Fedtri Yahya Dinobatkan Ikon Bahasa 2024, Raih Lima Pencalonan di Anugerah Seri Angkasa

Ahmad Fedtri Bin Yahya, yang lebih dikenali sebagai Fedtri Yahya, telah mencipta sejarah dalam bidang penyiaran dengan meraih lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024. Fedtri, yang terkenal sebagai pengacara TV dan penulis lirik ternama di Malaysia, baru-baru ini diiktiraf sebagai Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024.

Sebagai pengacara untuk program-program ikonik seperti Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Aduan Jiwa, dan Soal Rakyat, Fedtri menerima pencalonan dalam empat kategori berprestij di Anugerah Seri Angkasa 2024. Pencalonan tersebut termasuk Bicarawara TV Terbaik melalui ‘Aduan Jiwa (Gelap Duniaku)’, Montaj TV Terbaik ‘Aduan Jiwa’, dua pencalonan dalam Pengacara TV Terbaik untuk ‘Jejak Rasul 2023’ dan ‘Aduan Jiwa’, serta Pengulas TV Terbaik untuk ’Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria’.

“Pada usia yang semakin meningkat, saya sendiri tidak menyangka saya tercalon dalam empat kategori serentak pada tahun ini. Saya sangat teruja dan berdebar kerana ini adalah pencalonan terbanyak bagi saya. Ketika mengetahui tentang pencalonan ini, saya demam akibat terkejut, tetapi saya menganggapnya sebagai demam kegembiraan. Harapan saya hanya untuk tersenarai dalam top lima, dan itu sudah memadai,” ungkap Fedtri dengan penuh rasa syukur.

Fedtri melihat pencalonan ini sebagai satu motivasi untuk terus meningkatkan mutu karyanya. Beliau bercita-cita untuk berkarya sepanjang hayat dan berharap untuk melakukannya dengan pendekatan yang lebih matang di masa hadapan. “Selagi belum putus nafas, cinta bahasa akan terus bergema,” katanya dengan semangat. Salah satu impian beliau adalah untuk memiliki podcast sendiri, yang akan membolehkan beliau mengekspresikan idea dan kreativiti dengan lebih bebas, sejajar dengan kehendak semasa.

Fedtri juga menyebut tokoh-tokoh yang memberi inspirasi dalam memperjuangkan bahasa Melayu, antaranya Usman Awang, seorang sasterawan negara yang telah banyak mempengaruhi pemikirannya melalui karya-karyanya yang mendalam. Selain itu, beliau turut memetik Jalaluddin Rumi, yang dikenali dengan kebijaksanaan serta keindahan bahasa dalam puisi-puisinya. “Tiada dorongan khusus, kerana bagi saya, saya memang ikhlas dalam berbahasa. Namun, kedua-dua tokoh ini menjadi penanda aras bagi saya ketika berbahasa. Harapan saya agar bahasa Melayu sentiasa digunakan dengan betul dan disanjung tinggi di kalangan masyarakat Melayu,” tambah Fedtri.

Sepanjang perjalanan kerjayanya, Fedtri juga menghadapi pelbagai cabaran, termasuk ketika beliau kehilangan suara selama sebulan semasa mengacarakan Jejak Rasul pada tahun 2022. “Saya merasa takut ketika itu, terutama dengan cuaca panas. Namun, saya bersyukur kerana segala penat lelah saya terbayar apabila rating program Jejak Rasul melonjak naik ketika itu PKP. Di bazaar Ramadan, ramai anak-anak kecil menegur saya dan memberi kata-kata semangat. Kenangan ini akan saya simpan selamanya,” ujar Fedtri.

Fedtri Yahya

Pengalamannya di Syria juga memberi kesan mendalam apabila beliau menyaksikan sebuah sekolah dibakar di hadapan matanya. Walaupun berdepan cabaran yang berat, Fedtri berpegang kepada sokongan rakan sekerja dan fokus pada mesej yang ingin disampaikan, menjadikannya lebih positif dalam menghadapi situasi sukar.

Menjunjung martabat bahasa yang luhur, Fedtri Yahya ibarat perwira kalam, menggubah mutiara makna dalam setiap lafaz. Syabas kepada beliau atas penerimaan Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh. Majlis penganugerahan ini disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Anugerah ini mengiktiraf dedikasi Fedtri dalam memperkasakan bahasa dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus menjunjung warisan bahasa sebagai jati diri bangsa.

Menurut Fedtri, pengiktirafan ini adalah puncak dari kecintaannya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang bermula sejak kecil. “Saya memang seorang yang gila bahasa. Sejak kecil, saya selalu mencatat perkataan unik dan belajar maksudnya. Minat ini berkembang seiring dengan pencapaian dalam pertandingan dan peperiksaan, sehingga memupuk percintaan saya terhadap bahasa.”

Sebagai Ikon Bahasa 2023/2024, Fedtri, yang sememangnya obses dengan bahasa sejak kecil, mengungkapkan, “Saya memang seorang yang gila bahasa. Sejak sebelum darjah satu lagi, saya sudah minat bahasa. Setiap kali mendengar radio atau menonton televisyen, saya akan salin perkataan yang saya rasa unik dan cuba mencari maksudnya. Setelah menyertai beberapa pertandingan dan meraih markah cemerlang dalam bahasa Melayu, di situ bermulanya titik indah percintaan saya dalam bahasa.”

Fedtri juga menyeru generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu. “Saya akan terus turun padang dan memberi sokongan. Setiap kali saya memberi ceramah atau berkunjung ke sekolah, saya sentiasa mendorong mereka untuk mencintai bahasa, sama seperti saya,” ujarnya.

 

Ayuh gemerlapkan cinta bahasa, sebelum tiba gerhana mati rasa…
Kalau tidak kerana kerawang,
Tidaklah mahligai coraknya berseni,
Kalau tidak bahasa dijuang,
Tidaklah hamba bersimpuh di sini.

 

‘’Terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 & Media Prima yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar.’’

 

Tahniah sekali lagi diucapkan buat Fedtri Yahya atas pencalonan beliau dalam beberapa kategori di Anugerah Seri Angkasa 2024 dan dinobatkan sebagai Ikon Bahasa 2023/2024 pada 6 Oktober lalu. 

Jadi untuk mendapatkan info terkini, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton melalui www.tonton.com.my.  Anda juga boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.