Didik anak melalui solat, sedekah

Didik anak melalui solat, sedekah

SHAH ALAM – Bapa memiliki tanggungjawab besar dalam mendidik anak melalui dua amalan utama yang diperintahkan ALLAH SWT iaitu mendirikan solat dan memberi sedekah.

Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Centre dari Indonesia, Bachtiar Nasir berkata, hubungan dua amalan tersebut tidak boleh dipisahkan kerana ia menyempurnakan dua konsep utama sangat diperlukan sebuah peradaban iaitu ibadah ritual dan sosial.

Menurutnya, pembangunan peradaban masyarakat yang kukuh hanya akan terlahir sekiranya generasi masa hadapan yang dibentuk melalui didikan bapa dan keluarga berjaya memenuhi kedua-dua tuntutan tersebut.

“Menerusi al-Quran ALLAH menjelaskan supaya bapa mengajak anak-anak bukan sahaja berbuat kebaikan tetapi mendirikan solat agar mereka tidak menjadi agnostik iaitu orang yang hanya ingin menjadi baik tetapi tanpa aturan agama.

“Jadi, ini adalah sebuah tatanan sosial yang penuh dengan kasih sayang yang harus dibentuk di dalam rumah dan juga kepada keluarga,” katanya ketika Program World #QuranConvention 2.0 Fatherless Homes dengan topik ‘Peranan Ayah: Dirikan Solat dan Bersedekah’ pada Ahad.

Bachtiar menjadi penceramah jemputan dalam program World #QuranConvention 2.0 Fatherless Homes dengan topik ‘Peranan Ayah: Dirikan Solat dan Bersedekah’ pada Ahad.

Bachtiar menjadi penceramah jemputan dalam program World #QuranConvention 2.0 Fatherless Homes dengan topik ‘Peranan Ayah: Dirikan Solat dan Bersedekah’ pada Ahad.

Mengulas lanjut, Bachtiar berkata, amalan sedekah secara berterusan daripada seorang bapa bakal melahirkan generasi yang kuat serta mapan dari segi ekonomi.

Jelas beliau, ini kerana anak-anak akan terkesan apabila melihat keberanian bapa mereka berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui pelbagai cara seperti sedekah, zakat dan wakaf.

Katanya, sesebuah keluarga yang dibentuk tanpa nilai sedekah termasuk wakaf akan hanya melahirkan masyarakat yang sangat materialistik dan hanya mementingkan kepentingan keuntungan sahaja dalam menjalani kehidupan.

“Sebaliknya keluarga yang dibentuk dengan nilai sedekah akan kaya dengan kasih sayang kerana tidak semua benda boleh diukur dengan material semata-mata,” ujarnya.

Sumber