Ganjaran syafaat hingga akhirat

SHAH ALAM – Penganjuran program yang melibatkan al-Quran sangat digalakkan dan ia satu cara untuk memuliakan al-Quran.

Pendakwah, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, umat Islam digalak untuk menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dengan apa cara sekalipun.

Menyentuh mengenai penganjuran World #QuranHour, beliau berkata, masyarakat Islam seharusnya menjadikan program #QuranHour sebagai batu loncatan atau kemuncak kepada amalan bacaan dan kefahaman al-Quran.

“Jangan pula selepas berakhirnya #QuranHour sudah tidak ada lagi yang membacanya. Pada waktu sama, ALLAH SWT menciptakan al-Quran sebagai mukjizat yang meskipun wahyu sudah lama berhenti diturunkan, tetapi al-Quran kekal sehingga hari kiamat. Terlalu banyak jika ingin dibongkarkan mukjizat al-Quran.

“Mukjizatnya al-Quran ini letaklah apa bahasa percakapan kita sekalipun tetapi apabila membaca al-Quran pasti akan sama saat menyebut wahyu ALLAH SWT ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pembaca al-Quran tidak akan berasa bosan walaupun membacanya berulang kali.

“Mana ada buku yang kita akan baca jika tidak faham? Siapa pula yang rajin membaca sebuah buku yang sama berulang kali? Hanya al-Quran sahaja,” katanya.

Tambahnya, Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai kelebihan orang yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan rutin kehidupan sehariannya.

“Nabi SAW bersabda “Bacalah al-Quran kerana ia akan menjadi syafaat kepada orang yang bersahabat dengannya sewaktu di dunia dahulu”.

“Maknanya kelebihan al-Quran adalah memberi syafaat sehinggalah kita masuk ke dalam syurga.

“Dan sebaik-baik al-Quran ni bukan hanya membaca tetapi tadabbur al-Quran. Maknanya kita belajar pula terjemahan al-Quran dan ambil faedah isi kebaikan daripada al-Quran. Membaca itu bagus tetapi pastikan belajar membaca al-Quran dengan bertajwid,” katanya.

Peserta World #QuranHour membaca al-Quran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun lalu.

Peserta World #QuranHour membaca al-Quran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun lalu.

Beliau berkata, mempelajari ilmu al-Quran itu menjadi kewajipan bagi setiap orang dan sewajarnya belajar secara berguru.

Dalam pada itu, beliau berkata, isteri Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada sahabat baginda bahawa akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.

“Ini membawa maksud Nabi SAW adalah manifestasi kemuliaan al-Quran. Pada waktu sama, bolehlah kita nyatakan bahawa siapa yang mengamalkan al-Quran akhlaknya akan jadi seperti Nabi SAW.

“Itu sebab hari ini jika kita mahu lihat orang Islam sebenar yang mempraktikkan Islam yang betul adalah dengan panduan al-Quran dan sunnah,” katanya. Diturunkan pada bulan Ramadan

Di samping itu, beliau berkata, al-Quran juga sinonim dengan Ramadan kerana ia diturunkan pada bulan tersebut.

“ALLAH SWT turunkan al-Quran sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan apabila turun kepada Nabi SAW barulah secara ansur-ansur.

“Betapa mulianya al-Quran, datang dari tempat yang sangat mulia, turun kepada orang yang sangat mulia dan sudah tentu orang yang beramal dengan al-Quran insya-ALLAH akan menjadi orang yang mulia,” katanya.

Dalam pada itu, Bakhtiar Fitri turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya membudayakan al-Quran dalam kehidupan.

“Sebagai ibu bapa jadikan bacaan al-Quran ini sebagai aktiviti yang wajib. Programkan waktu untuk kita dan anak-anak membaca Quran, contohnya selepas solat. Atau mungkin sebelum tidur bacalah surah al-Mulk bersama-sama. Inilah namanya disiplin bersama al-Quran selain daripada menjaga adab sebelum, semasa dan selepas membaca al-Quran.

“Rumah yang dibacakan al-Quran menjemput malaikat datang. Pegang konsep itu betul-betul dan rumah yang tidak baca al-Quran akan menghalau malaikat dan menjemput syaitan,” katanya.

Menurutnya, al-Quran adalah perawat, penyembuh, pelembut hati, pendinding dan pengawal kepada diri selain pemberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *