Siri premium terbitan Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven, terus mencipta fenomena dalam kalangan penonton tempatan apabila berjaya mencetuskan perbualan meluas dan menyatukan rakyat Malaysia dalam usaha merungkai misteri pembunuhan watak Ahyan. Sejak episod pertamanya ditayangkan pada 8 Mei lalu, siri ini menjadi topik hangat di media sosial apabila penonton aktif berkongsi teori, spekulasi dan analisis mengenai identiti sebenar dalang di sebalik tragedi tersebut. Menggabungkan elemen misteri, psikologi dan drama emosi, Good Boys Go To Heaven berjaya menarik perhatian penonton yang dilihat seolah-olah berada dalam “detective mode” sepanjang siri berlangsung. Setiap episod yang disiarkan menampilkan petunjuk baharu yang menambah lapisan misteri, sekali gus mendorong penonton untuk meneliti setiap babak dan membina teori mereka sendiri mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif siri tersebut, Raja Jastina Raja Arshad, Good Boys Go To Heaven merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Astro Shaw untuk mengangkat kualiti penceritaan tempatan ke tahap lebih tinggi. Beliau berkata siri ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan, malah turut mengetengahkan isu sosial yang relevan serta menawarkan pengalaman tontonan yang lebih interaktif kepada penonton. Lebih menarik, siri ini turut berjaya mencetuskan perbincangan berkaitan kesihatan mental menerusi kerjasama bersama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA). Inisiatif tersebut membantu memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap isu trauma dan kesihatan mental yang menjadi antara tema utama dalam naratif siri ini. Dari segi pencapaian, Good Boys Go To Heaven merekodkan lebih 58 juta tontonan serta mencapai lebih 9.5 juta pengguna di pelbagai platform media sosial. Prestasi itu membuktikan pengaruh besar siri tersebut dalam ekosistem digital tempatan. Malah, siri ini turut berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 10 Netflix selama enam minggu berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan tempatan paling berjaya dan paling banyak diperkatakan ketika ini. Kekuatan utama siri ini turut terletak pada penulisan skrip yang diterajui oleh Mira Mustaffa. Ramai penonton memuji pendekatan penceritaan yang berbeza daripada kebiasaan, dengan naratif berlapis yang sarat dengan elemen psikologi dan konflik emosi. Gabungan jalan cerita yang kompleks serta perkembangan watak yang mendalam menjadikan setiap episod penuh dengan kejutan dan persoalan yang mengundang perbincangan. Barisan pelakon juga menerima pujian meluas atas persembahan yang meyakinkan, khususnya tiga pelakon kanak-kanak yang membawakan watak Yasser, Bahamin dan Zayd ketika kecil. Lakonan mereka dianggap berjaya menyampaikan emosi yang mendalam dalam episod yang sarat dengan trauma dan konflik psikologi, sekali gus meninggalkan kesan yang kuat kepada penonton. Selain di kaca televisyen, pengalaman menonton turut diperkaya melalui interaksi kreatif para pelakon di media sosial. Pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson dan Sky Iskandar aktif berinteraksi dengan peminat menerusi platform Threads dengan membuat hantaran dalam karakter masing-masing. Pendekatan ini bukan sahaja menghidupkan dunia siri tersebut di luar layar, malah menjadikan penonton lebih dekat dengan perjalanan dan emosi setiap watak. Good Boys Go To Heaven diarahkan oleh Ariff Zulkarnain dengan Mira Mustaffa bertindak sebagai showrunner dan penulis utama. Selain Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Amerul Affendi dan Sky Iskandar, siri ini turut dibintangi Firdaus Karim, Malek McCrone, Amanda Ang, Mila Mohsin, Dai Fuad, Marzuki Noh, Zaleha Iman dan Sayf Mikael. Mengisahkan Yasser, seorang bapa yang berdepan mimpi ngeri apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dalam keadaan tragis akibat pembunuhan kejam, siri ini berjaya menggabungkan misteri jenayah dengan isu trauma serta hubungan kekeluargaan yang menyentuh emosi. Kesemua episod Good Boys Go To Heaven kini boleh ditonton menerusi On Demand, sooka dan Astro Citra. Post navigation ROCKQUEEN ELLA BAWA ‘HOMECOMING’ EDISI 60 PERMATA BIRU KE SETIA SPICE ARENA PADA 22 OGOS