Eternal Love Timeless Romance: Malam Emosi Bersama BCL

Bunga Citra Lestari sekali lagi membuktikan kehebatan beliau sebagai salah seorang penyanyi serantau paling berpengaruh apabila hadir dengan konsert istimewa bertajuk BCL: Eternal Love – Timeless Romance. Konsert ini berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bermula jam 8.30 malam dan dianjurkan oleh Pulse Project Asia.

Malam penuh emosi dan romantis itu turut menyaksikan persembahan istimewa bersama dua artis undangan iaitu Fajar Noor dan Jaclyn Victor. Fajar Noor tampil memulakan set pertama dengan duet bersama BCL menerusi Tetaplah Di Hatiku serta Puteri Iklan sebelum meneruskan set keduanya dengan nyanyian solo Takhta Hatiku, Menjaga Hati dan Tuhan Tau Kita Saling Cinta.

Jaclyn Victor pula membuka persembahan dengan duet Love Story bersama BCL dalam set pertama. Beliau kemudian meneruskan solo dalam set kedua dengan deretan lagu Ikut Rentak Ku, Racun, Sesal Tak Bermakna, Cinta Tiada Akhirnya serta gabungan megah Glorious dan Gemilang yang mengundang sorakan gemuruh penonton.

BCL sendiri mempersembahkan rangkaian lagu yang menjadi saksi perjalanan seni beliau. Bermula dengan Overture Baru, beliau terus memukau dengan lagu Ingkar, Jangan Gila dan Watak Utama yang turut menampilkan Yuna. Tidak ketinggalan Dance Tonight yang memeriahkan suasana.

Acara turut diserikan dengan sesi talkshow bersama pemenang bertuah sebelum BCL kembali menguasai pentas dengan medley Tetaplah Di Hatiku, Pernah Muda dan Menghapus Jejakmu. Seterusnya Tentang Kamu dan Cinta Pertama membuatkan suasana terasa dekat di hati para peminat. Duet istimewa bersama Jaclyn Victor menerusi Love Story serta lagu Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah bersama Dennis Lau dan Selalu Ada Di Nadimu menambahkan lagi aura keindahan malam itu.

BCL kemudian menyentuh hati penonton dengan Memulai Kembali, Cinta Sejati, Sinaran, Putri Iklan bersama Fajar dan Aku dan Dirimu. Lagu Karena Kucinta Kau memberi nuansa mendalam sebelum konsert ditutup dengan penuh emosional melalui Badai Telah Berlalu.

Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance bukan sekadar persembahan tetapi sebuah pengalaman penuh jiwa, di mana cinta, kerinduan dan keabadian muzik dirayakan dengan begitu indah.