Misi masih diteruskan! Dari layar perak ke platform penstriman terbesar dunia, Ejen Ali The Movie 2 kini rasmi menemui ejen-ejen di Netflix bermula 1 Oktober 2025 di beberapa rantau terpilih serata dunia. Langkah ini membuka peluang kepada penonton antarabangsa untuk merasai sendiri kehebatan dan keunikan animasi buatan Malaysia.
Bagi meraikan kejayaan ini serta menghargai sokongan peminat setia, muzik video rasmi Hanya Kamu nyanyian legenda Datuk M. Nasir turut dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ejen Ali pada jam 8.00 malam ini.
Muzik video arahan Ghazi Maslan ini menampilkan pembukaan penuh dramatik dengan transmisi mesej khas dari MATA yang diaktifkan oleh Datuk M. Nasir sendiri. Ia kemudiannya memperlihatkan semangat dan keazaman ejen-ejen muda menyahut panggilan misi, diselang-seli dengan babak mendebarkan daripada filem. Turut kelihatan ialah Azri Yunus, komposer dan penulis lirik lagu Hanya Kamu, yang menjadi tenaga kreatif di sebalik karya bermakna ini.
Konsep muzik video ini berpaksikan tema utama lagu Hanya Kamu yang membawa mesej semangat juang, kepercayaan diri dan keberanian untuk bangkit sebagai versi terbaik diri sendiri. Nilai-nilai ini selari dengan perjalanan watak utama dalam Ejen Ali The Movie 2, menjadikan muzik video ini sebagai pelengkap sempurna kepada emosi dan penceritaan filem.
Untuk rekod, Ejen Ali The Movie 2 berjaya mencatat kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta hasil tayangan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand. Kejayaan ini meletakkan filem tersebut sebagai antara karya animasi tempatan paling berjaya tahun ini. Lebih membanggakan, Ejen Ali The Movie 2 turut melangkah ke pentas antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Filem Animasi Terbaik di Silk Road International Film Festival ke-12 yang berlangsung di Fuzhou, China, baru-baru ini.
Kerja kita belum selesai. Strim Ejen Ali The Movie 2 di Netflix bermula hari ini dan jangan lepaskan peluang menyaksikan pelancaran muzik video rasmi Hanya Kamu di saluran YouTube Ejen Ali tepat jam 8 malam ini.