Dari Tradisi ke Inspirasi: Perjalanan Mumpreneur Affira Affendi Membangun Perniagaan Malaysia

Affira Affendi, seorang wanita berusia 33 tahun, telah menempuh perjalanan kerjaya yang luar biasa. Dahulunya bekerja sebagai jurubank, kini beliau menempa kejayaan sebagai usahawan dalam bidang eDagang. Sebagai pemilik jenama fesyen tempatan yang semakin dikenali, D’Songket dan NSA Glamorous, Affira memulakan langkah berani dalam dunia perniagaan dalam talian dengan misi yang jelas: memudahkan orang ramai mengakses fesyen tradisional Malaysia dengan lebih mudah dan moden.

Keinginan beliau untuk mengangkat warisan budaya ke peringkat seterusnya telah berjaya menarik perhatian ramai. Hari ini, Affira bukan sahaja terkenal sebagai usahawan berjaya, tetapi juga sebagai seorang jurulatih eDagang yang disegani. Beliau diiktiraf sebagai Lazada Certified Trainer, di mana beliau gigih membantu peniaga-peniaga tempatan lain memulakan perniagaan dalam talian serta membimbing mereka menuju kejayaan. Dengan pengalaman yang luas dalam eDagang, Affira terus memberi inspirasi kepada ramai, membuktikan bahawa dengan tekad dan wawasan, seseorang boleh mengubah cabaran menjadi peluang.

Bangkit daripada cabaran, mara kepada kejayaan

Terinspirasi oleh ibunya, seorang ibu tunggal yang juga seorang usahawan berjaya, Affira memulakan langkah pertamanya dalam dunia perniagaan pada tahun 2019 dengan menjual secara kecil-kecilan melalui platform Facebook. Perjalanan Affira mengalami perubahan besar apabila seorang rakan memperkenalkannya kepada platform eDagang Lazada. Tidak lama selepas itu, Affira menubuhkan NSA Glamorous dan mula menjalankan perniagaan secara sambilan. Pada peringkat awal, beliau menjual pelbagai pakaian Muslimah, termasuk tudung bercetak yang anggun, telekung yang diperbuat daripada fabrik lembut dan beraliran udara, serta pakaian batik yang direka untuk keselesaan dan gaya.

Setelah berjaya mencapai jualan lima angka, Affira membuat keputusan besar untuk meninggalkan kerjayanya dalam sektor perbankan demi memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan eDagang. Keputusan ini membawa kepada kelahiran jenama baharunya, D’Songket, di platform Lazada.

Sebagai seorang bekas ibu tunggal, Affira tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dalam mengimbangi kehidupan peribadi dengan perniagaan yang sedang berkembang. Walau bagaimanapun, sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibunya sangat membantu, terutama dalam mengurus pesanan yang semakin bertambah dan memastikan penghantaran dibuat tepat pada masanya. Keberhasilan ini mencapai kemuncaknya apabila beliau menerima pengiktirafan sebagai Top eCommerce Merchant oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) bagi tahun 2023-2024. Penghargaan ini, menurut Affira, adalah titik tolak utama bagi kejayaan jenama D’Songket dan NSA Glamorous.

“Ada saat di mana saya perlu berjaga sehingga larut malam untuk menyiapkan pesanan, dan terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak pada hujung minggu kerana fokus saya adalah untuk menambah baik operasi perniagaan. Ini penting untuk kekal bersaing dalam pasaran yang sangat kompetitif. Saya menghadapi pelbagai cabaran dari segi pengurusan masa, kekangan sumber, dan tekanan untuk terus mengembangkan perniagaan. Walaupun pada mulanya masa depan kelihatan tidak menentu, saya kekal tabah kerana matlamat saya jelas – saya lakukan semua ini demi keluarga,” ujar Affira.

Meraikan seni tradisional

Walaupun Affira terus aktif dalam menguruskan kedua-dua jenama miliknya, NSA Glamorous dan D’Songket, jenama D’Songket menjadi kebanggaannya yang utama. Melalui D’Songket, beliau dapat menzahirkan minat mendalam terhadap fesyen tradisional Malaysia, terutamanya songket. Dengan kepakaran dalam menghasilkan songket buatan tangan oleh para tukang tenun mahir dari Terengganu, jenama ini menghargai dan memartabatkan kekayaan warisan budaya tempatan. Setiap helai kain songket direka dengan penuh ketelitian, menggunakan bahan-bahan terbaik untuk mengekalkan kualiti premium.

“Produk kami sangat digemari kerana ia sepenuhnya buatan tangan, dan yang lebih istimewa, setiap rekaan hanya dihasilkan dalam jumlah satu sahaja. Ini menjadikan setiap helaian eksklusif, unik, dan keistimewaan ini menjadi teras utama yang membina kekuatan jenama kami,” jelas Affira. Keunikan dan eksklusiviti inilah yang menjadikan D’Songket pilihan utama bagi mereka yang menghargai kualiti, warisan, dan seni tenunan tradisional Malaysia.

Memberi inspirasi kepada generasi baharu penjual Malaysia

Affira tidak hanya fokus pada pembinaan perniagaannya, tetapi juga menyedari potensi besar yang boleh dimanfaatkan dari pengalamannya sebagai peniaga eDagang. Mempunyai bakat dalam komunikasi, beliau mengambil inisiatif untuk menjadi jurulatih eDagang dan diiktiraf sebagai Lazada Certified Trainer pada tahun 2021. Sejak itu, beliau telah berusaha keras untuk membimbing ramai penjual lain dalam memanfaatkan platform Lazada untuk mencapai kejayaan dalam dunia eDagang.

Melalui penganjuran kelas mingguan di Lazada University, Affira telah membantu pelbagai usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka. Dengan kepakarannya, beliau mengajar penjual menggunakan pelbagai alat terbina dalam platform, seperti papan pemuka data dan ciri-ciri yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI). Keazaman dan dedikasi Affira telah membawanya meraih gelaran ‘Lazada Certified Trainer Terbaik 2024′ pada Sidang Kemuncak Penjual Lazada (Seller Summit) yang diadakan pada bulan Julai yang lalu.

“Lazada menyediakan pelbagai alat yang boleh membantu penjual memahami prestasi perniagaan dan tingkah laku pelanggan dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, papan pemuka data membolehkan penjual membuat keputusan yang lebih bijak berasaskan analisis prestasi jualan, manakala alat AI seperti Fee Forecast membantu meramalkan harga yang berpatutan dan mengenal pasti produk yang kompetitif. Selain itu, AI Smart Listing mempercepatkan proses penyenaraian produk untuk dijual, menjadikannya lebih efisien dan efektif,” jelas Affira, sambil mengingatkan penjual untuk sentiasa menggunakan ciri-ciri istimewa ini secara konsisten demi meningkatkan jualan mereka.

Untuk masa depan Malaysia

Bagi Affira, Hari Malaysia adalah masa untuk merenung cabaran perjalanan dan kejayaan yang telah dicapainya dalam membina jenama mampan yang mewakili yang terbaik dari Malaysia. Perjalanan Affira mempamerkan ketabahannya, pertumbuhan peribadi, dan kebanggaan budayanya, semuanya disokong oleh usaha gigih, dedikasi, dan teknologi canggih yang disediakan oleh Lazada.

Lebih daripada sekadar membuktikan bagaimana perniagaan tempatan boleh berkembang maju dengan merangkul transformasi digital, usaha Affira turut menandakan komitmennya untuk memperkasakan komuniti setempat. Misi peribadi Affira adalah untuk memberi balik kepada masyarakat dengan mempertingkatkan kebolehan penjual generasi baharu melalui perkongsian pengalamannya sebagai pemilik perniagaan dan jurulatih.

Affira berkata, “Saya sentiasa memberitahu bakal usahawan bahawa perkara paling penting yang perlu dilakukan apabila mereka memulakan perniagaan adalah untuk mempercayai proses tersebut. Anda mesti mengambil langkah pertama. Lazada menyediakan alatan untuk mencapai kejayaan, tetapi anda mesti berusaha dengan keberanian dan keazaman untuk merealisasikan impian anda.”

Dengan usahawan Malaysia seperti Affira Affendi, tidak syak lagi bahawa masa depan landskap eDagang Malaysia pastinya cerah.