Single terbaharu Emma Suhaimi, “Tersakiti”, terus mencuri perhatian selepas sebulan dilancarkan apabila muzik video rasminya mencatatkan lebih daripada 200,000 tontonan di YouTube. Lagu kemunculan semula bintang AF8 itu turut menunjukkan perkembangan positif dalam carta ERA 40. Sehari selepas dilancarkan, “Tersakiti” berjaya menembusi Top 30 sebelum menduduki tangga ke-9 dalam Top 10 carta tersebut pada minggu ini. “ Tersakiti” merupakan sebuah lagu balada ciptaan sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Ilham Baso, yang mengetengahkan kisah luka, kekecewaan dan proses melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan. Emma menjelaskan bahawa lagu tersebut membawa mesej mengenai kepentingan menyayangi diri sendiri dan mengambil keberanian untuk meninggalkan hubungan toksik sebelum keadaan menjadi lebih menyakitkan. Menurutnya, proses menghidupkan emosi lagu itu turut dipengaruhi pengalaman hidup yang pernah dilaluinya. Emma berkata pengalaman menghadapi kekecewaan selama hampir 16 tahun sedikit sebanyak membantunya memahami emosi di sebalik setiap bait lirik. Antara lirik yang paling dekat dengan dirinya ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”, yang disifatkannya sebagai gambaran tentang hakikat bahawa sesuatu yang membahagiakan tidak semestinya menjadi milik kita selamanya. Emma turut berharap “Tersakiti” dapat menjadi suara kepada mereka yang sedang menghadapi kesukaran dalam kehidupan dan menjadi teman kepada pendengar yang memilih untuk memendam perasaan. Dilancarkan pada 14 Ogos 2026, single “Tersakiti” terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim menerusi platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. Post navigation “Malam Rawan” Bawa Rizky Febian Kembali Beraksi di Kuala Lumpur