Empat Live In Kuala Lumpur 2025: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel Siap Lakarkan Sejarah Magis Bersama Peminat

Debaran kian terasa apabila Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal mencipta sejarah pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena. Konsert yang menghimpunkan empat bintang unggul Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel disambut hangat oleh peminat tanah air, dengan hampir 85% tiket telah habis terjual sejak mula dibuka pada 25 April lalu.

Gabungan empat figura hebat ini bukan sekadar simbol kekuatan vokal, malah menggambarkan evolusi muzik balada Malaysia dari era keemasan sehingga generasi kini. Di sebalik konsert ini adalah gandingan mantap dua nama berpengaruh Anuar Zain Network dan Altus ProHouse dengan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert dan Sze Wan selaku Pengarah Muzik.

Menurut Sze Wan, konsert ini membawa naratif unik perjalanan muzik tanah air, yang menyatukan warna suara dari generasi Ziana Zain dan Anuar Zain ke pendekatan moden oleh Ernie Zakri dan Syamel. Beliau menyifatkan tugas menyusun muzik untuk empat vokalis berkarisma ini sebagai cabaran yang menyeronokkan, umpama menyatukan puzzle agar setiap penyanyi mendapat ruang bersinar secara seimbang.

Jennifer pula menggambarkan peluang mengarah konsert ini seperti berada di kedai gula-gula sebuah pengalaman luar biasa yang bakal menyajikan momen-momen eksklusif, kolaborasi istimewa dan nostalgia lagu-lagu pop merentas empat dekad. Beliau menjanjikan 100% hiburan untuk seisi keluarga dalam satu malam yang tidak boleh dilupakan.

Bagi Anuar Zain, sokongan peminat bukan hanya menyentuh hati, tetapi menjadi pemangkin semangat dalam memastikan persembahan malam itu akan mencetus fenomena. Beliau menyeru peminat hadir dan menjadi sebahagian daripada memori konsert yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Ziana Zain turut meluahkan keterujaannya, menyifatkan konsert ini sebagai simbol kasih sayang antara artis dan peminat. Sambil menjalani persediaan rapi dari segi fizikal dan mental, beliau menjanjikan malam yang dipenuhi lagu-lagu hit serta kejutan lagu-lagu lama yang bakal menggamit memori.

Ernie Zakri pula menyifatkan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 sebagai malam bersejarah dalam karier seninya, memandangkan ini merupakan kali pertama empat ‘ahli keluarga seni’ bergabung dalam satu pentas berskala besar. Bagi Syamel, konsert ini adalah lebih daripada hiburan ia adalah persembahan yang datang dari jiwa, dengan peminat menjadi nadi yang menghidupkan seluruh malam.

The Westin Kuala Lumpur turut berperanan sebagai penaja rasmi konsert ini. Menurut Pengurus Besarnya, Daniel Burstein, mereka berbesar hati menyokong industri muzik dengan menjadi lokasi penginapan rasmi untuk para artis dan media, sambil menyediakan layanan bertaraf lima bintang untuk semua tetamu yang hadir ke acara bersejarah ini.

Tiket bagi kategori Bronze (RM288), Silver (RM388), Gold (RM488), Platinum (RM688), dan Royal Twin Seat (RM2,088) telah habis dijual. Tiket yang masih tersedia ialah kategori Diamond (RM888) dan VIP (RM1,088), dengan kemudahan pembayaran ansuran menerusi Atome dan SPayLater di www.ticket2u.com.my/empatkl.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan sejarah tercipta di Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bersama Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel. Malam itu bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan cinta dan seni antara artis dan peminat.