Formula sihat tahun 2020

Kaedah terbaik kekal sihat dan manfaat kepada semua dari segi fizikal, mental dan emosi.

PENULIS berpandangan, tidak keterlaluan untuk merumuskan bahawa gaya hidup hasil urbanisasi menyebabkan ramai orang sudah mengabaikan banyak perkara asas dalam kehidupan.

Selain, kemunduran nilai-nilai murni yang sangat ketara, soal kesihatan turut diabaikan.

Pandangan itu dibangkitkan tidak semberono kerana ada kebenarannya. Jika melihat kepada fakta terkini, Malaysia masih kekal sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk obesiti paling tinggi di Asia sejak tahun 2015 hingga tahun lalu, lapor Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia juga menunjukkan masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak negara ini adalah kedua tertinggi di Asia selepas Brunei. Masalah jantung juga menjadi kegusaran utama di Malaysia sejak berdekad lamanya.

Dalam satu artikel yang diterbitkan Bernama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyakit jantung iskemik atau Ischaemic heart diseases menjadi kematian utama rakyat di negara ini dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2018.

Itu semua sejarah yang kita boleh ubah sebenarnya. Justeru, apa kata pada tahun baharu ini, kita sama-sama berubah menjadikan amalan hidup sihat menjadi salah satu azam utama. Ya, apabila hidup sihat, manfaat yang bakal diperoleh sangat banyak.

Selain panjang umur, kita juga tidak sengsara menanggung pelbagai penyakit yang semestinya memerlukan kos yang tinggi. Perunding Dietetik Online, Nurul Hanis Ahmad Kamel baru-baru ini berkongsi tip-tip kesihatan yang mudah dilakukan dan paling penting tidak mengeluarkan kos yang banyak.

NURUL Hanis Ahmad Kamel

NURUL Hanis Ahmad Kamel

“Semua saranan yang dibuat, mendatangkan manfaat kepada kesihatan kepada semua dari segi fizikal, mental dan emosi,” katanya kepada Sihat:Aktif.

Berikut ialah perinciannya:

1. Senaman tangga

Senaman di tangga antara jenis senaman alternatif sekiranya seseorang tidak mempunyai masa untuk beriadah di luar.

Namun, soal keselamatan diri perlu diutamakan. Senaman tersebut amat baik untuk dijadikan sebagai rutin. Tidak perlu lama, cuba dulu dalam tempoh 15 minit.

Ia bagus untuk memperbaiki tahap kesihatan jantung.

Pada masa sama, ia mampu membantu menurunkan berat badan serta menguatkan anggota otot kaki.

2. Ambil sarapan pagi

Sarapan pagi wajib diambil sebelum memulakan aktiviti harian. Amalan tersebut perlu dipupuk sejak kecil lagi.

Makanan yang diambil pada waktu pagi mampu menjana tenaga agar kekal cergas dan cerdas sepanjang hari.

Selain itu, ia mampu meningkatkan daya tumpuan kita dalam melakukan apa sahaja aktiviti.

3. Kerap masak di rumah

Satu teori menyebut, jika seseorang lebih kerap memasak di rumah, ia merupakan antara cara untuk hidup lebih sihat. Ini kerana kita sendiri yang menyediakan hidangan tersebut dan boleh membuat pilihan yang lebih sihat dan bijak dalam menentukan apa yang diambil oleh tubuh badan.

Dalam pada itu, memilih untuk memasak di rumah juga boleh menjimatkan masa dan wang ringgit di samping kekal peka dengan jumlah hidangan yang diambil sepanjang hari.

4. Seimbang

Dari sudut pemakanan, kita perlu mengetahui cara untuk mencapai keseimbangan dari segi pengambilan karbohidrat, protein, lemak dan sebagainya. Konsep memotong pengambilan karbohidrat atau lemak secara total demi menurunkan berat badan adalah salah sama sekali!

sihat 2020

sihat 2020

Mengapa? Perkara pertama, kita kena kenal pasti kategori berat badan terlebih dahulu atau lebih dikenali sebagai Indeks Jisim Tubuh (BMI).(IJT). Penting untuk mengetahui keadaan badan masing-masing sama ada perlu menurunkan berat badan atau menambahnya.

5. Mencapai berat badan ideal

Masalah yang biasa dialami oleh masyarakat pada hari ini adalah obesiti dan terlebih berat badan. Jika terjadi masalah itu, mereka semahu-mahunya mahu kurus bagi mencapai semula berat badan yang ideal.

Inisiatif itu bagus, namun kita kena peka dan sedar punca kenaikan (berat badan).

Antaranya melibatkan pengambilan tenaga atau makanan dan senaman atau aktiviti fizikal yang mesti diuruskan dengan baik.

Sekiranya hanya makan tanpa melakukan senaman, pastilah berat bertambah.

Oleh itu, seseorang wajib mengamalkan pemakanan yang seimbang dan pada masa sama, bersenam pada kadar berpatutan.

ANEKDOT

Tiga cara utama untuk kekal sihat:

1. Kurangkan pengambilan lemak

– Kurangkan atau elakkan makanan bergoreng.

– Gantikan dengan makanan yang dibakar, direbus, dipanggang dan stim.

– Gantikan penggunaan santan dengan susu rendah lemak atau yogurt (memasak hidangan sendiri di rumah sangat digalakkan berbanding makan di luar).

– Amalkan tabiat memakan snek dengan mengambil buah-buahan berbanding kuih-muih.

– Buang lemak atau kulit ayam pada daging apabila memasak.

– Lap minyak pada makanan bergoreng menggunakan tisu dapur.

2. Kurangkan pengambilan gula

– Banyakkan mengambil air kosong berbanding minuman manis.

– Gantikan penggunaan susu pekat manis kepada susu rendah lemak.

– Kurangkan gula dalam masakan.

– Pilih snek yang berkhasiat dan rendah gula seperti jagung rebus, buah segar, roti keping dan ubi.

3. Tingkatkan pengambilan serat

– Amalkan konsep suku-suku separuh dalam hidangan berat (sarapan, makan tengah hari dan makan malam). Ia menjamin pengambilan serat daripada sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari dalam setiap hidangan berat.

– Amalkan pengambilan ulam-ulaman atau sayuran hijau.

– Utamakan sup sayur berbanding sup berkrim.

– Jadikan buah-buahan sebagai snek dan pencuci mulut.

4. Amalkan senaman tiga hingga lima kali seminggu, 30 minit bagi setiap sesi

– Lakukan aktiviti fizikal meskipun tiada penurunan berat badan kerana aktiviti fizikal mampu mengurangkan risiko penyakit jantung dan kencing manis.

– Lakukan senaman selama 45 hingga 60 minit bagi mengelakkan obesiti dan bagi yang telah turun berat badan dan ingin elakkan penambahan berat badan, aktiviti fizikal selama 60 hingga 90 minit sangat disarankan.

– Elakkan meluangkan masa terlalu lama dengan aktiviti yang pasif seperti menonton televisyen dan bermain komputer.

– Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah seperti berkebun, mengayuh basikal, berjalan pantas dan berenang.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *