Category: ATTRACTION

  • Hukum hadiri kenduri kahwin yang tidak dijemput, makan jamuan disediakan

    Hukum hadiri kenduri kahwin yang tidak dijemput, makan jamuan disediakan

    “JOM kita pergi kenduri kahwin Humairah. Aku tak ada kawanlah nak datang. Kau temankan aku ye.”

    Demikian kata Faizah Halim (bukan nama sebenar) kepada rakannya, Mariam Arif (bukan nama sebenar).

    Pun demikian, Mariam sebenarnya rasa serba salah untuk mengikuti Faizah kerana dia tidak dijemput menghadiri walimah tersebut.

    Humairah hanya menjemput Faizah untuk memeriahkan majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihannya.

    “Takkan aku nak pergi juga walimah tu dan makan. Malulah, sudahlah tuan rumah tak jemput, aku pula datang makan,” Mariam bermonolog dalam hati, pada masa sama menyusun ayat terbaik untuk menolak ajakan Faizah tadi.

    Barangkali anda pernah menghadapi situasi itu, bukan? Apakah tindakan yang patut dilakukan jika kita berdepan dengan situasi berkenaan?

    Apakah hukumnya apabila kita tetap hadiri majlis kenduri kahwin berkenaan dan makan jamuan disediakan walaupun tidak dijemput?

    Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa hukum asal menghadiri majlis perkahwinan jika dijemput secara khusus adalah wajib.

    KEPADA mereka yang dijemput menghadiri walimah, wajib untuk memenuhi undangan berkenaan.

    KEPADA mereka yang dijemput menghadiri walimah, wajib untuk memenuhi undangan berkenaan.

    Ia berdasarkan pandangan majoriti ulama dalam Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar RA.

    Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” (Sahih Muslim)

    Bagaimanapun, jika kita tidak dijemput tuan rumah atau wakilnya, para ulama daripada empat mazhab iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali sepakat menyatakan haram untuk menghadirinya.

    Ia termasuklah jika kita hadir tanpa diketahui sama ada tuan rumah reda ataupun tidak.

    Individu berkenaan juga boleh dihukumkan sebagai fasik dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut.

    Ini kerana ia sebenarnya termasuk kategori perbuatan memakan makanan yang haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:“Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputannya, dia telah ingkar kepada ALLAH dan Rasul-NYA; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri.” (Sunan Abi Dawud)

    Namun demikian, seandainya tuan rumah memberi keizinan walaupun pada awalnya dia tidak dijemput, maka hukumnya adalah harus.

    Apa pun, ingatlah bahawa para ulama mengharamkan seseorang hadir ke kenduri tanpa dijemput jika diyakini tuan rumah tidak reda.

    Adapun, jika kita yakin tuan rumah reda dengan kehadiran kita, contohnya kita merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun mereka terlupa untuk menjemput kita, maka dalam keadaan tersebut, ia tidak diharamkan.

    (Sumber: Al-Kafi #1571: Hukum Hadir Walimah Tanpa Dijemput, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber

  • Syria Care : Majlis Pelancaran Kembara Jiwa Dan Kemanusiaan 3.0 bersama ikon

    Pada 5 – 11 April 2020 tim Syria Care akan ke Turki dan Syria bagi Projek Kembara Jiwa dan kemanusiaan 3.0. Pada tahun 2017 Dan 2018 tim Syria Care telah pergi ke Istanbul, Turki membantu pelarian Syria. Pelbagai usaha Dan inisiatif pihak Syria Care telah dan sedang lakukan bagi memastikan kelangsungan usaha kemanusiaan berterusan.

    Penganjuran misi Syria Care Kali ini lebih eksklusif dan istimewa kerana Tim Syria pergi bersama para ikon yang sentiasa menyokong usaha Syria Care. Ikon yang terlibat adalah YABhg Datin Seri Masdiana Muhammad, Khai Bahar, Wany Hasrita, Dr Taha Omar, dan Dr Mohd Azrul Azlen Abd Hamid.

    Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care 3.0 akan diketuai oleh Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki selaku Pengerusi Syria Care manakala Puan Nurdieana Mohd Mardzi selaku Pengarah projek.

    Pelbagai aktiviti kemanusiaan akan dilaksanakan bersama pelarian di kem, anak-anak yatim dan juga ibu tunggal di Turki dan Syria. Tim Syria Care juga akan melawat Sekolah Ulfah (Perempuan) di Atma, Syria bagi melihat sejauh mana perkembangan kemajuan sekolah yang menjadi tumpuan utama dana kali ini.

    Projek pengumpulan Dana diperlukan sebanyak RM231,840 bagi sekolah tersebut yang telah dimulakan sejak Oktober 2019 dan berterusan sehingga akhir 2020.

    Keterlibatan ikon-ikon dan komitmen amat penting sebagai wadah perantara rakyat Malaysia terutama terhadap sokongan dan ketelusan kerja kemanusiaan di Syria Care.


    Sumbangan amat diharapkan bagi mencapai misi Projek sekolah Ulfah dan aktiviti di Turki dan Syria. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Syria Care 1203 8010 1377 55

  • Buah ranum yang tumbuh di tepi jalan, bolehkah kita makan sesuka hati?

    Buah ranum yang tumbuh di tepi jalan, bolehkah kita makan sesuka hati?

    MELIHAT buah yang masak ranum di tepi jalan, membuatkan sesiapa sahaja terliur.

    Namun begitu, untuk memetik dan mengambil buah itu begitu sahaja memang tidak boleh dilakukan.

    Masakan tidak, jika pokok itu mempunyai tuan, kita ibarat ‘si pencuri’ buah berkenaan kerana mengambil apa yang bukan menjadi hak sendiri.

    Jika dibiarkan begitu sahaja, alangkah membazirnya sedangkan hasilnya boleh dimanfaatkan.

    Apakah pandangan Islam tentang hal itu? Adakah buah tersebut boleh dimakan sesuka hati jika memang tidak ditemui siapakah tuan kepada pokok tersebut?

    Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini akan merungkaikan tentang persoalan itu.

    Menurut pendakwah yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris, ada tiga langkah atau adab apabila ingin memanfaatkan buah daripada pokok yang tidak diketahui siapa tuannya.

    Apabila suatu pokok berbuah, contohnya rambutan, epal atau kurma di tepi jalan dan kita tidak tahu pemiliknya, adab yang pertama kita kena tanya sekurang-kurangnya minimum tiga kali kepada orang di sekeliling, terang beliau.

    “Jika orang tersebut kata ‘tidak tahu’, tiada jawapan dan sebagainya, kita pergi kepada langkah kedua iaitu dibolehkan untuk kita memakannya. Namun, ada syaratnya iaitu makan di situ saja dan tidak boleh dibawa balik atau dijual.

    “Yang ketiga, pokok itu mestilah tidak berada di dalam kawasan berpagar. Ya, kawasan berpagar itu merupakan simbolik atau lambang kepada ia milik seseorang,” katanya.

    Justeru, Fitri menasihatkan kita agar sentiasa berwaspada dan jangan sampai mengambil hak orang lain tanpa izin.



    Sumber

  • Ibnu Tufail, ilmuan Islam dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang

    Ibnu Tufail, ilmuan Islam dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang

    MENYINGKAP semula lembaran sejarah peradaban Islam, nama Ibnu Tufail tercatat antara cendekiawan Muslim yang masyhur. Tokoh itu dikenali sebagai seorang penulis, novelis, ahli agama dan doktor oleh seantero dunia.

    Masakan tidak, beliau terkenal dengan kepakarannya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dimilikinya memang diperakui oleh sarjana Islam dan Barat. Namanya begitu gah sekitar abad ke-12 Masihi.

    Pemilik nama sebenar Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi itu dilahirkan di Asya, Granada sekitar 1106 Masihi.

    Pun demikian, ilmuwan berketurunan Arab Qais itu tidak dapat dipastikan keseluruhan latar belakangnya. Ia disebabkan keterbatasan maklumat mengenainya.

    Bagaimanapun, Ibnu Tufail merupakan tokoh yang disegani dan berpengaruh ketika hayatnya berdasarkan catatan sejarah. Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila beliau turut dikenali di dunia Barat sebagai Abubacer.

    Menelusuri kehebatannya dalam bidang perubatan, Ibnu Tufail pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf Al-Manshur yang merupakan khalifah Maghribi kedua daripada Dinasti Muwahhidun (1163-1184 Masihi). Kepakaran yang dimiliki dengan berkat kesungguhan yang ditunjukkan Ibnu Tufail telah mengangkatnya menjadi doktor peribadi kepada gabenor dan dua wilayah iaitu Sabtah dan Thaniah.

    Beliau juga bukan calang-calang orang. Ilmuwan hebat itu pernah dilantik sebagai menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati.

    Kepakaran yang dimiliki Ibnu Tufail tidak terhenti di situ. Beliau dikurniakan bakat untuk menulis. Namun sayangnya, karya-karya yang dihasilkannya banyak yang telah hilang. Ia ekoran kejadian kekacauan dan peperangan yang berlaku di Maghribi suatu masa dulu.

    Gaya penulisan luar biasa

    Jika diselak kembali lembaran historiografi, Ibnu Tufail sebenarnya begitu gemar dan cenderung untuk menulis. Menurut Abdul Wahid Al-Marakasy, Ibnu Tufail telah meriwayatkan banyak buku yang telah dibaris dengan tangannya sendiri dalam bidang falsafah, ilmu jiwa dan pelbagai syair.

    Meskipun banyak menulis buku, ada satu kitab tulisan Ibnu Tufail yang begitu popular iaitu Hay Ibn Yaqzan. Apa tidaknya, tokoh hebat itu memuatkan pandangannya dengan gaya bahasa yang menarik dan imaginasi yang indah.

    Tidak keterlaluan jika dikatakan buku itu dianggap sebagai warisan paling unik tinggalan seorang ahli falsafah Islam yang tersohor.

    Hasil nukilannya dalam buku berkenaan, Ibnu Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia berpotensi mengenal ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan di sekelilingnya.

    Beliau tidak menyatakan secara terus berhubung perkara itu. Sebaliknya, ia disampaikan menerusi watak Hay Ibn Yaqzan yang hidup di sebuah tempat terpencil dan bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.

    Ya, gaya penulisan Ibnu Tufail dalam bentuk novel dan falsafah menerbitkan aura yang luar biasa. Buku ilmuwan tersohor itu banyak diterjemahkan dan dialih bahasa antaranya bahasa Latin dan Inggeris.

    Buku itu turut menukilkan pengamatan Ibnu Tufail mengenai ilmu metafizik, fizik dan sebagainya. Tokoh itu melihat alam semesta sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa, manakala dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi asas kepada kehidupan mereka di muka bumi ini.

    Meskipun ada yang menganggap pandangan dikemukakan merupakan perkara biasa pada hari ini, namun ketahuilah bahawa ia sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian dan fenomena yang berkaitan dengannya.

    Pada 1185 Masihi, Ibnu Tufail dilaporkan meninggal dunia di Maghribi. Sesungguhnya kelahiran Ibnu Tufail memberikan 1,001 rahmat buat manusia sejagat. Kecintaan beliau kepada buku-buku dan ilmu pengetahuan mengangkatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dalam pelbagai bidang. PROFIL

    Nama: Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi

    Gelaran: Ibnu Tufail dan Abubacer

    Tahun kelahiran: 1106 Masihi

    Tahun kematian: 1185 Masihi

    Kepakaran: Falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan

    Sumbangan: Pemikir yang banyak menghasilkan karya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan.

    Karya agung: Hay Ibn Yaqzan yang menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.



    Sumber

  • Bolehkah keringkan anggota wuduk?

    Bolehkah keringkan anggota wuduk?

    KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

    Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

    Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

    Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

    Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

    Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

    Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

    Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

    Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

    Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

    Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

    Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

    Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.



    Sumber

  • ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    SEORANG budak lelaki seringkali menjadi ‘mangsa’ ejekan rakan-rakannya. Tidak kiralah di sekolah atau kawasan kejiranannya, hampir semua kanak-kanak seusia dengannya enggan berkawan dengan budak lelaki berkenaan.

    Dari segi peribadinya, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu begitu tertib tatkala menyusun bicara. Apatah lagi jika berbual dengan orang yang lebih tua daripadanya. Beliau begitu menghormati orang tua. Perilakunya juga baik, cuma ada satu ‘cela’ yang dirasakan menjadi kekurangan pada kanak-kanak polos itu. Hanya kerana beliau berkulit gelap!

    Boleh dikatakan, saban hari, ada sahaja orang yang memanggilnya dengan gelaran ‘legam’. Tidak kurang yang menggelarnya ‘bontot kuali’. Bayangkan budak sekecil itu sudah menjadi mangsa cercaan rakan-rakannya.

    Jika diikutkan logik akal, mana mungkin budak seusianya mampu bertindak mendiskriminasikan sebegitu? Sudah tentu mereka ‘mempelajari’ sikap berkenaan daripada orang lain.

    Apa jua panggilan yang digunakan, jelas sekali ia mempersenda fizikal manusia lain.

    Ya, situasi itu kerap berlaku dalam dunia realiti. Ramai kini yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda fizikal orang lain. Medium digunakan lazimnya di media sosial, seterusnya disebarkan dan menjadi tular.

    Dalam kes terbaharu, gambar seorang lelaki menunggang motosikal membawa seorang kanak-kanak dengan kapsyen ‘Nak kesian dekat motor ke atau budak itu’, dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.

    Itu pun jelas ada unsur-unsur mempersendakan fizikal orang.

    Benarkah mempersendakan fizikal orang lain itu sama seperti menghina ciptaan ALLAH SWT? Bagaimana pula jika kata-kata bernada ‘ejekan’ tadi hanyalah sekadar gurauan?

    Larangan mencela

    Pendakwah Ustaz Haslin Baharim menjelaskan, fizikal atau tubuh badan manusia merupakan ciptaan ALLAH SWT.

    USTAZ HASLIN

    USTAZ HASLIN

    Apa sahaja cacat cela melibatkan tubuh badan manusia tersebut umpamanya masalah suara, sumbing, telinga dan sebagainya yang ditakdirkan oleh Sang Pencipta kepada seseorang, kita dilarang sama sekali untuk menghinanya.

    “Jika badan seseorang itu gemuk, lantas kita menyebutnya; ‘Badan apa besar begini. Kerbau dengan awak sama saja’. Ini merupakan satu bentuk penghinaan.

    Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian.

    “Apatah lagi, jika penghinaan itu dilontarkan dalam laman sosial hingga menjadi tular. Sekurang-kurangnya fikirkan perasaan keluarga seseorang yang ada cacat celanya daripada segi fizikal,” katanya ketika ditemui Sinar Islam pada Majlis Pelancaraan Butik Haqqi 2020 di Bangi, Selangor baru-baru ini.

    Kepada satu soalan, Ustaz Haslin yang terkenal dengan panggilan Ustaz Bollywood itu berkata, seandainya apa yang diungkapkan tadi hanya sebagai gurauan, ada ‘keringanan’ jika seseorang itu akrab dengan individu berkenaan.

    Memberikan contoh, seandainya seseorang itu mempunyai hubungan rapat dengan rakannya yang bergigi jongang dan tidak kisah digelar sedemikian, itu bukanlah masalah kerana membabitkan mereka berdua, jelas beliau.

    “Bagaimanapun, andai kata di hadapan orang ramai, kita berkata demikian sehingga menyebabkan orang ketawa dan menyakitkan hatinya, ia sama sekali tidak dibenarkan.

    “Jika kita tidak mengenali individu tersebut atau mungkin kenal, tetapi ‘jauh’ dengannya, kemudian kita kata pula ‘badannya dengan gajah lebih kurang sahaja’ dan tulis (di media sosial) ‘ini akibatnya jika makan kuat sangat’, ia tidak patut. Tidak perlulah kita memalukan orang tersebut,” jelas beliau.

    Bersyukur kepada ALLAH

    Tiada insan yang mahu dirinya dilahirkan dalam keadaan cela. Justeru, Ustaz Haslin mengingatkan kita agar tidak mempersenda atau mempermainkan fizikal seseorang.

    “Bagi mereka yang dijadikan ALLAH dengan kekurangan fizikal, maka terimalah dengan hati yang penuh pasrah dan reda. Semoga suatu masa nanti, ada kebaikan, manfaat atau ganjaran yang ALLAH berikan kepada kita.

    “Mungkin dengan cara orang buat begitu (mempersendakan fizikal kita), dosa kita diampunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

    Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk penghinaan termasuklah tentang perihal rumah tangga atau keadaan seseorang itu.

    “Kadangkala ada orang mengata ‘isteri cantik, tetapi suami pula sebaliknya’. Begitu juga dengan hinaan kepada seseorang apabila menyatakan ‘sudah tahu hidup di dalam rumah usang, tapi beranak ramai’.

    “Tidak perlulah kita berasa seronok dengan kekurangan dan kelemahan orang. Sama ada seseorang itu gemuk, cacat, sumbing, sengau, pekak, bisu dan sebagainya, itu dah memang ditentukan oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

    Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

    Bagi mereka yang terlanjur mempersendakan fizikal orang lain, kata Ustaz Haslin, mohon maaflah secara peribadi kepada individu berkenaan atau keluarga tersebut.

    “Jika penghinaan itu pernah tular di laman sosial Facebook atau Instagram contohnya, buatlah juga permohonan maaf melalui platform berkenaan,” nasihat beliau.

    Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz turut menggulungkan hujahnya buat ‘si penghina’.

    HASSAN MAHMUD

    HASSAN MAHMUD

    Apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia, ujar beliau, seseorang itu seharusnya memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana tidak dijadikan sebegitu rupa.

    “Sama ada kurang sihat, gemuk, kurus, berkulit gelap atau wajah tidak cantik sekalipun, bersyukurlah. Kita kena ingat bahawa apa yang berlaku itu adalah kehendak ALLAH.

    “Jangan kita mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita, bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk ALLAH,” ungkapnya.

    Seperkara beliau mengingatkan, sekiranya menghina orang lain, bermakna seseorang itu menghina makhluk yang sama dengannya juga.

    “Kalaulah yang dihina itu ayah, ibu atau anak kita, adakah kita sanggup berbuat demikian? Sebenarnya, menjadi tugas kita untuk membantunya. Sebab itu kita ada pakar perubatan dan rawatan Islam kerana hendak tolong-menolong dan bukannya caci-mencaci,” kata beliau.

    Berdosa

    Jelas tokoh pendakwah itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk mengelakkan diri daripada kebinasaan. Seandainya ditakdirkan dengan kekurangan itu, sebaiknya lakukan ikhtiar seperti mendapatkan rawatan.

    USAH sebarkan 'kecacatan' orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    USAH sebarkan ‘kecacatan’ orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    “Kita kena jaga diri kita sendiri daripada bahaya dan elakkan diri daripada mencemuh orang lain kerana kita sendiri pun ada kekurangan.

    “Walaupun ada orang tidak boleh bercakap atau tempang sekalipun, percayalah setiap yang ALLAH ciptakan itu ada kelebihannya. Terimalah (kekurangan itu) sebab masa depan kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita,” katanya.

    Beliau mengajak kita ‘mendekati’ tentang hukum manusia yang menghina dan mengeluarkan perkataan tidak sopan sehingga menyakiti orang lain tentang fizikal mereka.

    Agamawan itu menegaskan, barang siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, al-Quran menyebut, ia ibarat seperti memakan bangkai saudaranya yang sudah mati.

    “Maka, jauhilah sikap-sikap itu. Jika tidak, boleh jadi berdosa. Ini bukan dosa kecil. Kita mengejek ciptaan ALLAH dan bukan dosa biasa yang memerlukan kita tunaikan solat sunat taubat sahaja (untuk bertaubat).

    “Ini kerana ia sebenarnya meninggalkan kesan yang mendalam. Orang yang menghina itu, (sebenarnya) penghinaan tersebut akan berbalik kepada dirinya sendiri. Ia akan mengganggu fikiran, kehidupan dan emosinya. Semua itu akan datang balik kepada kita kerana berbuat sesuatu yang tidak baik. Jadi, jangan sampai ALLAH jatuhkan hukuman istidraj kepada kita,” katanya.

    Tegas nasihat beliau. ALLAH akan memberikan hukuman secara berperingkat sama ada di dunia ataupun akhirat. Individu yang melakukan perbuatan itu akan merasainya sebelum dia meninggal dunia.

    Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah riwayat hadis, jelas beliau.

    Apa yang dapat Sinar Islam simpulkan, hakikatnya, gemuk, kurus, hitam, putih, cantik atau tidak fizikal seseorang itu, semuanya adalah ciptaan ALLAH SWT.

    Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi didikan sempurna kepada anak masing-masing sejak kecil agar tidak merendah-rendahkan orang lain.

    Ketahuilah bahawa Islam melarang keras umatnya mempersendakan fizikal orang. Perbuatan itu mendatangkan natijah yang tidak baik bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan orang yang dipersendakan itu.

    Boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil

    Gelaran fizikal yang diberikan kepada anak seperti putih, lebar atau debab sejak kecil perlu dielakkan. Ia tidak boleh dipandang enteng kerana ia dikhuatiri memberi impak kepada pembentukan karakter anak-anak.

    Menurut perunding motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah, didikan awal bermula dengan pemberian nama. Justeru, nama panggilan begitu penting kerana ia merupakan penanda kepada sahsiah seseorang.

    ROBIAH

    ROBIAH

    Ketahuilah bahawa memberi nama yang baik dan memanggil anak dengan nama yang baik itu satu doa, terangnya.

    “Ibu bapa jangan gelarkan anak dengan panggilan yang buruk. Usah ambil mudah perkara ini. Gelaran seperti itu boleh jadi ia menghina orang tersebut jika maknanya buruk.

    “Sebaiknya, berilah nama anak yang berkah, berkaitan agama, (ada kaitan dengan nama) Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Begitu juga dengan gelaran panggilan harian. Ia mestilah difahami maknanya dan digunakan secara baik,” katanya ketika ditemui Sinar Islam di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Ujar Robiah, sesiapa yang mempersendakan ciptaan ALLAH, maka dia sebenarnya sedang mempersendakan ALLAH yang boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil.

    “Gurauan yang disebut di media sosial (tentang mempersendakan fizikal manusia) dianggap sebagai tidak sesuai. Ia lebih banyak terarah kepada penghinaan, mencaci, merendahkan dan memalukan orang lain.

    “Hakikatnya, nilai cantik itu datang daripada sahsiah, iman, ibadah, komitmen, sumbangan yang kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,” jelas beliau.

    Siapa pun kita, beliau menitipkan pesan agar segala kekurangan atau kecelakaan ciptaan ALLAH SWT, kita tidak berhak untuk menghina, mencaci atau merendah-rendahkan orang lain.

    “Ya, kadangkala kita punyai anggota (badan) yang sempurna, tetapi iman, perangai, kelakuan, akal dan agama tidak sempurna. Jangan sesekali melihat orang lain yang serba kekurangan jika dia kurang cantik atau putih. Sebenarnya, orang itu tidak terkurang apa-apa kalau imannya baik.

    “Apa pun, kita dinasihatkan supaya tidak payah cari buruk atau cacat orang lain. Ini kerana cacat itu boleh jadi dalam bentuk fizikal, mental, amal ibadah, harta benda dan ilmu,” nasihat beliau.

    Menurutnya, setiap yang ALLAH beri termasuklah kekurangan dari segi fizikal, DIA sebenarnya memberikan kelebihan lain. Justeru, jangan menghina atau mencaci sesiapa pun.



    Sumber

  • Kelengkapan, Keperluan Haji & Umrah di Butik HAQQI Baru Di Bangi Sentral

    Kelengkapan, Keperluan Haji & Umrah di Butik HAQQI Baru Di Bangi Sentral

    Butik Haqqi Bangi kini beralih di lokasi baru di 3-43, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral. Lokasi ini lebih mudah dikunjungi dan mempunyai tempat parking yang lebih banyak. Lokasi baru ini juga menempatkan jenama butik terkenal di tanah air.

    Butik Haqqi menjual kelengkapan haji & umrah,  kurta & baju melayu, jubah lelaki & wanita,baju kurung dan vendor pakaian artis. Haqqi dan pihak Koperasi Tabung Haji dibawah pengurusan baru Dr. Fitri Haris telah mengorak langkah lebih besar dengan mengembangkan perniagaan mereka. Beliau bersama tim Haqqi merancang untuk membuka cawangan baharu di Makkah dan Madinah dijangka pada hujung tahun 2020.

    Majlis Pelancaran Butik Haqqi 2020 yang turut dihadiri diserikan dengan kehadiran Penolong Pengurus Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB), Puan Noorsamah Awang, dan rakan-rakan artis seperti Lan Kristal, Syamsul Ghau Ghau. Kerjasama antra Butik Haqqi dan Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB) akan memantapkan butik Haqqi sebagai pusat kelengkapan Haji dan Umrah. KTHB menjadi rakan strategik butik Haqqi bagi Pembekalan kelengkapan barangan umrah dan haji dan fesyen patuh syariah. butik HAQQI paling besar terletak di di Shah Alam,. Selain itu butik Haqqi terdapat di TTDI, Kuala Terengganu dan Brunei.

    Kelengkapan mengerjakan ibadah haji atau umrah seperti kain ihram dan telekung, uncang, stokin, kasut, spray wuduk, tali pinggang,buku panduan umrah/haji, buku himpunan doa, tasbih digital dan kit kosmetik.

    Butik Haqqi Cawangan Bangi
    3-43, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral,
    43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

    Website : https://haqqi.com.my/
    Facebook : https://www.facebook.com/haqqibangi
    Instagram : https://www.instagram.com/haqqi.com.my/
    Bagi pembelian online melalui Whatsapp : +6011-10626485

  • Tunai haji, umrah penuh yakin dengan set kelengkapan kebersihan peribadi Tanamera

    Tunai haji, umrah penuh yakin dengan set kelengkapan kebersihan peribadi Tanamera

    MENUNAIKAN ibadah haji dan umrah memang menjadi impian setiap umat Islam. Hidup terasa lengkap dan sempurna seandainya dapat menunaikan dua ibadah berkenaan.

    Namun, untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, bukan sahaja kemampuan menjadi ukuran. Persiapan ke sana juga sangat penting. Ia termasuklah kelengkapan penjagaan peribadi.

    Menyedari agak sukar untuk mendapatkan produk penjagaan peribadi yang berasaskan bahan semula jadi dan mesra wuduk di pasaran,

    Tanamera Malaysia mencari penyelesaian dengan mengeluarkan set kelengkapan kebersihan peribadi berasaskan 100 peratus bahan semula jadi yang dikenali sebagai Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera.

    Menurut pengasas bersama jenama itu, Faridah Ahmad Fadzil, set lengkap tersebut merangkumi lima produk penting iaitu semburan air suling untuk wuduk; pembersih semua dalam satu untuk muka, badan dan rambut; krim pelembut kulit; semburan pembasmi kuman serta salap bibir Green Kisses Tanamera.

    Menariknya, semua produk berkenaan didatangkan dalam saiz dan isipadu di bawah 100 mililiter yang boleh dibawa ketika dalam penerbangan, jelas beliau.

    “Apa yang penting, semua set produk berkenaan disahkan halal dan 100 peratus menggunakan bahan semula jadi serta tidak menggunakan pewangi.

    “Ia memang direka khas berdasarkan syarat-syarat haji dan umrah. Jadi, semua rangkaian produk ini boleh digunakan tanpa waswas. Untuk menunaikan ibadah, kita kena pastikan sebarang produk yang digunakan adalah sah untuk tujuan tersebut,” katanya pada majlis pelancaran Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya Selangor sebentar tadi.

    Berdasarkan rekod, jenama Tanamera yang diasaskab sejak tahun 1993 di Malaysia terkenal dengan rangkaian produk yang diperbuat daripada bahan semulajadi dari hutan hujan tropika.

    Sehingga kini, Tanamera mempunyai sebanyak 150 unit menyimpan stok di bawah jenama berkenaan.

    Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera dijual pada harga RM88 yang boleh didapati di tujuh cawangan Tanamera, selain dibeli menerusi platform e-dagang secara online.



    Sumber

  • Kuasa nuansa hitam, putih

    Kuasa nuansa hitam, putih

    BIARPUN trend fesyen sentiasa berubah mengikut peredaran zaman khususnya menyaksikan kemunculan palet warna baharu, tetapi nuansa hitam dan putih tetap menjadi pilihan.

    Bermula dari musim sejuk, luruh, bunga sehingga musim panas, dua rona berkenaan sering diangkat mewarnai item fesyen ditawarkan baik oleh kumpulan pereka tempatan mahupun antarabangsa.

    Sememangnya pilihan padanan pakaian dalam rona hitam dan putih tidak pernah gagal menyerlahkan gaya yang kemas, ringkas dan meyakinkan kepada si pemakai.

    Konsep monokromatik, reka corak bintik polka, petak, struktur jalur, grid, geometrik, blok warna dan cetakan menegak serta serong antaranya memberi ilusi optikal menarik pada potongan badan.

    Dalam konteks fesyen, warna hitam dan putih sememangnya membantu menjadikan bentuk badan tampak menarik, langsing dan menyembunyikan kekurangan dimiliki.

    FAIZAL

    FAIZAL

    Pada masa sama, jika bijak menggayakannya, wanita berpeluang kelihatan kontemporari, muda dan segar.

    Jadi bukan sesuatu yang menghairankan apabila wanita Malaysia antaranya menyifatkan hitam dan putih adalah warna selamat sehingga mendorong mereka menyarungkan busana nuansa terbabit tatkala menghadiri majlis rasmi ataupun kasual.

    Monokromatik rona hitam dan putih sememangnya trend klasik malar segar yang sentiasa mendominasi pilihan dalam berpakaian.

    Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih memberi impak positif pada si pemakai.

    Rona hitam dan putih juga simbol wanita klasik yang tegas dan rapi dalam berpenampilan.

    Sehubungan itu, sempena segmen Diari Fesyen minggu ini, saya paparkan tip ideal untuk mempraktikkan konsep suai dan padan kombinasi hitam dan putih.

    Inisiatif berkenaan mampu membuatkan pembaca kelihatan hebat pada siang dan malam hari. Selamat mencuba!.

    1 Kontemporari

    Padanan hitam dan putih menyerlahkan gaya kontemporari yang bersahaja, memikat, anggun dan penuh ketrampilan. Perlu diingatkan, tambahan warna lain akan mengurangkan impak keseluruhan. Oleh itu, jika bahagian leher ingin tambahan aksesori, maka pilih rekaan yang unik rona hitam atau putih.

    Sementara itu, sebagai pelengkap gaya, padankan kasut hitam atau putih atau kombinasi dua warna tersebut. Konsep solekan pula tidak perlu berlebihan dan hanya fokus pada kening dan kontur struktur tulang wajah.

    2 Suai dan padan

    Bagi mendapatkan gaya ceria praktikkan kombinasi polos dan bercorak. Sebagai contoh, suai dan padan skirt atau seluar bercorak hitam atau putih bersama blaus rona polos hitam.

    Selain itu, wanita juga boleh mencuba padanan blaus bercorak hitam dan putih dengan skirt atau seluar polos hitam atau putih. Jika inginkan kelainan lengkapkan gaya dengan aksesori warna metalik.

    3 Pelengkap gaya

    Bagi wanita yang gemar memakai busana warna putih secara keseluruhan, mungkin boleh memadankan bersama pelengkap gaya seperti kasut, aksesori, kaca mata, beg, tudung atau skaf rona hitam untuk gaya chic dan urban.

    JANGAN bimbang untuk menggayakan dres yang menggabungkan nuansa hitam dan putih.

    JANGAN bimbang untuk menggayakan dres yang menggabungkan nuansa hitam dan putih.

    Pada masa sama, mengaplikasikan konsep suai padan blaus, skirt, seluar atau gaun warna hitam dengan aksesori putih. Mudah bukan!

    4 Suntikan jean biru

    Kombinasi hitam dan putih bukan hanya hebat digayakan dari hujung rambut ke hujung kaki, tetapi turut menyerlah apabila dipadankan jean biru.

    5 Aksesori bold

    Bagi menggayakan aksesori berani (bold) cuba padankan bersama blaus corak sederhana atau sebagai alternatif pilih blaus bintik polka dan skirt jalur yang kedua-duanya warna hitam dan putih.

    6 Kuasa warna natural

    Jika ingin menerapkan warna lain bersama padanan busana hitam dan putih, maka pilihan yang tepat adalah rona semula jadi seperti coklat, perang atau metalik pada skaf, beg atau kasut.

    7 Hitam itu anggun

    Warna hitam dan putih dengan ciri-ciri potongan, garisan kemas atau siluet yang mantap, kekal diminati kerana keistimewaannya menjadikan sesiapa sahaja kelihatan anggun.

    KOMBINASI kardigan dan dres polos hitam serta putih menyuntik penampilan kasual.

    KOMBINASI kardigan dan dres polos hitam serta putih menyuntik penampilan kasual.



    Sumber

  • Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

    Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

    KHIDMAT penghantar makanan begitu signifikan dan sangat diperlukan pada masa kini.

    Apa tidaknya, dalam kita mengharungi gaya hidup yang sibuk ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas, adakalanya perkhidmatan sedemikian amat membantu kita untuk memesan makanan tanpa perlu ke restoran untuk membelinya.

    Malah, banyak syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut yang mana ia boleh dipesan secara atas talian dan dihantar menggunakan khidmat penghantar makanan.

    Namun, menjadi kemusykilan apabila seorang penghantar makanan yang beragama Islam terpaksa menghantar makanan tidak halal atau tempahan daripada restoran meragukan dari segi halal kepada pelanggan.

    Apakah hukumnya jika terpaksa berbuat demikian? Apakah pula langkah yang perlu diambil si penghantar makanan tadi?

    Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini akan merungkaikan persoalan tersebut.

    Ujar pendakwah yang juga pensyarah Universti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris, halal dan haram sebenarnya merupakan perkara yang nyata dalam Islam.

    “Katakan kita orang Islam dan hantar makanan atau minuman tidak halal umpamanya arak. Sudah jelas penghantar arak ini tergolong sebagai 10 golongan berdosa besar.

    “Itu berkaitan arak, tetapi bagaimana pula jika ia melibatkan makanan tidak halal? Ia tetap tidak digalakkan dan tidak boleh sama sekali kita menghantarnya,” jelas beliau.

    Kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, Fitri menasihatkan agar mereka memilih untuk menghantar makanan yang halal.

    “Apatah lagi, apabila memberi makanan kepada orang Islam sendiri. Contohnya, seorang pak cik yang lapar dan memesan makanan, kemudian dia makan makanan kita lantas menunaikan solat, begitu banyak pahala yang kita dapat.

    “Sebenarnya, kita ada pilihan (untuk memilih menghantar makanan yang halal) dan bukan terpaksa. Hakikatnya, kita sendiri yang akan memilih jalan hidup kita,” katanya.

    Andai kata penghantar makanan tadi pernah menghantar makanan tidak halal sebelum ini, apakah yang perlu dilakukan?

    Menjawab persoalan itu, Fitri berkata, umat Islam boleh menyucikan harta mereka dengan zakat.

    “Berilah sebahagian daripada harta kita dan kiralah zakat dengan baik. Sesungguhnya, zakat dapat menyucikan harta kita. Mudah-mudahan hidup kita akan menjadi barakah dan halalan toyyiban (halal lagi baik),” terang beliau.



    Sumber