Beberapa warga kerja Coca-Cola menyantuni asnaf yang hadir pada salah satu program yang dianjurkannya sempena bulan Ramadan.
COCA-Cola Malaysia (Coca-Cola) meneruskan aktiviti menyantuni golongan kurang bernasib baik dan memberi keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan pada Ramadan kali ini.
Ia dilaksanakan seiring dengan falsafah jenamanya ‘Real Magic’ untuk menyatukan komuniti dan membawa kesan positif kepada masyarakat.
Pada tahun ini, Coca-Cola memperkasakan inisiatif Ramadannya bersama-sama rakan kerjasama baharunya iaitu K Fry Urban Korean dan Pizza Hut Malaysia serta mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan Marrybrown Sdn Bhd.
Pengarah Perhubungan Awam, Komunikasi dan Kelestarian – Coca-Cola Bottlers bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei, Khairul Anwar Ab Gahani berkata, Coca Cola berbesar hati dapat menyokong usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Ramadan ini melalui sumbangan ‘Bakul Rahmah’ kepada golongan B40 dan inisiatif ‘Bubur Lambuk Rahmah’bersama-sama Mydin.
“Sebagai sebuah syarikat minuman tanpa alkohol terbesar di dunia, Coca-Cola telah menyusun beberapa siri Majlis Iftar dan Bantuan Makanan Ramadan di bawah program Fast2Feed yang dianjurkan di seluruh negara.
“Program Fast2Food merupakan acara tradisi yang dijalankan bersama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia. Inisiatif ini merupakan kerjasama lebih 10 tahun bersama Muslim Aid untuk membawa kegembiraan kepada golongan dan komuniti yang kurang berkemampuan,” tambah Khairul.
Beliau berkata, Coca-Cola juga akan menjalankan program bersama rakan kerjasama baharunya K Fry Urban Korean untuk program Ramadan ‘K Fry Kare’.
“Melalui inisiatif ini, Coca-Cola dan K Fry Urban Korean akan berkunjung ke lapan rumah anak yatim terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan untuk majlis iftar bersama anak yatim dan menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan, sebagai salah satu cara berkongsi rezeki dengan kanak-kanak ini.
“Coca-Cola bersama Pizza Hut Malaysia pula akan bersama-sama mengagihkan pek Iftar kepada lebih 200 orang di Malaysia Timur,” katanya.
Khairul berkata, di Coca-Cola, komuniti adalah nadi kepada operasi dan perniagaannya.
Coca-Cola juga akan menganjurkan Majlis Iftar di Masjid Enstek bagi membolehkan kakitangan Coca-Cola meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk di kawasan sekitar kilang pembotolannya di Bandar Enstek.