GGR Legacy (M) Sdn Bhd, yang lebih dikenali sebagai GGR Motor, hari ini memperkenalkan prototaip motosikal elektrik terbaharu dinamakan Pantera R1 dan R2. Model ini merupakan motosikal elektrik jarak jauh pertama rekaan dan pemasangan tempatan, dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh. Menurut Pengarah Urusannya, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, pembangunan Pantera R1 dan R2 menjadi simbol kemampuan anak tempatan menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi yang setanding produk antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama pelancaran Pantera R1 dan R2 adalah untuk melahirkan motosikal elektrik buatan Malaysia yang mampu mencapai jarak 300 kilometer bagi satu cas penuh, sekaligus menjadi penanda aras baharu dalam industri EV tempatan. Motosikal ini menggunakan dua unit bateri berkapasiti 73.8V / 116Ah untuk meningkatkan jarak perjalanan serta menyokong sistem pengecasan pantas (fast charging) yang membolehkan satu bateri dicas penuh dalam masa hanya 30 minit. Kelebihan utama Pantera ialah sistem baterinya yang fleksibel, di mana pengguna boleh mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap dengan bayaran murah, mudah dan menjimatkan masa tanpa perlu menunggu lama.
Pantera R1 dan R2 dipacu oleh motorhub berkuasa 5,000 kW dan dilengkapi dengan Votol Controller, jenama antarabangsa yang terkenal dengan kecekapan tenaga. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 kilometer sejam dengan kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak atau servis enjin seperti motosikal petrol biasa. Muhammad Musaddiq menegaskan bahawa GGR ingin membuktikan bahawa kenderaan elektrik bukan sahaja mesra alam, tetapi juga mampu menjimatkan kos jangka panjang untuk rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa GGR Motor memberi tumpuan kepada rider e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan sasaran utama. Inisiatif ini dijangka membantu ribuan penghantar makanan dan pemandu penghantaran mengurangkan perbelanjaan operasi harian. Dengan beralih kepada motosikal elektrik, rider e-hailing berpotensi menjimatkan sehingga 60 peratus daripada kos harian mereka. Ini bukan sekadar kenderaan, tetapi satu bentuk peluang ekonomi baharu bagi golongan berpendapatan sederhana.
Bagi memudahkan pemilikan, GGR Motor memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah serta bayaran ansuran bulanan yang fleksibel. Walaupun harga rasmi belum diumumkan kerana masih dalam fasa prototaip, syarikat menjamin harga mampu milik dan setanding motosikal petrol kelas pertengahan. Pelancaran Pantera R1 dan R2 akan dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula dari Oktober hingga Disember 2025 melibatkan pembinaan ekosistem stesen penukaran bateri (swapping station) dan titik pengecasan (charging point) di kawasan utama seluruh negara. Fasa kedua pula akan bermula Januari 2026 dengan pembukaan pra-tempahan kepada komuniti e-hailing dan orang ramai.
GGR Motor juga membuka peluang kerjasama strategik bersama syarikat swasta dan korporat bagi membangunkan rangkaian stesen pertukaran bateri di seluruh Malaysia. Syarikat yang mempunyai banyak outlet digalakkan menjadi hab mini swap EV bagi memperluas capaian. Selain itu, GGR turut memperkenalkan konsep baharu ‘Subscription Swap Station’, iaitu model langganan untuk pengusaha yang mahu membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR Motor. Melalui konsep ini, setiap pertukaran bateri dikenakan caj kecil manakala pengendali premis akan menerima komisen tetap bagi setiap transaksi, sekali gus membuka peluang pendapatan tambahan kepada pengusaha tempatan.

Musaddiq turut mengimbas kejayaan model terdahulu Lion G1 yang menerima sambutan luar biasa dengan lebih 8,000 unit terjual. Menurutnya, kejayaan itu membuktikan bahawa pasaran motosikal elektrik di Malaysia amat besar dan Pantera R1 serta R2 akan memperkukuh kedudukan GGR sebagai peneraju EV tempatan. Bagi memastikan pengguna tidak berdepan masalah selepas jualan, alat ganti untuk motosikal ini boleh diperoleh terus di kedai rasmi supermarket GGR Motor di Sungai Penchala, Damansara. Manakala, Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) di Alor Setar telah dilantik sebagai Master Dealer bagi wilayah Utara untuk memperluas capaian pasaran dan menyediakan perkhidmatan pelanggan terbaik.
Selain itu, GGR turut bekerjasama dengan artis tempatan sebagai rakan kongsi perniagaan. Dua cawangan GGR Motor kini dikendalikan oleh pelakon terkenal Farid Kamil dan pelawak serta penyampai radio, Johan, menerusi jenama GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil. Terkini, syarikat juga bakal bekerjasama dengan pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro. Menjelang tahun 2026, GGR membuka peluang kepada usahawan atau individu yang berminat untuk menjadi pengedar motosikal EV keluaran GGR.
Dalam jangka panjang, GGR Motor menyasarkan pasaran Asia sebagai destinasi eksport utama selepas ekosistem domestik kukuh. Syarikat turut berhasrat memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan setiap kawasan berpotensi tinggi di Malaysia mempunyai kemudahan swap dan caj EV yang mencukupi. Langkah ini diyakini akan memperkukuh kedudukan GGR Motor sebagai peneraju utama dalam industri kenderaan elektrik tempatan dan serantau.