Ewon: Silent Teddies Bukti Kejayaan Usahawan Sosial Malaysia

Perusahaan sosial Silent Teddies yang ditubuhkan untuk memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran kini telah memberi latihan kemahiran kepada lebih 100 individu daripada golongan OKU dan B40. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha ini membuktikan perusahaan sosial mampu memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Beliau berkata, Silent Teddies yang menerima pengiktirafan sebagai perusahaan sosial daripada KUSKOP turut berjaya melahirkan 15 usahawan muda OKU melalui program Teenager Entrepreneurial Development (TED). Selain itu, produk bakeri keluaran Silent Teddies yang memiliki sijil Halal semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan.

“Perusahaan sosial seperti Silent Teddies memberi peluang pekerjaan, membangunkan kemahiran serta mencetuskan rasa kebersamaan dalam kalangan kumpulan sasar,” katanya ketika melawat pusat latihan berkenaan.

Ewon menegaskan kerajaan komited untuk terus memperkukuh ekosistem perusahaan sosial menerusi pelbagai program sokongan, latihan dan kerjasama strategik.