Zepp Kuala Lumpur bergema dengan emosi dan kenangan apabila kumpulan pop-Melayu terkenal dari Indonesia, Dadali, mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia menerusi “Dadali Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur”. Sejak tirai dibuka tepat jam 9 malam, lebih 1,600 peminat setia menyanyi bersama vokalis utama, Octa Dyrga Nala Prana (Dyrga), mencerminkan betapa kuatnya pengaruh lagu-lagu galau mereka di hati pendengar tempatan.
Selama hampir dua jam, pentas dihidupkan oleh persembahan penuh tenaga daripada Dyrga bersama anggota kumpulan Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes) dan Obot (dram). Mereka mempersembahkan 18 lagu popular termasuk “Di Saat Sendiri”, “Cinta Jangan Kau Pergi”, “Sakit Teramat Sakit”, “Mendua”, “Di Saat Aku Tersakiti”, “Aishiteru”, dan sebuah kejutan istimewa menerusi lagu “Dikir Rambong”. Malam ditutup dengan penuh syahdu melalui balada ikonik mereka, “Sebuah Kisah”.

Kemunculan istimewa penyanyi tempatan Ronnie Hussein sebagai tetamu khas menambah kemeriahan malam apabila beliau mendendangkan lagu “Hanya Aku” dan “Harapan”, sebelum berduet bersama Dyrga menerusi “Di Saat Aku Mencintaimu” yang menjadi antara sorotan paling memukau sepanjang persembahan.
Dalam ucapan penghargaan kepada peminat, Dyrga turut mengumumkan bahawa kisah perjalanan Dadali sejak penubuhan mereka di sebuah garaj di Bogor pada tahun 2009 bakal difilemkan menerusi sebuah projek biopik bertajuk Sebuah Kisah. Pengumuman tersebut disambut dengan sorakan gemuruh, namun tumpuan utama malam tetap pada kemunculan sulung mereka di pentas utama Malaysia serta sambutan hangat daripada peminat.
Konsert ini dianjurkan oleh Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations dengan sokongan Tourism Malaysia sempena kempen Visit Malaysia 2026. Ia turut menandakan permulaan kepada kerjasama budaya yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia. Kejayaan malam 5 Julai bukan sekadar membuktikan pengaruh berterusan Dadali sebagai “Raja Lagu Galau”, malah mengukuhkan muzik bernuansa kerinduan mereka sebagai penghubung emosi antara dua negara serumpun.