Gula-gula cengkih atasi ketagihan merokok

Gula-gula cengkih atasi ketagihan merokok

Sekumpulan penyelidik SMK Puncak Alam 3 merintis idea luar biasa hingga diiktiraf

MUNGKIN ramai tidak mengetahui, keistimewaan cengkih atau nama saintifiknya, Eugenia aromatica mampu mengurangkan ketagihan merokok dan minuman beralkohol.

Pati minyak cengkih dikatakan kaya 70 peratus eugenol turut mengandungi pelbagai mineral lain termasuk besi, magnesium, fosforus, natrium, kalsium, asid hidroklorik, kalium dan vitamin C, K dan A.

Bukan sahaja penting sebagai ubat tahan sakit gigi dan pembuatan minyak wangi, eugenol turut digunakan dalam penghasilan penstabil dan antioksida untuk bahan plastik dan getah.

Melalui kajian saintifik, minyak cengkih turut dipercayai berkesan membunuh pelbagai bentuk jangkitan bakteria disebabkan makanan tercemar selain antiseptik mengurangkan jangkitan, luka, gigitan serangga dan sengatan serta membantu masalah kulit seperti jerawat.

Melihat manfaat di sebalik cengkih, sekumpulan penyelidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3, Selangor merintis idea luar biasa dengan mencipta inovasi gula-gula daripada herba itu yang boleh menghilangkan ketagihan merokok.

Penyelidik-penyelidik itu ialah pengetua sekolah tersebut, Suriati Moharom bersama seorang guru pelatih, Adhwa Mohd Radhi termasuk sekumpulan pelajar.

Pelajar-pelajar yang terbabit ialah Aamir Akhtar Javed Ahmad, Alya Maisarah Nabila Azahar, Yang Aisha Azmi, Nursyahida Aidilla Sha’fe dan Danish Akmal Rusydan.

Ia turut dibantu pasukan sokongan, Muhammad Yusoff Abdullah, Nur Amani Ishun, Syazwani Azra Saharudin, M Vijayadaran dan Syarill Reza Badruz Zahi termasuk guru pengiring yang berhempas-pulas menjayakan misi tanpa mengira masa dan tenaga, Rahartini Che Isa, Rohaiza Rahmad, Norazalina Abu Seman dan Arlina Zainal.

Usaha mereka sangat berbaloi apabila ciptaan hebat itu memenangi Pertandingan anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Gula-gula cengkih yang dinamakan Clove Anti Smoking Candy kemudian mencuri hati juri apabila mereka sekali lagi membawa pulang pingat emas, gangsa dan perak pada International Young Scientists Inovation Exhibition yang melibatkan 640 penyertaan seluruh dunia.

Perluas

Menurut Suriati, ada cerita di sebalik inovasi Clove Anti Smoking Candy.

“Asalnya, inovasi gula-gula cengkih itu mahu mengurangkan ketagihan merokok dalam kalangan pelajar kerana pada tahun lalu, terdapat satu kes dadah melibatkan pelajar sehingga saya dipanggil kementerian.

“Dari situ, saya kena buat sesuatu. Jadi atas idea bersama Adhwa, kami buat dalam bentuk gula-gula sebab lebih sesuai dengan usia remaja. Kalau buat dalam bentuk ubat mesti tak mahu makan.

“Kemudian, saya panggil 20 pelajar yang tegar merokok secara sukarela untuk masuk dalam satu kumpulan kajian,” katanya ketika ditemui e-Trend di SMK Puncak Alam 3 baru-baru ini.

Ujar Suriati, hasilnya, seramai tujuh pelajar berjaya berhenti dan ibu bapa setiap daripada mereka mahukan gula-gula berkenaan.

“Saya percaya, daripada ketagihan merokok, seseorang mudah terdedah kepada dadah. Saya pilih cengkih kerana orang zaman dahulu guna herba itu untuk bantu ketagihan merokok,” katanya.

Sesungguhnya kejayaan yang diraih membuatkan mereka maju setapak ke hadapan.

Inovasi Clove Anti Smoking Candy kemudian dikembangkan bersana sekumpulan pelajar sekolah terpilih untuk berkolaboratif bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

“Kajian lebih terperinci dibuat di makmal UiTM supaya produk itu diperakui selamat digunakan sebelum dibentangkan kepada kementerian untuk tujuan komersial.

“Kerjasama Timbalan Dekan Fakulti Farmasi, Profesor Madya Dr Mizaton Hazizul Hasan dan pensyarahnya, Dr Hanis Fadzillah Mohsin cukup baik dan memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari benda baharu. Insya-ALLAH, produk ini akan dikembangkan lagi dan dibuat penjenamaan nama semula,” katanya yang mempunyai perancangan untuk menambah perisa kepada gula-gula itu.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *