‘Enigma’ Lagu Runut Bunyi Drama Dua Darjat

Bob Yusof, yang dikenali ramai sebagai Bob Mesra dalam industri muzik tempatan, kini mempersembahkan single terbaharunya berjudul ‘Enigma’. Ini adalah single pertama Bob dengan Alternate Records, yang juga menjadi runut bunyi bagi drama “Dua Darjat” dalam slot Akasia di TV3. Anda boleh menonton drama “Dua Darjat” setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7.00 malam di TV3 atau strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my dan muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.

Bob Yusof memulakan kerjaya muziknya melalui pertandingan realiti televisyen, dan dia dikenali dengan vokalnya yang kuat dalam membawakan lagu-lagu balada dan etnik. Lagu ‘Enigma’ menandakan kembalinya Bob dalam dunia muzik untuk mengubat rindu para peminat terhadap keunikan suaranya. Ini adalah lagu kedua Bob dengan Alternate Records selepas kolaborasi pertama dengan lagu “Tera Tari” yang dinyanyikan bersama seorang artis dari Singapura.

Lagu ‘Enigma‘ ini adalah hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik yang ditulis sendiri oleh Ikhwan Fatanna. Lagu ini merupakan balada yang penuh dengan emosi dan keindahan melodi, sesuai dengan jalan cerita drama “Dua Darjat“. ‘Enigma‘ tidak sekadar menjadi lagu tema, tetapi juga narator kepada kisah cinta tragis yang terbentuk di antara dua insan yang terpisah oleh perbezaan status. Melalui alunan melodinya yang mendayu, Bob membawa pendengar menyelami pergolakan hati akibat kesan buruk daripada sikap mudah mengalah dalam percintaan.

Genre balada adalah seperti makanan jiwa kepada Bob Yusof, dan ini menjadi pilihan utama komposer serta penulis lirik Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Kolaborasi yang lama dinantikan ini akhirnya berjaya direalisasikan oleh Ikhwan Fatanna, dengan sentuhan magis pada lirik dan melodi yang mampu menggetarkan jiwa pendengar. Lagu ini bukan sahaja memenuhi jangkaan Bob Yusof tetapi juga memperkukuhkan reputasinya sebagai penyanyi balada terkemuka dalam industri muzik tempatan.

Bob meluahkan rasa teruja yang luar biasa setelah mendengar demo lagu ‘Enigma’ buat pertama kalinya.  “Lagu ini benar-benar “wow” kerana susunan melodinya penuh dengan cabaran. Sesi rakaman hanya mengambil masa dua jam berkat kerjasama dan saling bertukar idea untuk memperindah karya ini. Pengalaman bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh juga amat  menyeronokkan. Banyak ilmu dan idea baharu yang dapat saya pelajari dari mereka. Jika diberi peluang lagi, saya pasti akan bekerjasama dengan gabungan dan berharap dapat menyanyikan lebih banyak lagu ciptaan mereka.”

‘’Harapan saya sangat tinggi agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan dapat pergi jauh, tersenarai dalam carta-carta muzik, stesen radio di Malaysia, Singapura, Brunei, malah Indonesia, dan mungkin layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Kepada peminat, dengarkanlah lagu ini kerana ia berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Dari segi susunan muzik, ia sangat segar dan mudah didengar.” tambah Bob. 

Keterujaan Bob semakin bertambah apabila mendapat sokongan dan pujian dari rakan-rakan artis seperti Khai Bahar, Syamel, Marsha Milan, Mila Jirin, Mimi Fly dan Elly Mazlein yang telah meninggalkan kata-kata semangat dan komen positif  didalam kiriman mesej di media sosialnya. “Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan artis yang telah menyokong saya. Kata-kata semangat dan komen positif mereka amat bermakna dan memberikan saya dorongan untuk terus berkarya dan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam bidang muzik,” ujar Bob dengan penuh rasa syukur.

Sebagai komposer ‘Enigma’, Ikhwan Fatanna berkongsi bagaimana tercetusnya idea mengarap lagu ini, “Idea datang ketika pihak produksi drama Dua Darjat inginkan konsep lagu runut bunyi yang sedih dan sesuai dengan jalan cerita drama tersebut.  Saya pun mula mengarang dengan membayangkan sebuah hubungan yang tidak direstui keluarga kerana perbezaan darjat dan kedudukan. Mesej lagu ini adalah untuk memilih hubungan yang sesuai dengan personaliti dan keadaan diri kita. Jangan biarkan diri kita dihukum dan dihina hanya kerana kita insan biasa. Setiap manusia ada nilai dan harga diri,”

Ikhwan Fatanna menambah apabila ditanya mengenai Bob Yusof  “Bob seorang artis yang merendah diri dan mudah bekerjasama. Dengan vokal mantap yang penuh jiwa, Bob sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap lagu yang dinyanyikan. Keunikan Bob terletak pada kekuatan lontaran vokalnya yang memukau dan mampu membuai jiwa pendengar.”

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Enigma’ nyanyian Bob Yusof yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Ayuh saksikan Dua Darjat menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my , muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.