Category: ATTRACTION

  • Sambil beli-belah, tambah pahala dengan beramal

    Sambil beli-belah, tambah pahala dengan beramal

    BAGI mereka yang tercari-cari kelengkapan haji dan umrah, butik pakaian Haqqi antara tempat yang ideal untuk membuat pilihan.

    Sambil membeli-belah, pelanggan juga boleh beramal kerana kira-kira lima peratus bagi setiap pembelian berkenaan akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan.

    Ujar Pengarah Butik Haqqi, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, pada tahun lalu, Haqqi menyumbang sebanyak 2,000 baju sejuk (winter coat) diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan, Syria Care.

    “Ada juga sebahagian peratus lagi kita sumbangkan untuk sukarelawan yang membawa jemaah haji,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Butik Haqqi 2020 yang turut dihadiri Penolong Pengurus Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB), Noorsamah Awang di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor sebentar tadi.

    Pada majlis itu, Butik Haqqi dan KTHB menandatangani memorandum persefahaman menyambung kontrak kolaboratif selama tiga tahun.

    MOHAMAD Fitri (kiri) dan Noorsamah bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman pada majlis pelancaran Butik Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi pada hari ini.

    MOHAMAD Fitri (kiri) dan Noorsamah bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman pada majlis pelancaran Butik Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi pada hari ini.

    Cawangan Butik Haqqi di Bandar Baru Bangi itu baru sahaja tiga minggu beroperasi di lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral.

    Dalam pada itu, Mohamad Fitri yang juga Duta Butik Haqqi berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan baharu di Makkah dan Madinah dijangka pada hujung tahun ini.

    “Dua lokasi Tanah Suci ini memang sinonim dengan ibadah haji dan umrah. Tidak lengkap jika tiada cawangan di sana.

    “Kami sudah mengenal pasti lokasi yang berkaitan dan melihat tempat tersebut. Perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

    Pada masa sama, kata Fitri, beberapa buah bandar raya akan di negara ini akan menjadi lokasi tumpuan pembukaan baharu cawangan Butik Haqqi antaranya di Johor Bahru, Johor; Alor Setar, Kedah dan Kuantan, Pahang.

    Butik Haqqi yang mula beroperasi pada tahun 2016 menjual pelbagai kelengkapan haji dan umrah antaranya ihram, jubah, kurta, sarung tangan, kit kosmetik haji dan telekung.

    MOHAMAD Fitri (kanan) dan Noorsamah ketika pelancaran Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi sebentar tadi.

    MOHAMAD Fitri (kanan) dan Noorsamah ketika pelancaran Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi sebentar tadi.



    Sumber

  • Epson tawar pencetak tekstil digital

    Epson tawar pencetak tekstil digital

    EPSON melangkah lebih keterhadapan apabila menghasilkan teknologi inovatif, pencetak tekstil digital SureColor SC-F9430 dan SC-F9430H baharu peminat jenama tersebut.

    Apa yang menarik, inovasi mesin pencetak pewarna sublimasi baharu itu hanya berukuran 64 inci. Akan tetapi, keupayaannya mampu menghasilkan cetakan berkualiti persis jentera komersial.

    Masakan tidak, koleksi warna Epson Fluorescent terkini dalam perisian Edge Print membolehkan pemprosesan warna untuk dakwat pendarfluor seterusnya memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan.

    Menurut Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori, pengenalan variasi warna baharu Epson memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disediakan.

    “Mereka boleh mendapatkan lebih banyak opsyen untuk mencipta pakaian sukan, rekaan fesyen terkini, hiasan rumah dan papan tanda dengan koleksi warna terbaharu.

    “Usaha itu juga bertujuan membuka ruang kepada kreativiti dan ekspresi yang lebih besar dalam reka bentuk sesuatu produk,” katanya dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini.

    Selain itu, pihaknya optimis siri SC-F9430 akan memberi kesan positif kepada perniagaan, selain kempen Go Big menandakan satu kejayaan dalam transformasi perniagaannya.



    Sumber

  • Koleksi pop rona garang musim luruh 2020

    Koleksi pop rona garang musim luruh 2020

    KOLEKSI terbaharu Todd Snyder ada mesej tersendiri untuk peminat jenama itu dan bukan sekadar pertunjukan fesyen musim luruh 2020 semata-mata.

    Persoalan demi persoalan terpampang pada skrin gergasi mengiringi langkah gagah si model memperagakan 40 koleksi kapsul rekaan unik dengan rona garang memukau.

    “There will come a time in your life where you will ask yourself the serious questions,” mengiringi runut bunyi pertunjukan fesyen Snyder.

    Sebelum itu muncul satu lagi persoalan “Am I happy with who I am?” dan “Do I have a life or am I just living?” sambil si model memperagakan sut hijau alga dan rompi memancing.

    Jika diperhalusi, kombinasi koleksi yang dipamerkan menterjemahkan hubung kait revolusi transisi Underground Revolution’s 2002 dengan koleksi pereka fesyen terkemuka New York itu atas nama jenama LL Bean.

    TIDAK ubah seperti si koboi maco dengan rompi dua lapis digayakan dengan seluar panjang dan but signatur, Bean’s Duck manakala baju rajut intarsia berwarna hitam putih cukup serasi digabungkan dengan seluar panjang pleated rona hitam bersama beg tote signatur pereka fesyen terkemuka New York itu.

    TIDAK ubah seperti si koboi maco dengan rompi dua lapis digayakan dengan seluar panjang dan but signatur, Bean’s Duck manakala baju rajut intarsia berwarna hitam putih cukup serasi digabungkan dengan seluar panjang pleated rona hitam bersama beg tote signatur pereka fesyen terkemuka New York itu.

    Dalam perkongsian vogue.com, bukan hanya persembahan fesyen musim luruh, tetapi mesej mencari diri sendiri dengan fahaman eksistensialisme menjadi kelainan dalam koleksi kali ini.

    Berani tampil dengan pop rona garang sempena musim luruh, Synder tidak mengetepikan rekaan but signatur, Bean’s Duck, beg tote sehinggalah sut potongan langsing red flannel, seluar korduroi, baju rajut intarsia dan seluar panjang pleated.

    Sebagai pemimpin pragmatis, beliau dilihat bijak memperagakan koleksi peribadi dengan kualiti premium bersama kepekaan naluri yang cukup praktikal demi misi koleksi musim akan datang.

    Bukan itu sahaja, jenama LL Bean juga tidak ketinggalan mempromosikan pakaian poliester kitar semula selain menonjolkan kelestarian alam semula jadi dalam pertunjukan berprestij itu.

    GABUNGAN rompi kuning memikat dan sut korduroi serba hijau alga menarik perhatian peminat fesyen unik Synder manakala gabungan warna tanah dan bumi menyerlahkan lagi rekaan musim luruh 2020.

    GABUNGAN rompi kuning memikat dan sut korduroi serba hijau alga menarik perhatian peminat fesyen unik Synder manakala gabungan warna tanah dan bumi menyerlahkan lagi rekaan musim luruh 2020.



    Sumber

  • CLEAR MALAYSIA LANCAR RANGKAIAN PRODUK PENJAGAAN RAMBUT BERASASKAN BOTANI YANG PERTAMA

    Diinspirasikan oleh kebaikan botani dan dimanfaatkan oleh sains, CLEAR Malaysia dengan bangganya melancarkan rangkaian produk penjagaan rambut baharu, CLEAR Botanique, yang mengandungi 100% bahan semula jadi tanpa paraben dan pewarna. Rangkaian ini boleh didapati di pasaraya, kedai runcit, farmasi serta laman e-dagang di Malaysia.


    Wanita masa kini selalu ingin mencari penyelesaian untuk masalah kelemumur mereka disamping mengekalkan rambut yang cantik dan bermaya. Walaupun syampu anti-kelemumur diketahui keberkesanannya, ada di antara wanita ini risau syampu anti-kelemumur membuatkan rambut mereka kelihatan kusam dan kasar. Oleh sebab itu, ramai wanita pada masa ini memilih syampu yang mengandungi bahan semula jadi sebagai penyelesaian bagi masalah rambut dan kulit kepala mereka.


    Kini, dengan CLEAR Botanique, para wanita boleh meyakini bahawa rambut dan kulit kepala mereka akan dipelihara dengan baik. Rangkaian produk syampu dan perapi anti-kelemumur CLEAR pertama yang mengandungi bahan semula jadi ini melindungi rambut dan kulit kepala dibantu oleh teknologi anti-kelemumur tiga kali ganda dan 100% ekstrak botani semula jadi. Formulasi baharu ini menguatkan kulit kepala untuk kulit kepala bebas kelemumur* di samping mengekalkan rambut yang kelihatan kuat bersinar dan cantik bermaya.


    “Untuk mendapatkan rutin penjagaan rambut yang sempurna adalah sukar kerana wanita hari ini bukan hanya mencari jawapan untuk rambut yang bebas kelemumur. Sebaliknya, mereka menginginkan penyelesaian penjagaan rambut menyeluruh yang boleh menyelesaikan masalah kelemumur di samping memelihara rambut mereka, agar kelihatan cantik dan bermaya. Inilah idea yang mendorong kami untuk memperkenalkan CLEAR Botanique kepada pengguna kami,” kata Natalie Goh, Pengurus Pemasaran untuk Kategori Rambut dari Unilever.
    “Kulit kepala berkelemumur dan rambut rapuh merupakan mimpi ngeri setiap wanita yang menyebabkan hilangnya keyakinan diri. Kami percaya bahawa kulit kepala yang sihat dan subur menjadi sumber perlindungan daripada masalah kulit kepala (kelemumur, kegatalan, kekeringan dan berminyak) dan merupakan asas untuk rambut yang sihat dan kuat. Ini menghapuskan segala kerisauan dan anda kelihatan berada pada tahap yang terbaik,” tambahnya.

    Siri produk Botanique CLEAR mempunyai 2 varian syampu dan perapi iaitu ‘Nourished and Healthy’ untuk kulit kepala dan rambut yang kering, dan ‘Balanced and Bouncy’ untuk kulit kepala dan rambut yang berminyak.

  • Baja buatan suburkan landskap hotel

    Baja buatan suburkan landskap hotel

    SEJAJAR matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sunway Resort Hotel & Spa memiliki mesin kompos sendiri bagi mengurangkan sisa makanan di tapak pelupusan sampah.

    Kemudahan mesin kompos dengan kapasiti 300 liter itu berupaya menampung keperluan sisa makanan melibatkan Hotel Sunway Pyramid Hotel dan Sunway Clio.

    Apa yang menakjubkan, sisa buangan makanan yang dikompos digunakan sebagai baja untuk memperindahkan landskap di sekitar bandar Sunway yang terkenal dengan infrastruktur memukau.

    Pengurus Besar Kanan, Alex Castaldi menjelaskan, kelestarian adalah komponen penting dalam rangka kerja perniagaan pihak hotel dan bertanggungjawab untuk membendung pembaziran.

    “Kami komited ke arah persekitaran, ekonomi dan masyarakat mampan selain berusaha memberikan kesedaran melalui program pendidikan yang dilaksanakan dalam komuniti masyarakat.

    ALEX CASTALDI

    ALEX CASTALDI

    “Selain itu, kami juga menjalankan program perkongsian maklumat dan lawatan tapak melibatkan belia dan pelajar sekolah mengenai amalan kompos sisa makanan hotel,” ujarnya.

    Mengulas lanjut mengenai keupayaan mesin kompos Maeko, Castaldi tidak menafikan keupayaan teknologi canggih yang mampu mengurangkan sisa makanan sehingga 80 peratus.

    “Sejak Julai 2019, lebih daripada 15,000 liter sisa makanan yang dikutip dan diubah menjadi kompos bahkan pihak hotel menjangkakan kira-kira 50,000 liter sisa makanan menjelang akhir tahun ini.

    “Mesin kompos komersial itu juga mempunyai ciri pengudaraan khas dan sistem penapisan bio enzim yang membantu menghapuskan bau yang tidak menyenangkan kepada pelanggan hotel,” terangnya.



    Sumber

  • Varian terbaharu Galaxy S20 tempias ledakan 5G

    Varian terbaharu Galaxy S20 tempias ledakan 5G

    PENANGAN 2020, Samsung tidak ketinggalan memperkenalkan Galaxy S20, S20+ dan S20 ultra. Ia sempena pelancaran varian terbaharu, Galaxy Z Flip yang berjaya mencuri tumpuan.

    Ramai yang berpendapat bahawa peranti canggih itu mampu menyaingi jenama besar seperti Motorola Razr, Huawei, iPhone mahupun Pixel Google untuk pasaran tahun ini.

    Tidak percaya? Perkongsian cnet.com mendedahkan spesifikasi canggih yang dikatakan lebih maju dan sofistikated termasuk berkeupayaan kamera zum 100x dengan gambar sebesar 108 megapiksel.

    Selain dikatakan mampu mengintegrasi dua rangkaian termasuk 5G, peranti tersebut memiliki paparan AMOLED 120Hz untuk video dan permainan yang lebih baik.

    TIGA varian baharu Samsung untuk peminat seluruh dunia.

    TIGA varian baharu Samsung untuk peminat seluruh dunia.

    Sudah tentu, dengan keupayaan kapasiti bateri kepada 5,000 mAh mampu menawarkan rakaman video 8K. Debut mod single take untuk 10 foto dan empat video satu butang sahaja.

    Bagaimanapun ada kelainan pada tahun ini apabila Samsung melaksanakan misi integrasi rangkaian 5G ke seluruh produknya sehingga tidak memerlukan model 5G berasingan.

    Barangkali sebagai salah satu strategi meniru jejak iPhone 11, tetapi memperkenalkan model yang lebih murah. Ya, langkah itu mungkin berjaya!



    Sumber

  • Terarium obsesi Nazrol Ikhwan

    Terarium obsesi Nazrol Ikhwan

    ASALNYA beliau hanya sukakan aktiviti bertanam pokok unik. Siapa sangka, daripada hobi masa lapang, terarium yang dicipta mampu menjana wang sampingan buat Nazrol Ikhwan Che Nordin.

    Bagi mereka yang asing dengan nama itu, terarium adalah ekosistem miniatur tumbuhan yang diletakkan bunga dan hiasan comel sama ada dalam keadaan tertutup atau terbuka. Biasanya ia dijadikan perhiasan.

    Bagi anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu, hobi unik berkenaan tercetus apabila terlihat satu video dalam media sosial mengenai terarium menggunakan pelbagai jenis lumut menghiasi bekas kaca tertutup.

    “Mulanya saya pelik melihat reka bentuk moss (lumut) yang cantik dibina secara berlapis-lapis mengikut landskap yang dicipta. Perasaan ingin tahu meluap-luap. Jadi saya lihat dan belajar daripada video tersebut.

    “Sebenarnya sudah lama minat tanam pokok minimalis seperti kaktus, bunga unik dan jarang ada. Mungkin sebab dari kecil melihat emak dan ayah suka berkebun, jadi ia datang secara semula jadi,” bicaranya.

    TERARIUM yang menggunakan pokok succulents mengikut kesesuaian saiz balang terbuka.

    TERARIUM yang menggunakan pokok succulents mengikut kesesuaian saiz balang terbuka.

    Pemuda berusia 37 tahun tersebut tidak menafikan kebanyakan bahan mentah dan peralatan diimport dari negara luar. Tidak ramai mereka yang membuat terarium di Malaysia.

    Kebanyakan video atau tutorial ditinjaunya juga dari negara luar dan hanya beberapa laman pemilik tempatan di Facebook yang menjadi rujukannya.

    “Minat buat terarium ini sejak 2017 lagi. Saya ambil masa lebih setahun untuk belajar.

    “Hanya belajar daripada video di YouTube dan mula-mula buat memang tak jadi. Tanah jadi kering dan moss berkulat. Ada ketikanya anak pokok yang ditanam mereput dan tanah jadi berbau,” ceritanya dengan nada kecewa.

    Akan tetapi, kakitangan syarikat swasta itu tidak berputus asa. Nazrol Ikhwan belajar daripada kesilapan termasuk mengkaji struktur tanah, jenis lumut dan hiasan sesuai.

    “Tanaman tidak menjadi dan gagal tahan lama biasanya disebabkan tanah ‘tidak bersih’. Kena buat pembersihan tanah supaya bebas daripada telur cacing, bakteria atau alga.

    Peralatan seperti tweezers, berus dan sudu amat penting supaya terarium lebih kemas dan cantik.

    Peralatan seperti tweezers, berus dan sudu amat penting supaya terarium lebih kemas dan cantik.

    Lebih 100 terarium

    “Terpaksa ambil masa dan komitmen diri. Bila jumpa satu page kedai terarium yang terletak di USJ, saya lega sebab boleh beli balang atau peralatan lain di situ dengan mudah,” katanya yang seronok berpeluang mempelajari cara membuat terarium daripada pemilik kedai terbabit.

    Biarpun awalnya hobi dilakukan hanya untuk mengisi masa lapang, begitupun, apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang datang rumah dan tertarik dengan hasil kerja tangannya, ramai pula yang berminat membelinya.

    Ada juga yang meminta Nazrol menghasilkan terarium khas untuk insan tersayang.

    “Saya memang tak ambil tempahan dan hanya buat jika ada masa terluang sahaja,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

    Anak ketiga daripada lima beradik itu turut berkongsi tip mengenai pemilihan pokok, lumut dan hiasan dalaman balang kaca sama ada tertutup atau terbuka untuk hiasan lebih tahan lama.

    “Sebenarnya banyak jenis moss yang perlu kita pelajari. Saya biasa guna pokok fittonia sebab sukakan warna yang pelbagai. Pemilihan balang juga penting untuk tempoh pembesaran pokok.

    “Kalau mahu kekalkan saiz pokok renek, kena pandai adun tanah dengan baja supaya boleh membesar sehingga empat inci,” ujarnya yang memaklumkan pokok tersebut boleh dikerat mengikut kesesuaian saiz pembesaran.

    PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

    PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

    Mengulas lebih lanjut mengenai tempoh membuat terarium, Nazrol Ikhwan tidak menafikan agak rumit untuk menanam lumut di celahan batu atau kayu yang disusun dalam landskap.

    “Tetapi kerana minat, saya sanggup habiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan satu terarium. Memang puas hati walaupun penat. Mungkin sebab kita minat, semuanya jadi senang.

    “Kalau dulu, saya ambil masa empat hingga lima jam, itu pun tak siap. Sebabnya kalau salah potong, moss boleh terburai dan jadi rapuh. Jika potong terlalu pendek pun, tidak boleh juga,” katanya.

    Namun begitu, kini jelasnya, set terarium yang ringkas boleh disiapkannya dalam tempoh tidak sampai satu jam.

    Sebaliknya, jika lapisan kontur landskap lebih kompleks, kemungkinan masa perlu diambilnya melebihi tiga jam untuk hasil yang memuaskan.

    “Setakat ini, lebih 100 terarium sudah disiapkan untuk kenalan mengikut saiz pada harga RM50 sehingga RM250 sahaja,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Teknologi Maklumat Multimedia itu.

    Penyusunan tanah dan hiasan penting untuk tapak landskap yang kukuh dan tahan lama.

    Penyusunan tanah dan hiasan penting untuk tapak landskap yang kukuh dan tahan lama.



    Sumber

  • Baja kompos sisa organik

    Baja kompos sisa organik

    ADAKAH anda akan naik angin jika rakyat Malaysia dilabelkan sebagai pembazir dan tidak bersyukur?

    Masakan tidak di saat rakyat di negara miskin berlapar, sisa makanan yang masih elok dibuang begitu sahaja oleh kebanyakan kita.

    Hakikatnya, jika merujuk statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dianggarkan sebanyak lebih 15,000 tan sehari sisa makanan dibuang. Secara purata, seorang penduduk menyumbang sebanyak lebih 1.64 kilogram (kg) sehari.

    Bukan itu sahaja, sebanyak 49 peratus sampah yang dibuang adalah terdiri daripada sisa organik yang mana sepatutnya boleh dikompos menjadi baja, namun berakhir di tapak pembuangan sampah.

    Laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menunjukkan, sektor isi rumah menghasilkan kira-kira 44.5 peratus sisa makanan, manakala perindustrian, perdagangan dan institusi pula sebanyak 31.4 peratus.

    Menurut statistik laporan daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pula, sebanyak 16,668 tan sehari sisa makanan yang dibazirkan oleh isi rumah. Jumlahnya boleh mencecah sebanyak 6.1 juta tan makanan setahun.

    PELAJAR yang mengikuti program #sunwayforgood #zerofoodwastage melihat cara pembuangan sisa makanan sebelum diproses menggunakan mesin kompos.

    PELAJAR yang mengikuti program #sunwayforgood #zerofoodwastage melihat cara pembuangan sisa makanan sebelum diproses menggunakan mesin kompos.

    Jumlah pembaziran itu dikatakan mampu menampung 202 juta orang untuk keperluan makan tiga kali sehari. Cukup menyedihkan, bukan?

    Atas justifikasi itu, Mentari Alam Eko (M) Sdn Bhd (Maeko) merintis teknologi pengkomposan mudah untuk pengurusan sisa makanan yang lebih efektif dan selamat.

    Menurut Pengarah Jualannya, Mae Ooi SL, pihaknya merintis teknologi dengan gabungan kepakaran bidang bioteknologi, kejuruteraan mekanikal dan pemasaran untuk membantu menyelesaikan isu sisa makanan negara.

    “Sudah menjadi agenda utama kami untuk menyelesaikan sisa makanan yang ‘mengambil’ ruang di tapak pelupusan. Pada masa sama, dalam senyap ia meracuni bumi.

    “Selepas hampir sedekad penyelidikan dan pembangunan dilaksanakan, Maeko berjaya mencipta teknologi pengkomposan paling canggih di rantau Asean, bahkan sudah dipatenkan,” ujarnya.

    OOI SL (dua dari kiri) merakam kenangan bersama Pengurus Besar Kanan Sunway Resort Hotel & Spa, Alex Castaldi (kiri) dan wakil AIESEC Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    OOI SL (dua dari kiri) merakam kenangan bersama Pengurus Besar Kanan Sunway Resort Hotel & Spa, Alex Castaldi (kiri) dan wakil AIESEC Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Beliau berkata demikian sempena Program #sunwayforgood #zerofoodwastage Sunway Resort Hotel & Spa di Bandar Sunway, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.

    Mengulas lebih lanjut mengenai teknologi itu katanya, mesin kompos sisa makanan Maeko mengandungi sistem pengkomposan komersial ‘semua dalam satu’. Jumlah sisa makanan boleh dikurangkan sebanyak 80 peratus dalam tempoh masa 24 jam.

    “Mesin kompos tersebut berupaya mengurai semua jenis sisa makanan dalam persekitaran aerobik menggunakan parameter terkawal seperti suhu, agitasi dan aliran udara.

    “Komposter Maeko tertanam dengan unit penghancur yang direka khas membantu memendekkan tempoh pengambilan yang biasanya agak panjang hingga 24 jam sahaja,” katanya tentang mesin canggih di dalam industri pengkomposan sisa makanan itu.

    MESIN kompos yang digunakan Sunway Resort Hotel & Spa dan diuruskan kakitangan pihak hotel berkenaan.

    MESIN kompos yang digunakan Sunway Resort Hotel & Spa dan diuruskan kakitangan pihak hotel berkenaan.

    Setiap unit mesin kompos mempunyai pengudaraan canggih dan sistem penapisan bio-enzim, terang Ooi SL, ia bagi menggalakkan penghapusan bau tidak menyenangkan.

    “Untuk setiap proses kompos, pengguna boleh membuang semua jenis sisa makanan termasuk buah, sayuran, bijirin, tenusu, daging, tulang ikan, kulit telur dan kerang sama ada mereka dimasak atau tidak dimasak.

    “Saiz mesin kompos boleh menampung kapasiti bermula 30 liter (260 kg) sehingga 500 liter (2,800 kg) mengikut utiliti komersial yang ditawarkan,” bicaranya kepada e-Trend baru-baru ini.

    Sisa industri

    Pada masa ini, teknologi sofistikated tersebut digunakan dalam komposer komprehensif melibatkan industri yang menghasilkan sisa makanan seperti hotel, pasaraya, institusi pendidikan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Usahasama bersama Sunway Resort Hotel & Spa juga terjalin apabila pihak berkenaan membeli mesin kompos bersaiz 300 liter untuk keperluan tiga hotelnya, kata Ooi SL.

    “Kami akan memberikan khidmat penyelenggaraan untuk tempoh yang ditetapkan, manakala kakitangan hotel menjalankan operasi dan memuat masuk sisa makanan ke dalam mesin.

    “Bukan sahaja di hotel, institusi pendidikan seperti beberapa sekolah juga sudah mengimplemen model yang sesuai untuk keperluan mereka. Justeru, kami merancang untuk memperluaskan pemasaran,” tambahnya.

    SEBAHAGIAN pelajar dan penuntut universiti merakam kenangan bersama sempena program #sunwayforgood #zerofoodwastage di tapak mesin kompos Sunway Resort Hotel & Spa.

    SEBAHAGIAN pelajar dan penuntut universiti merakam kenangan bersama sempena program #sunwayforgood #zerofoodwastage di tapak mesin kompos Sunway Resort Hotel & Spa.

    Memfokuskan manfaat utama pelaksanaan mesin kompos, pihaknya berharap dapat meningkat kesedaran semua pihak dalam membantu menyelesaikan isu limpahan sampah sisa makanan di tapak pembuangan.

    Dalam hal itu, kerjasama semua pihak termasuk badan korporat amat penting.

    “Perancangan kami bukan tertumpu kepada isu menambah baik saiz mesin, tetapi bagaimana untuk menyemarakkan usaha murni ini.

    “Saiz boleh ditingkatkan atau dikurang, tetapi apa yang paling utama adalah kesedaran. Jangan sampai sampah sudah melambak secara kritikal, baru mahu implemen mesin kompos?,” soalnya.

    Apa yang pasti, usaha Maeko tidak terhenti begitu sahaja apabila menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

    “Kami juga bekerjasama dalam pengurusan sisa makanan dan bekas plastik boleh kompos yang sering digunakan rangkaian restoran makanan segera.

    “Kerjasama yang baharu sahaja dijalinkan tahun ini menjadi hala tuju ke arah zero sisa makanan untuk jangka masa panjang,” katanya yang optimis dengan usahasama itu.



    Sumber

  • Urus wabak ikut kaedah Islam

    Urus wabak ikut kaedah Islam

    KEBELAKANGAN ini, dunia seakan ‘kelam’ apabila dihujani wabak penyakit yang berlanjutan sehingga hari ini.

    Bukan sebuah negara sahaja yang terjejas, tetapi berpuluh-puluh negara turut merasai tempiasnya.

    Pun demikian, sebagai seorang Mukmin yang berpegang teguh kepada agama, kita dianjurkan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh agama Islam dalam menangani wabak berkenaan.

    Ketahuilah bahawa agama suci ini ada menyediakan kaedah lengkap ketika menghadapi situasi seperti itu.

    Apakah garis panduan pengurusan wabak menurut kaedah Islam? Apakah ikhtiar yang boleh dilakukan untuk mengekang wabak ini?

    Segalanya akan dikupas dalam sisipan Sinar Islam esok.



    Sumber

  • Surah al-Falaq jadi pendinding diri

    Surah al-Falaq jadi pendinding diri

    PERKEMBANGAN arus teknologi pada zaman milenial kini tidak ‘membejatkan’ usaha individu tidak bertanggungjawab untuk mengamalkan sihir.

    Lantaran itu, al-Quran yang menjadi panduan hidup kita dilengkapi dengan amalan yang boleh dilazimi bagi mematahkan gangguan-gangguan akibat perbuatan manusia dan makhluk-makhluk lain.

    Al-Falaq menjadi surah pilihan yang boleh menjadi pendinding diri bagi kita.

    Ini kerana antara sebab penurunan ayat itu mempunyai perkaitan rapat dengan peristiwa Rasulullah SAW disihir oleh seorang lelaki Yahudi.

    Apakah peristiwa berkenaan? Apakah ibrah yang cuba disampaikan dalam ayat 4 dan 5 Surah al-Falaq?

    Ayuh bersama Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah yang akan mengupas lanjut mengenainya dalam segmen Kapsul Surah pada hari ini.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Al-Falaq antara surah yang tiada tandingan)

    (ARTIKEL BERKAITAN: Surah al-Falaq mengajar kita mohon perlindungan ALLAH)



    Sumber