Digi kemas kini jadual penamatan rangkaian 3G

Digi kemas kini jadual penamatan rangkaian 3G

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengumumkan penamatan rangkaian 3G miliknya di Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis akan dilaksanakan pada 3 Januari, 2022, manakala penamatan di Selangor dan Wilayah Persekutuan (termasuk Putrajaya) ialah pada 6 Januari, 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Digi berkata rancangan untuk menamatkan rangkaian 3G Digi di Sarawak akan berjalan seperti dijadualkan pada 30 Disember, 2021, iaitu selepas mereka berjaya menamatkan rangkaian 3G di Sabah, Wilayah Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang), dan Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan) dan membantu para pengguna di kawasan-kawasan berkenaan beralih ke 4G.

“Penamatan 3G di seluruh negara merupakan sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menaik taraf infrastruktur digital Malaysia dan menawarkan kesalinghubungan digital yang lancar buat semua.

“Penamatan ini akan membolehkan spektrum 3G diguna pakai untuk menambah baik rangkaian 4G evolusi jangka panjang (LTE), justeru membekalkan kualiti internet yang lebih baik buat semua pengguna,” jelasnya.

Selain itu, keutamaan Digi pada ketika ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia dapat kekal terhubung dengan menjamin ketersediaan perkhidmatan rangkaian di kawasan yang terjejas akibat banjir.

Pasukan Tindakan 24 jamnya sedang berusaha memulihkan tapak-tapak yang terjejas dengan segera, terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, dan Kelantan. – Bernama

Sumber