Dayang Nurfaizah Tampil Memukau di Pentas Calpis Soda One In A Million

Pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) minggu kedua mencuri perhatian dengan kehadiran istimewa Dayang Nurfaizah yang memukau penonton menerusi dua lagu ikoniknya, Hakikat Cinta dan Lemah. Selepas 15 tahun, Dayang kembali ke pentas berprestij ini dengan persembahan bertenaga, memberikan sokongan dan inspirasi kepada barisan Top 14 dalam episod yang berlangsung pada Ahad lalu.

“Walaupun sudah bertahun-tahun, saya tetap merasa gemuruh setiap kali berada di pentas OIAM, apatah lagi menyanyi di hadapan barisan peserta yang hebat. Nasihat saya kepada mereka, jangan terlalu risau. Nikmati setiap momen di pentas dan berikan sepenuh tenaga seperti ia adalah persembahan terakhir anda,” ujar Dayang.

Dayang turut menekankan kepentingan persiapan mental dalam menghadapi pertandingan seperti ini. “Dalam era media sosial, tekanan lebih tinggi dengan pelbagai komen netizen. Abaikan komen negatif dan fokus pada pembaikan diri. Jangan terlalu bergantung pada pendapat orang lain sehingga mengganggu fokus kerana setiap minggu adalah peluang baru untuk menyerlah,” tambahnya.

Namun, suasana bertukar hiba apabila empat peserta—Trio XL, Dhania, Erfarina, dan Aniq Iffat—terpaksa meninggalkan pentas selepas memberikan persembahan terbaik mereka. Walaupun menerima komen positif daripada juri, persaingan sengit minggu ini tidak memihak kepada mereka. Dedikasi dan bakat mereka tetap menjadi inspirasi kepada semua.

Minggu kedua menyaksikan Jimi dinobatkan sebagai peserta paling ‘FIZZ’ dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Di Penjara Janji. Kemenangannya memberikan peluang istimewa untuk berduet bersama Aina Abdul pada minggu hadapan, menjanjikan sesuatu yang luar biasa.

Cabaran baharu menanti minggu depan dengan baki 10 peserta yang akan bersaing mengikut tema “Rasa Paling Indah”. Peserta-peserta berbakat ini termasuk Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, Dayangku Iffah, Hafiz Zainal, dan Eylia Guntabid. Undian peminat memainkan peranan penting, dengan 40% markah ditentukan oleh penonton, manakala baki 60% oleh juri profesional.

Saksikan Calpis Soda One In A Million setiap Ahad, jam 9.00 malam, secara langsung di TV3 atau strim di Tonton. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan memukau dan berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000.

Ikuti juga Fizz Journal, sorotan eksklusif pengalaman peserta, setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Dapatkan perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan sertai perbualan dengan hashtag #OIAM. Minggu hadapan, lebih banyak kejutan menanti!