‘Festival Warisan Selera Timur’ Tawar Pengalaman Autentik Pantai Timur kepada Pengunjung Lembah Klang

Evo Mall Bangi dengan bangganya memperkenalkan ‘Festival Warisan Selera Timur’, sebuah festival yang bakal berlangsung selama tiga hari di Evo Mall, Bandar Baru Bangi, bermula 5 hingga 7 Disember 2025. Acara ini bertujuan sebagai platform untuk mempromosikan warisan Pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu, dan Pahang kepada orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang. Festival ini bakal menampilkan lebih daripada 100 jenis hidangan ikonik serta pelbagai aktiviti kebudayaan sepanjang penganjurannya.

Dengan membawa tagline ‘Rasa Ori Tiga Negeri’, festival ini direka untuk memperkasakan dan memperluas jaringan vendor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Pantai Timur, menawarkan juadah istimewa serta produk autentik kepada pengunjung. Antara menu menarik yang disediakan termasuk Satar dan Otak-Otak Warung Azis Satar Kemaman, Keropok Celup Tepung yang terkenal di Terengganu, dan Ketupat Sotong Dapur Aryani. Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati hidangan tradisional seperti Nasi Kerabu, Laksa, dan Laksam dari Kelantan dan Terengganu, serta menu popular lain seperti Keropok Gemok dari Pasar Payang, Temosa Raja Ikan & Telur, Puding Raja, Sambal Hitam Marvel, dan pelbagai kuih tradisional. Festival ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sebagai salah satu acara untuk mempromosikan “Visit Malaysia 2026”.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim, penganjuran festival ini bertujuan untuk memperkenalkan budaya, warisan, dan kesenian negeri-negeri Pantai Timur kepada mereka yang berada di luar negeri tersebut. Beliau menambah bahawa dengan kerjasama rakan penaja seperti Noor Arfa Batik Industri Tekstil Terengganu, Cap Bunga Ros, Billo Malaysia, dan Azue Bridal, festival kali ini dijangka lebih meriah dengan sasaran 30,000 pengunjung.

Selain pameran makanan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan dan mendalami kesenian serta budaya Pantai Timur. Pada malam Jumaat, pengunjung boleh menikmati Persembahan Dikir Barat khas menampilkan selebriti Issey dan kumpulan Dikir Exclusive. Malam Irama Pantai Timur pula akan berlangsung pada malam Sabtu, jam 8.30 malam, menampilkan penyanyi terkenal dari negeri asal mereka iaitu Ameng Spring, Rosma Sidik, dan Syafiq Farhain. Persembahan kebudayaan lain seperti Ulek Mayang dari Terengganu dan Joget Pahang turut dipersembahkan. Pada hari Ahad, pengunjung berpeluang mendengar perkongsian istimewa daripada ‘The Helmis’ mengenai pengalaman mereka berlayar bagi Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk Pertandingan Mewarna, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Silat Gayong, Demonstrasi Masakan Tradisional, Cabaran Batu Seremban, dan pertandingan menghias pulut kuning, menjadikan festival ini destinasi hujung minggu yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Festival ini dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Orang ramai, terutamanya yang tinggal di kawasan Lembah Klang, dijemput untuk merasai pengalaman budaya dan sajian makanan daripada Pantai Timur Semenanjung Malaysia apabila ‘Festival Warisan Selera Timur’ berlangsung di Evo Mall, Bandar Baru Bangi, bermula 5 hingga 7 Disember 2025. A.M.A. Infinity Solution dilantik sebagai pengurus acara bagi memastikan festival ini menjadi kejayaan seterusnya untuk Evo Mall Bangi.