Cuti Sekolah Lebih Meriah! Ejen Ali The Movie Kembali Ke Pawagam

Primeworks Studios dan Wau Animation dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Ejen Ali The Movie akan kembali ke pawagam-pawagam terpilih di seluruh Malaysia bermula pada 6 Februari 2025. Ini merupakan peluang istimewa bagi peminat untuk merasai semula kehebatan fenomena yang pernah menggegarkan Malaysia, Singapura, dan Brunei pada tahun 2019.

Tayangan semula ini bukan sekadar untuk mengimbas kembali perjalanan epik Ejen Ali di bandar futuristik Cyberaya, tetapi turut menyajikan kejutan istimewa untuk semua. Bagi peminat yang setia, kali ini mereka berpeluang untuk menonton sedutan eksklusif selama lima minit daripada Ejen Ali The Movie 2! Sedutan ini memberi gambaran pertama tentang misi baharu yang bakal membawa Ejen Ali menyarung sut perisai Projek Satria yang baharu, direka khas untuknya bagi menguasai empat Teras MATA: Tekno (Teknologi), Neuro (Strategi), Kombat (Seni Pertempuran), dan Inviso (Penyamaran).

Ejen Ali The Movie telah mencatatkan pencapaian luar biasa, dengan meraih lebih RM30 juta dalam tempoh hanya enam minggu selepas tayangannya, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa. Tahun 2019 juga diiktiraf sebagai ‘Tahun Animasi Malaysia’ di mana Ejen Ali The Movie menjadi peneraju utama, membuktikan bahawa karya tempatan mampu bersaing dengan filem animasi antarabangsa yang popular.

Sejak debutnya pada 2016, siri animasi Ejen Ali telah berjaya menarik perhatian penonton dari pelbagai generasi, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di lebih 65 negara, termasuk di Disney Asia, Nickelodeon India, serta di Indonesia melalui MNCTV dan RTV. Francais ini mencipta sejarah sebagai IP animasi Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Walt Disney Company Southeast Asia, sekali gus memperluas pengaruhnya dalam industri animasi global.

Diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali The Movie mengisahkan perjalanan seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang secara tidak sengaja terpilih untuk menjadi seorang ejen dalam organisasi perisikan MATA (Meta Advance Tactical Agency). Dalam usaha melindungi Cyberaya, Ejen Ali berdepan dengan krisis apabila gajet IRIS-nya dinaik taraf kepada IRIS Neo yang boleh digunakan oleh ejen MATA lain. Ali mendapati dirinya bukan lagi satu-satunya ejen istimewa, dan kemunculan individu misteri yang mengetahui rahsia masa lalunya menambah ketegangan dalam cerita ini. Ali terpaksa menguji semula kesetiaannya terhadap MATA, sambil mencari kebenaran yang semakin mencabar dalam dunia yang penuh misteri.

Tayangan semula Ejen Ali The Movie ini juga menandakan langkah pertama menuju pelancaran sekuel yang dinantikan ramai, Ejen Ali The Movie 2. Keterujaan terhadap filem sekuel ini semakin memuncak sejak pelancaran teaser rasmi pertama pada September 2024. Lebih menarik lagi, lagu tema rasmi Ejen Ali The Movie 2 berjudul “Hanya Kamu,” nyanyian Dato’ M Nasir, telah diperkenalkan pada 31 Januari 2025 di platform penstriman digital. Lagu ini menggabungkan elemen muzik elektronik yang sinonim dengan Ejen Ali bersama vokal hebat Dato’ M Nasir, dan menjadi simbol semangat untuk generasi muda menghadapi cabaran hidup dan berani menjadi versi terbaik diri mereka. Lagu ini ditulis bersama komposer Azri Yunus dari WAU Animation, dengan lirik yang disumbangkan oleh Dato’ M Nasir sendiri.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena yang terus berkembang ini. Saksikan Ejen Ali The Movie di pawagam pada cuti sekolah bermula 6 Februari 2025 dan rasai pengalaman penuh transformasi, misteri, dan debaran dalam pengembaraan epik Ejen Ali.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ejen Ali The Movie 2, kunjungi saluran media sosial rasmi Ejen Ali melalui TikTok, YouTube, Facebook, Instagram, dan Twitter.