
Florida tidak boleh menampung atau memulihkan gigi itu.
Ada 2 jenis bentuk florida dalam ubat gigi iaitu:
1) Sodium flouride 2) Sodium monoflourophospate
Jika anda nampak, perkataan-perkataan itu di dalam ramuan ubat gigi, maka ubat gigi itu disarankan.
Tapi ada sahaja ubat gigi yang tiada florida sebab ada golongan yang antiflorida. Jangan risau, boleh sahaja digunakan. Pun begitu, anda tidak dapatlah kelebihan florida tu.
Apapun, paling penting sebenarnya ialah cara memberus gigi. Jika betul caranya, tiadalah masalah gigi berlubang.
Berus gigi dengan ubat gigi florida, tapi masih ada gigi berlubang. Kenapa ia berlaku?
Itu maknanya gigi tidak diberus betul. Selalu kita picit ubat gigi hingga penuh berus gigi, dengan harapan buih itu berfungsi bersihkan gigi.
Tapi awas, cara itu salah! Ubat gigi itu cuma tambahan sahaja. Yang penting ialah cara memberus gigi.
Ingat, lekatan tahi gigi kuat, jika kita tidak memberus kawasan berkenaan, jangan harap tahi gigi itu boleh hilang sendiri. Bila ia tidak dibuang, mudahkan mendapat gigi berlubang.
Profil Dr Naqiuddin Ahmad Moin
Bertugas di Klinik Pergigian Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Universiti Malaya dan mempunyai tiga tahun pengalaman, beliau aktif berkongsi pengetahuan mengenai pergigian di laman-laman media sosial.