Bagaimana jika wanita yang pada awalnya dianggap sebagai musuh akhirnya menjadi individu paling penting untuk tempat bergantung? Persoalan tersebut menjadi teras kepada iQIYI Original Madu Atau Racun, sebuah drama romantik sarat konflik, emosi dan rahsia yang bakal menemui penonton mulai 14 Ogos 2026. Mengangkat tagline “Satu Rumah. Dua Isteri”, drama 12 episod arahan Eyra Rahman ini meneroka sisi kompleks kehidupan dalam sebuah perkahwinan poligami. Namun, kisah yang dipersembahkan bukan sekadar mengenai perebutan kasih sayang antara dua wanita, sebaliknya turut menyentuh isu pengorbanan, trauma, pengkhianatan serta hubungan luar biasa yang terbentuk dalam keadaan penuh tekanan. Madu Atau Racun menampilkan Aliff Aziz sebagai Adli, Uqasha Senrose sebagai Azura dan Elisya Sandha sebagai Nikita. Ketiga-tiga pelakon utama membawa karakter dengan latar emosi yang berbeza, sekali gus menjadikan konflik rumah tangga dalam drama ini lebih berlapis dan sukar dijangka. Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, iQIYI terus komited menghasilkan karya tempatan yang dekat dengan kehidupan dan emosi penonton Malaysia. Beliau berkata, sesebuah cerita yang baik bukan sahaja mampu menghiburkan, malah berupaya mencetuskan perbualan serta membuka ruang kepada penonton untuk melihat sesuatu isu daripada perspektif yang berbeza. Bagi Madu Atau Racun, penonton diajak untuk tidak membuat kesimpulan terlalu awal terhadap setiap watak. Setiap episod akan membuka sisi baharu mengenai karakter yang terlibat, sekali gus berpotensi mengubah persepsi penonton terhadap siapa sebenarnya mangsa, punca konflik dan pihak yang perlu dipersalahkan. Pengarah Eyra Rahman pula menyifatkan setiap karya mempunyai identiti tersendiri, walaupun tema seperti kecurangan, poligami dan konflik rumah tangga bukan perkara baharu dalam drama tempatan. Baginya, kekuatan sesebuah naskhah turut bergantung kepada tafsiran dan persembahan pelakon yang mampu memberikan jiwa tersendiri kepada setiap karakter. Dalam pada itu, Elisya Sandha mengakui tertarik dengan watak Nikita kerana karakter tersebut mempunyai pelbagai lapisan emosi. Nikita bukan sekadar watak antagonis, sebaliknya merupakan seorang wanita yang menyimpan trauma dan konflik dalaman yang memberikan cabaran besar kepada pelakon untuk menerokai sisi psikologi karakternya. Madu Atau Racun mengisahkan Azura, seorang isteri yang setia dan penyabar tetapi menyimpan kesedihan kerana masih belum dikurniakan cahaya mata selepas bertahun-tahun berkahwin dengan Adli. Kehidupannya berubah apabila Adli, seorang ahli perniagaan berpengaruh, membuat keputusan untuk berkahwin lagi dengan Nikita, wanita muda yang berani, lantang dan penuh misteri. Pertemuan antara Azura dan Nikita pada awalnya dipenuhi rasa cemburu, dendam serta persaingan. Namun, keadaan berubah apabila Nikita terpaksa tinggal sebumbung dengan Azura. Daripada saling bermusuhan, kedua-duanya mula memahami trauma dan luka yang ditanggung masing-masing sehingga menyedari bahawa mereka mungkin mempunyai musuh yang sama. Hubungan yang semakin rapat antara kedua-dua wanita itu bagaimanapun mencetuskan konflik baharu apabila Adli mula menyedari perubahan dalam hubungan mereka. Situasi tersebut membawa kepada pelbagai kejutan dan persoalan mengenai kepercayaan, manipulasi serta kuasa dalam sesebuah hubungan rumah tangga. Dengan jalan cerita yang berani, pengarahan Eyra Rahman serta persembahan penuh emosi daripada barisan pelakon utama, Madu Atau Racun dijangka menawarkan lebih daripada sekadar kisah poligami. Drama ini turut mengetengahkan kekuatan wanita, trauma, pengkhianatan dan ikatan kemanusiaan yang boleh terbentuk dalam situasi yang paling tidak dijangka. Jangan lupa untuk menonton secara eksklusif Madu Atau Racun di iQIYI bermula 14 Ogos 2026,pada setiap hari Jumaat dan Sabtu jam 9 malam. INFORMASI Judul: Madu Atau RacunTagline: Satu Rumah. Dua Isteri.Platform: iQIYI OriginalTarikh Tayangan: 14 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam.Genre: Drama RomantisFormat: 12 Episod Post navigation Selepas 26 Tahun, Dato’ Khadijah Ibrahim Hadiahkan “Ibu Doa” sebagai Karya Penuh Makna