Citarasa Desa di Puncak Kota: Bufet Ikonik KL Tower Kembali Dengan Pengalaman Santapan Eksklusif 292 Meter Tinggi

Sempena ketibaan Ramadan Al-Mubarak 1447 Hijrah, Kuala Lumpur Tower sekali lagi mempersembahkan bufet tahunan yang dinanti ramai, Citarasa Santapan Desa “Rasa Asli, Suasana Eksklusif”, yang akan berlangsung dari 21 Februari hingga 16 Mac 2026. Bertempat di Sky Mega Hall pada ketinggian 292 meter dari aras bumi, para tetamu bakal menikmati pengalaman gastronomi istimewa yang menggabungkan cita rasa masakan kampung, suasana desa moden yang mewah serta panorama 360° Kuala Lumpur merangkumi pemandangan senja dan keindahan malam kota.

Tahun ini, tema “Rasa Asli, Suasana Eksklusif” diangkat dengan sentuhan elegan bagi menghidupkan semula nostalgia kampung yang kaya dengan warisan Melayu. Setiap aspek pengalaman daripada rasa, aroma hingga tekstur hidangan dirancang dengan teliti oleh pasukan kulinari Kuala Lumpur Tower dan Knight Cuisines Sdn. Bhd. Bufet ini menampilkan lebih 200 pilihan hidangan desa yang disusun melalui empat set menu rotasi mingguan, menjadikan setiap kunjungan berbeza dan sesuai untuk keluarga, pelanggan korporat serta tetamu antarabangsa.

Antara hidangan tradisi yang disajikan termasuk Kerabu Mangga, Kerabu Pucuk Paku, ulam-ulaman segar, Sup Tulang Berempah, Sup Ayam Berherba, Daging Rendang Tok, Ayam Masak Merah, Ayam Percik Desa, Kari Kepala Ikan, Ikan Talapia Bakar dan Sambal Tempoyak Daun Kayu. Di bahagian gerai masakan panas yang sentiasa dinantikan, tetamu dapat menikmati Kambing Golek Manja, Char Kuey Teow Kampung, Mee Kari Kuah Pekat, Sate Ayam dan Daging, Cucur Udang panas serta Apam Balik rangup. Aroma masakan yang membangkitkan nostalgia air tangan ibu dan nenek dijangka memenuhi ruang Sky Mega Hall, menjadikan hidangan bukan sekadar pengisian perut tetapi pengalaman sentimental yang menghidupkan memori.

Pilihan pencuci mulut turut melimpah dengan ABC Corner, aneka kuih Melayu seperti Seri Muka, Kuih Lapis dan Talam Pandan, selain Pengat Pisang, Bubur Kacang Hijau, Agar-Agar Santan serta minuman tradisi seperti Air Bandung, Teh Tarik dan Sirap Limau. Bagi memastikan tetamu menikmati pengalaman eksklusif, bufet ini dihadkan kepada 220 tetamu sehari, menawarkan ruang makan premium yang luas, pemandangan KLCC dan panorama kota dari jendela eksklusif, layanan profesional pasukan hospitaliti serta pilihan tempat duduk tepi tingkap yang terhad.

Kemudahan tambahan termasuk surau, kerusi bayi terhad, ruang menunggu selesa, perkhidmatan shuttle, pasukan keselamatan bertauliah dan koordinasi pramusaji berpengalaman. Harga yang ditawarkan adalah berpatutan, dengan promosi Early Bird dibuka dari 1 November hingga 31 Disember 2025. Harga bermula daripada RM125 bagi dewasa hari biasa dan RM139 bagi dewasa hari minggu, termasuk caj perkhidmatan 10% dan SST 6%.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman berkata bahawa Citarasa Santapan Desa bukan sekadar bufet, tetapi pengalaman gastronomi yang mengangkat warisan desa ke pentas premium Kuala Lumpur Tower. Katanya, ia kekal menjadi pilihan keluarga, syarikat korporat dan pelancong antarabangsa setiap tahun, dan edisi 2026 dijanjikan lebih eksklusif serta meninggalkan kenangan bermakna sepanjang Ramadan.

Tempahan kini dibuka dan tertakluk kepada kapasiti. Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi +603 2630 3033. Rebut peluang menikmati harga Early Bird sebelum 31 Disember 2025 dan alami sendiri keaslian rasa desa dalam suasana eksklusif hanya di Kuala Lumpur Tower.