Kuala Lumpur, 13 Mei 2026 – Selepas lebih sedekad menyepi daripada radar industri muzik, kumpulan alternatif rock Malaysia, Disagree, akhirnya kembali dengan semangat baharu menerusi single terbaharu berjudul “Let’s Do It All Again”. Dianggotai oleh Zahid, Hamka dan Taa, kemunculan semula ini bukan sekadar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka, tetapi hadir sebagai usaha menyempurnakan sebuah perjalanan yang pernah terhenti tanpa penutup yang jelas. Single tersebut kini boleh didengari di semua platform penstriman utama dan menjadi pembuka jalan kepada album penuh akan datang, “Black & White in Colour”. Menurut Disagree, keputusan untuk kembali bukan didorong semata-mata oleh kerinduan terhadap pentas muzik, tetapi lahir daripada keinginan untuk menyambung kisah yang belum selesai bersama peminat yang tidak pernah benar-benar melupakan mereka. Setelah bertahun-tahun membawa haluan hidup masing-masing akibat komitmen keluarga, kerjaya dan perubahan peribadi, kumpulan ini mengakui mereka tidak pernah sempat mengucapkan selamat tinggal kepada peminat yang selama ini menjadi sebahagian penting perjalanan mereka. “Let’s Do It All Again” membawa naratif yang cukup dekat dengan realiti Disagree sendiri, mengangkat tema kepulangan, penyesalan, penghargaan serta usaha memperbaiki kesilapan lalu. Lagu itu digambarkan sebagai surat permohonan maaf yang tulus, mengajak peminat untuk kembali berhubung selepas sekian lama terpisah. Dengan nuansa nostalgik namun penuh harapan, karya tersebut menampilkan evolusi muzik Disagree yang kini lebih matang, reflektif dan kaya dengan penceritaan emosi tanpa meninggalkan akar grunge serta alternatif rock yang pernah menjadi identiti mereka. Dirakam di Malaysia dan Australia, lagu berkenaan turut mendapat sentuhan produksi berkualiti tinggi menerusi Greg Henderson sebagai penerbit dan jurumix, manakala proses mastering dikendalikan oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia. Hasilnya, sebuah karya yang seimbang antara kemasan bunyi moden dan keaslian emosi yang menjadi tunjang muzik mereka. Nama Disagree bukan asing dalam arena muzik tempatan, khususnya sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an menerusi lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Osaka” dan “Haley”. Mereka juga pernah mencipta sejarah menerusi pelbagai pengiktirafan termasuk kemenangan di Anugerah Industri Muzik (AIM) serta penampilan di festival berprestij seperti Rock The World. Kini, kemunculan semula mereka menandakan satu fasa baharu — lebih matang, lebih jujur dan lebih menghargai hubungan dengan peminat. Album akan datang, “Black & White in Colour”, dijangka menyelami tema patah hati, trauma, kepercayaan, hubungan semula serta perjalanan hidup, menjadikannya sebuah karya yang bukan sahaja meraikan kelahiran semula Disagree, tetapi juga dedikasi kepada generasi peminat yang membesar bersama muzik mereka. Post navigation “Unapologetic” Jadi Titik Baharu Perjalanan Muzik Dikta