Category: ATTRACTION

  • Kuatkan rohani berdepan wabak, hindari dengan ubat dan tingkatkan kawalan

    Kuatkan rohani berdepan wabak, hindari dengan ubat dan tingkatkan kawalan

    SEJAK akhir-akhir ini, satu demi satu wabak datang tanpa diundang. Bukan satu tempat sahaja yang diserang, namun ia melibatkan puluhan buah negara.

    Pada penghujung tahun lalu, negara kita menerima kejutan penularan kes influenza A. Ia menimbulkan situasi panik sehinggakan vaksin influenza dilaporkan kehabisan stok di klinik dan hospital.

    Tambah menyesakkan dada apabila pada penghujung tahun lalu juga, seluruh dunia digemparkan dengan serangan sejenis wabak baharu koronavirus (Covid-19). Ancaman virus menakutkan itu masih berlanjutan sehingga kini dengan melibatkan puluhan buah negara.

    Lebih menggusarkan, wabak berkenaan yang agresif menular telah meragut lebih 2,000 nyawa di seluruh dunia.

    Belum reda dengan kes-kes berjangkit yang merisaukan, Nigeria pula dilanda wabak demam lassa hingga membawa maut melibatkan puluhan orang penduduknya.

    Semua wabak tersebut, jika dilihat dengan mata kasar, hanyalah sejenis penyakit. Namun demikian, hakikatnya ia merupakan satu bentuk ujian kepada hamba-hamba-NYA.

    Apa yang pasti, Islam mengajar umatnya supaya berusaha dan melakukan ikhtiar sebaik mungkin dalam menghadapi apa jua dugaan. Selebihnya, serahkan kepada ALLAH.

    Sesungguhnya, setiap ujian yang diberikan itu bagi menguji sejauh mana kesabaran kita berdepan dengan dugaan dan tahap kebergantungan kita kepada-NYA.

    Kita sebenarnya tidak ditinggalkan bersendirian dalam menangani wabak itu. Islam sudah menyediakan garis panduan lengkap dan berstruktur ketika dilanda wabak.

    Apa yang sedang kita lalui kini dan langkah yang diambil pihak berwajib, semua itu secara jelas ada garis panduannya.

    Apakah pengurusan wabak di sisi Islam? Apa yang dianjurkan oleh agama suci itu selain berusaha dan berikhtiar menangani wabak?

    Contohi cara Saidina Umar

    Menjawab persoalan tersebut, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menjelaskan, Islam sudah menyediakan kaedah-kaedah untuk menguruskan wabak.

    MOHAMAD SHUKRI

    MOHAMAD SHUKRI

    Antara perkara yang menjadi keutamaan terangnya adalah mengawal wabak berkenaan.

    “Semua sedia maklum bahawa mengawal itu lebih baik daripada mengubati. Apabila berlaku sesuatu wabak, ia perlu dikawal. Jika memerlukan sekatan seperti tidak membenarkan pelancong yang membawa wabak berkenaan masuk, langkah itu perlu dilakukan.

    “Bagi orang yang dijangkiti penyakit atau wabak berkenaan, mereka kena dikuarantin. Ini bagi mengelak penyakit itu dibawa ke tempat lain. Begitu juga dengan individu yang sihat, jangan pergi ke tempat wabak berkenaan. Ia sebenarnya salah satu kaedah dalam Islam,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

    Dari aspek kebersihan, tegasnya, jika memakai topeng muka boleh mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit, maka sebaiknya perlindungan itu dipakai untuk kebaikan bersama.

    Dalam menangani wabak itu, Mohamad Shukri mengajak untuk menelusuri kisah wabak taun yang berlaku ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab.

    Imbasnya, Umar ketika itu dalam perjalanan ke Syam (kini dikenali sebagai Syria). Apabila dikhabarkan bahawa tempat berkenaan dilanda wabak taun, rombongannya tidak jadi masuk ke kawasan berkenaan.

    Salah seorang sahabat, Abu Ubaidah Al-Jarrah berkata: “Apakah kamu ingin lari daripada ketentuan ALLAH? Kita memang dalam perjalanan ke Syam.”

    Lantas, Umar RA menjawab: “Saya lari daripada qada takdir Tuhan menuju ke qada takdir Tuhan yang lain.”

    Apa pun, tokoh agama itu menitipkan pesan agar kita tidak sesekali melupakan ALLAH SWT.

    “Saya menyeru kepada semua umat Islam supaya mengadakan solat hajat dan berdoa di masjid-masjid bagi mengelakkan wabak ini lebih ketara.

    “Setiap orang juga perlu menjaga kebersihan diri. Ikutilah cara yang dianjurkan Islam seperti mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya,” ujar beliau.

    Hati-hati ketika bermuamalah

    Bagi membutirkan lebih lanjut, Sinar Islam menemubual pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

    USTAZ FAUZI

    USTAZ FAUZI

    Jelas beliau, Islam menyuruh umatnya agar mengelakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang dijangkiti virus.

    Sabda Rasulullah SAW: “Larilah kamu daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.” (Sahih Bukhari)

    Dalam perihal muamalah, ujar beliau, kita perlu berhati-hati. Sebaiknya, elakkan diri daripada ke rumahnya ketika individu berkenaan sedang terkena jangkitan berkenaan.

    “Ini kerana virus itu cepat berjangkit dan kita tidak perasan (kehadirannya) dalam udara, pernafasan, sentuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, Islam juga menyuruh umatnya mengasingkan pesakit dengan orang yang sihat.

    “Sedangkan, Nabi Muhammad SAW apabila salah seorang isteri baginda terkena sakit mata, baginda tidak akan menyentuh isterinya sehingga sembuh. Perkara itu ada dinyatakan dalam kitab Thibbun Nabawi (kitab perubatan nabi),” jelas beliau.

    Rasulullah SAW bersabada: “Taun adalah tanda kemurkaan ALLAH yang mana ALLAH menguji hamba-hamba-NYA. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (Riwayat Muslim)

    Lazimi qunut nazilah, bismillah

    Menyentuh tentang usaha memusnahkan ‘sarang’ virus yang dianjurkan oleh Islam, Ustaz Fauzi menambah, ia perlu dihapuskan sebagaimana melakukan semburan nyamuk demi menghapuskan demam denggi di sesebuah kawasan.

    DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.

    DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.

    Namun begitu katanya, sekiranya virus tadi datangnya daripada badan kita sebagai puncanya, Rasulullah SAW menyuruh untuk melakukan pembedahan.

    “Ketika zaman baginda, ada seorang individu menderita terkena bisul hingga bernanah, lalu nabi menyuruhnya untuk menoreh (lakukan pembedahan) bisul berkenaan,” kata beliau.

    Apa jua penyakit atau wabak yang menimpa, Ustaz Fauzi menasihatkan orang ramai agar makan ubat sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

    Baginda SAW bersabda: “Hendaklah kamu mendapatkan dua penawar iaitu madu lebah dan al-Quran.” (Riwayat Ibnu Majah)

    “Apakah maksud nabi? Kata tuan guru saya, Allahyarham Datuk Dr Haron Din ketika masih hidup, madu lebah adalah perumpamaan ubat fizikal. Ertinya, ia merangkumi segala penawar fizikal sama ada ia habbatus sauda, pil, kapsul atau (ubat) cecair yang doktor berikan.

    “Makanlah ubat itu, kemudian biarlah ada penawar al-Quran sebab kadangkala orang yang ditimpa virus penyakit ini, dia rasa tidak selamat dan umurnya pendek kerana tahap kekuatan rohaninya jatuh. Sebab itu dia perlu mengaji al-Quran untuk meningkatkan semula rohaninya,” katanya.

    Seperkara, Ustaz Fauzi turut menitipkan pesan agar melazimi qunut nazilah dalam solat fardu. Perkara itu sunat dilakukan sepertimana yang disebut oleh Mazhab Syafie apabila berlaku penularan wabak di suatu kawasan.

    “Bagi mereka yang sihat, lakukanlah doa qunut nazilah ketika menunaikan solat fardu. Pada rakaat akhir, bacalah qunut nazilah. Ia macam (baca) doa qunut subuh iaitu selepas bangun dari rukuk untuk iktidal, tetapi doanya lain iaitu doa untuk menghindari wabak dan penyakit. Mohonlah kepada ALLAH SWT supaya dihindarkan segala penyakit.

    “Paling tidak pun, bacalah Bismillahir rahmanir rahim dalam setiap perkara yang kita hendak lakukan termasuklah ketika menekan butang lif. Dengan bismillah itu, syaitan yang besar boleh jadi kecil. Inikan pula kuman. Ia sebenarnya meletakkan pergantungan kita kepada ALLAH SWT,” ujar beliau.

    Berpunca daripada ‘tangan-tangan manusia’

    DALAM kepahitan menelan ujian wabak yang diturunkan ALLAH SWT, terselit hikmah di sebaliknya. Ia sebenarnya mendekatkan manusia dengan penciptanya.

    Perkara itu diakui pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran. Ujar beliau, sehebat atau secanggih mana teknologi ciptaan manusia, lebih hebat dan ampuh lagi kekuasaan ALLAH SWT.

    IMAM MUDA ARAN

    IMAM MUDA ARAN

    “Ujian itu menjadikan kita mengenali Tuhan dengan lebih dekat. Apabila ditimpa dugaan sebegini, ia akan menjadikan kebergantungan hidup kepada ALLAH itu lebih tinggi.

    “Ya, pelbagai usaha sudah kita lakukan, namun pada masa sama, kita perlu juga meminta pertolongan ALLAH agar dihindarkan atau dijauhkan daripada wabak yang tidak kita kehendaki,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

    Tambah beliau, ujian berkenaan turut menyatukan semula manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara, selain menyedarkan kita bahawa sampai kiamat, manusia tetap bergelar hamba kepada ALLAH SWT.

    “Mahu atau tidak, kita perlu patuh kepada segala suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Ingatlah bahawa segala musibah bukan ditimpa ke atas orang yang buat (salah) sahaja, tetapi semua orang boleh ‘berjangkit’ sama,” katanya.

    Firman ALLAH SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah al-Syura, ayat 30)

    Ketahuilah bahawa setiap yang berlaku sebenarnya berpunca daripada tangan-tangan manusia itu sendiri, terang beliau.

    “Maknanya apa yang kita buat, jika baik (perlakuan dan tindakan), (maka) baiklah natijahnya. Kalau tak baik, akibatnya kita sendirilah yang akan menanggungnya.

    “Islam mempunyai garis panduan dalam kehidupan daripada A sampai Z. Ada perkara yang boleh dilakukan dan ada juga yang kita ditegah untuk melakukannya. Jika kita ikut undang-undang Islam itu, maka selamatlah di dunia dan di akhirat.

    “Contohnya dalam amal ibadah, boleh dikatakan 24 jam kita boleh melakukan ibadah. Ini kerana, ibadah dalam Islam bukan sekadar solat, mengaji atau zikir sahaja, tetapi setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah ibadah. Itulah kelebihan Islam berbanding dengan agama lain. Maknanya, kita tidak boleh beralasan lagi untuk tidak melakukan ibadah,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, Imam Muda Aran menasihatkan kita agar tidak mengambil kesempatan atas musibah orang lain.

    “Sebaliknya, banyakkanlah berdoa dan meminta bersungguh-sungguh kepada ALLAH atas musibah yang melanda. Kebergantungan kepada ALLAH itu perlu ada kerana DIA yang turunkan (ujian) ini. Kembalilah semula kepada ALLAH SWT,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

    Sumber

  • Racun kimia ancaman pembunuh senyap

    Racun kimia ancaman pembunuh senyap

    SERANGAN serangga perosak sememangnya isu perbahasan hangat utama dalam kalangan petani. Masakan tidak, berdepan masalah tersebut mampu mengundang risiko kerugian, malah boleh menutup periuk nasi mereka.

    Pakar Biokimia, Kimia Organik dan Fitokimia UPM, Dr Nur Kartinee Kassim berkata, kebanyakan petani merungut apabila pertanian terjejas akibat serangan bakteria, kulat, rumpai dan serangga perosak.

    “Ancaman itu menyebabkan hasil pertanian berkurangan setiap musim. Pada masa sama, pengeluaran terjejas dan kualiti tidak memuaskan.

    “Lantaran itu, kaedah paling biasa yang digunakan untuk mengawal serangan perosak adalah penggunaan intensif racun sintetik sejak tahun 1960-an lagi,” demikian katanya.

    Jika diimbas semula, banyak laporan media mengenai penggunaan racun sintetik secara tidak sah di dalam negara. Sisa toksik yang mencemari bekalan air sehingga mengundang bahaya kepada penduduk setempat.

    Ujar Dr Nur Kartinee, penggunaan racun serangga dalam pengurusan perosak tanaman kubis seperti di kawasan tanah tinggi rancak dijalankan demi menghasilkan produk yang ‘cantik’.

    “Bahayanya racun sintetik ini juga mendapatkan perhatian Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sehingga mengeluarkan arahan mengharamkan sayur-sayuran yang menggunakan racun perosak dari Cameron Highlands dan Johor Bahru.

    “Ini kerana banyak masalah ditimbulkan racun serangga sintetik yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia bahkan alam sekitar untuk tempoh jangka masa panjang,” jelasnya.

    kartinee

    kartinee

    Terangnya lagi, penggunaan racun kimia bahaya itu membunuh bukan pada sasaran kerana melibatkan semburan menyeluruh selain menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

    “Selain bukan biodegradasi, kesan sisa kimia terhadap sayur-sayuran yang dituai cukup membahayakan, bahkan menimbulkan kesan rintangan kepada perosak,” ujarnya.

    Justeru itu, penyelidik yang berpengalaman lebih 10 tahun itu turut menekan kawalan organik sangat penting dan berpotensi membantu meningkatkan sekuriti tabung makanan negara seiring permintaan yang semakin tinggi.

    “Ketika ini, penggunaan kawalan racun alami hanya meliputi dua peratus sahaja sebagai perlindungan tumbuhan di dunia dan dianggarkan pengeluaran biopestisida global lebih 3,000 tan setahun.

    “Atas justifikasi itu, kajian kami insya-ALLAH bakal memenuhi keperluan petani yang mengharapkan kawalan organik untuk tanaman mereka dengan kos lebih murah dan efektif,” jelasnya.

    Sumber

  • Pengurusan harta pusaka bukan sekadar buat dokumen semata-mata

    Pengurusan harta pusaka bukan sekadar buat dokumen semata-mata

    LAZIMNYA, apabila ibu bapa meninggal dunia, waris atau anak-anak mereka akan mengambil masa hingga dua atau tiga tahun untuk menguruskan perihal harta pusaka arwah kedua-dua orang tua mereka. Lebih parah lagi apabila ada yang mengambil masa sehingga 25 tahun untuk menguruskannya.

    Kadangkala, adik-beradik yang pada asalnya lima orang, namun selepas 25 tahun, tinggal dua orang sahaja kerana tiga daripada mereka sudah meninggal dunia. Sedar atau tidak, situasi itu akan bertambah rumut kerana waris kepada tiga orang yang meninggal tadi iaitu anak-anak mereka juga akan dimasukkan sekali sebagai waris kepada harta pusaka datuk dan neneknya.

    Itu antara realiti yang berlaku dalam pengurusan harta pusaka. Perkara itu, walaupun kelihatan remeh, tetapi mendatangkan natijah yang kurang baik kepada waris yang ditinggalkan. Apa sahaja boleh berlaku jika ia melibatkan harta. Ya, manusia secara fitrahnya sukakan kebendaan.

    Disebabkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe), Ariffin Sabirin mengajak orang ramai supaya merancang harta dengan sebaiknya ketika hayat masih dikandung badan. Jelas beliau, perancangan harta itu bukan sahaja membolehkan keluarga bermuafakat, bahkan harta pusaka tadi boleh diwariskan dengan cepat dan menjadi sumber ekonomi atau modal kepada waris-waris akan datang.

    Beliau turut memetik satu kajian dilakukan oleh Harvard University di Massachusetts, Amerika Syarikat suatu ketika dulu yang menyatakan, 60 peratus sumber kekayaan masyarakat Barat datang daripada harta pusaka.

    “Ini bermakna, apabila ibu bapa mereka meninggal dunia, anak-anak dapat harta dan boleh menggunakannya untuk menjana lebih banyak lagi kekayaan.

    “Kita pula RM70 bilion (harta pusaka) tersangkut tidak dapat diselesaikan sepertimana pendedahan yang dilakukan kerajaan baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemui selepas Majlis Konvensyen Wasiyyah Shoppe 2020 di Sepang, Selangor Sabtu lalu.

    Ubah persepsi

    Untuk menyelesaikan masalah itu, persepsi masyarakat perlu diubah. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilakukan. Akui Ariffin, hampir 16 tahun Wasiyyah Shoppe beroperasi, barulah perubahan signifikan dilihat dalam kalangan masyarakat Islam yang mana mereka mula sedar tentang kepentingan merancang harta dan mengurus pusaka.

    ARIFFIN

    ARIFFIN

    Beliau turut mengingatkan, proses tersebut bukan sekadar membuat dokumen semata-mata berdasarkan anggapan segelintir orang.

    “Sedangkan, realitinya dokumen itu kena melalui proses perundangan. Selepas itu, dokumen yang dibuat tadi perlu dikaitkan dengan bagaimana ia berfungsi untuk memindah milik geran tanah dan harta.

    “Misalnya, kereta yang hendak dipindah milik kepada penerima yang sepatutnya. Barulah proses pengurusan pusaka itu dikira selesai. Di sinilah Wasiyyah Shoppe memainkan peranan kepada waris pelanggan kami untuk membimbing mereka dalam setiap urusan iaitu mendokumenkan, melalui proses mahkamah dan pindah milik harta selesai dilakukan,” jelas beliau.

    Baik golongan muda mahupun sudah berusia, ujar Ariffin, semua orang perlu melakukan perancangan harta dan pengurusan pusaka dengan baik.

    “Katakan anak muda yang ada anak berusia bawah 18 tahun, mereka kena merancang (harta dan pusaka) sebab apabila dirinya sudah tiada lagi di dunia, siapa yang akan menjaga harta anak mereka? Jika tidak dilantik penjaga harta, pasti akan ada masalah pada kemudian hari dengan isu seleweng harta dan sebagainya.

    “Kebanyakan orang muda walaupun dia tidak punyai banyak wang, tetapi mereka ada perlindungan takaful dan insurans. Apabila mereka meninggal dunia, mungkin dapat RM1 juta atau RM2 juta kepada waris. Siapa yang hendak uruskannya kerana anak-anak tadi di bawah umur 18 tahun? Jadi perlunya melantik penjaga harta ketika masih hidup,” ujar beliau.

    Selain itu, Ariffin turut menggalakkan orang ramai untuk melakukan agihan harta terutama suami isteri yang tiada anak, mempunyai anak angkat atau ada anak perempuan sahaja.

    “Ini kerana kebanyakan mereka kena buat hibah. Saya percaya rata mereka yang membeli rumah, ia adalah untuk anak dan pasangannya. Mereka tidak beli rumah itu untuk adik-beradiknya. Namun, jika tiga golongan tadi meninggal, adik-beradik tetap ada bahagian ke atas harta pusakanya sedangkan si mati tadi tiada niat pun untuk berikan kepada individu berkenaan. Jadi, mereka perlu buat hibah ketika masih hidup.

    “Bukan itu sahaja, orang yang berpoligami dan ahli perniagaan juga perlu melakukan proses agihan harta berkenaan untuk memudahkan urusan selepas kematian mereka kelak,” nasihat beliau.

    PERANCANGAN harta dan pengurusan pusaka bukan sekadar dokumen, ia juga perlu melalui proses perundangan untuk menukar hak milik kepada waris selepas kematian seseorang.

    PERANCANGAN harta dan pengurusan pusaka bukan sekadar dokumen, ia juga perlu melalui proses perundangan untuk menukar hak milik kepada waris selepas kematian seseorang.

    Sumber

  • Ciri kesan khas langsing swafoto Nova 7i

    Ciri kesan khas langsing swafoto Nova 7i

    HUAWEI Nova 7i menawarkan video swafoto dengan ciri tambahan seperti pelekat label, turas dan kesan khas tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.

    HUAWEI Nova 7i menawarkan video swafoto dengan ciri tambahan seperti pelekat label, turas dan kesan khas tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.

    REVOLUSI swafoto melangkaui sempadan! Apa tidaknya, Huawei menonjolkan ciri terbaharu yang mampu menampakkan diri lebih ramping.

    Siapa tidak mahu nampak cantik dan langsing dalam gambar, bukan? Itulah yang cuba ditonjolkan dalam Huawei Nova 7i. Jenama itu bakal menembusi pasaran Malaysia pada esok hari.

    Dengan ciri sofistikated itu tidak mustahil bakal digilai ramai kerana berfungsi menjadikan gambar lebih shed secara semula jadi atau mencipta video menyeronokkan bersama insan tersayang.

    Tidak dinafikan, pertama kali Huawei memperkenalkan siri Nova, ramai peminat jenama itu teruja dengan inovasi dua kamera swafoto. Sudut menakjubkan mampu diberikan, selain ciri panggilan video, Meetime yang lebih keterhadapan.

    Di sebalik kamera yang bukan sekadar generik, ia menawarkan video swafoto dengan ciri tambahan seperti pelekat label (stickers), turas (filters) dan kesan khas tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.

    Sama ada TikTok atau video Instagram, ciri tambahan unik itu boleh berfungsi efisien semudah ABC lebih-lebih lagi jika semuanya berintegrasi bersama kamera resolusi definisi tinggi (HDR).

    SELAIN skrin LCD LTPS IPS 6.4 inci, paparan tersebut memiliki nisbah ke badan 83.5 peratus dengan resolusi 1080 X 2310 piksel dan ciri pengimbas cap jari pada telefon bagi meningkatkan sekuriti

    SELAIN skrin LCD LTPS IPS 6.4 inci, paparan tersebut memiliki nisbah ke badan 83.5 peratus dengan resolusi 1080 X 2310 piksel dan ciri pengimbas cap jari pada telefon bagi meningkatkan sekuriti

    Dalam satu kenyataan, Huawei berkata, spesifikasi canggih pada kamera bahagian belakang didatangkan dengan quad 48 mega piksel (mp) yang merangkumi ciri HDR ultra luas dengan saiz 26 milimeter F/1.8.

    “Ciri sofistikated itu membolehkan penyerapan lebih banyak cahaya meskipun bergambar atau merakam video dalam keadaan tempat yang gelap. Cukup menarik jika merakam gambar pada waktu malam!

    “Selain skrin LCD LTPS IPS 6.4 inci, paparan tersebut memiliki nisbah ke badan 83.5 peratus dengan resolusi 1080 X 2310 piksel dan ciri pengimbas cap jari pada telefon bagi meningkatkan sekuriti,” katanya.

    Bukan sahaja didatangkan dengan pemprosesan serba baharu, octa-core HiSilicon Kirin 810, peranti jenama China itu turut digandingkan dengan 8GB RAM dan 128GB memori dalaman serta menyokong slot kad memori nano sehingga 256GB.

    Nova 7i juga memiliki ciri pengecas super 40 watt yang memberikan 70 peratus bateri.


    Sumber

  • Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

    Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

    SETIAP ibu bapa sudah pasti ada menyediakan tabungan sendiri untuk anak-anak mereka.

    Tidak kiralah banyak atau sedikit jumlahnya, tetapi apa yang penting usaha mereka untuk menabung demi masa depan penyambung keturunan masing-masing.

    Segelintir orang suka menyimpan wang tabungan itu di dalam bank atas nama anak tersebut.

    Andai kata, pada suatu masa kita memerlukan, bolehkah wang tabungan tadi digunakan untuk membayar yuran persekolahan anak?

    Persoalan itu akan dirungkai dalam segmen Soal Jawab Netizen bersama pensyarah Universiti Utara Malaysia dan pendakwah, Dr Fitri Haris.

    Jelas beliau, pada asalnya, kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.

    “Perkara itu adalah jelas. Hak kamu, hak kamu, manakala hak aku adalah hak aku. Tidak kiralah ia hak isteri, anak, ibu atau bapa kita sekalipun,” katanya.

    Namun, dalam perihal menggunakan duit anak sendiri, ujar beliau, Islam agama yang syumul dan cantik. Perkara yang pada asalnya tidak boleh digunakan, namun ada ‘keringanan’ dalam hal-hal tertentu.

    Kata beliau, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk ibu bapa mengambil duit milik anak

    Situasi pertama adalah jika wang yang digunakan tadi tidak memudaratkan anak kita, terang beliau.

    “Jangan sampai kita ambil duit anak sehingga menyebabkan anak tadi bankrap dan sebagainya. Ini jika anak kita tadi sudah besar.

    “Namun, jika anak belum baligh lagi, ia tiada masalah jika ia (wang anak) diperlukan ketika itu,” kata beliau.

    Ujar Fitri, situasi kedua yang dibenarkan adalah ibu bapa mengambil wang berkenaan untuk keperluan semasa anak.

    “Mungkin pada masa itu, kita tiada duit hendak bayar yuran sekolah anak atau hendak makan. Kadangkala semasa Hari Raya, anak lagi kaya daripada kita sendiri.

    “Pada masa itu, dibolehkan kita menggunakan duit mereka sekiranya ia demi memenuhi keperluan mereka pada masa itu contohnya bayar yuran sekolah, beli buku dan sebagainya. Jangan pula kita ambil duit berkenaan untuk membeli beg tangan dan selainnya. Itu tidak dibolehkan,” tegas beliau.

    Apa pun, jika anak tadi sudah berakal, Fitri menasihatkan ibu bapa agar meminta izin anak sebelum menggunakan duit mereka.

    Sumber

  • ETCM tawar pelan takaful – Sinar Harian

    ETCM tawar pelan takaful – Sinar Harian

    PELANGGAN Nissan boleh menikmati pelan bayaran bulanan yang menarik untuk  model-model Nissan bermula serendah RM749.

    PELANGGAN Nissan boleh menikmati pelan bayaran bulanan yang menarik untuk model-model Nissan bermula serendah RM749.

    EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan jalinan kerjasama dengan FWD Takaful Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad.

    Tujuan kerjasama tersebut adalah bagi menawarkan pelan perlindungan takaful keluarga FWD Protect Direct percuma selama setahun dengan jumlah perlindungan bernilai RM100,000 kepada pembeli Nissan X- Trail dan Serena S-Hybrid.

    FWD Protect Direct merupakan pelan takaful dalam talian yang menawarkan perlindungan penuh buat seisi keluarga dalam satu pelan tunggal.

    Menurut satu kenyataan daripada ETCM, pelanggan juga boleh memilih pelan individu, pasangan, keluarga (sehingga dua orang anak) dan ibu atau bapa tunggal (sehingga dua orang anak) untuk pelan tersebut.

    “Dengan hanya satu sijil, ia memudahkan pelanggan kerana tidak perlu menguruskan beberapa sijil takaful untuk seisi keluarga.

    “Pelanggan yang membeli Nissan X-Trail atau Serena S-Hybrid bermula 1 Februari sehingga 30 April 2020 akan menerima sekeping kad promo FWD Takaful bersama satu kod unik,” kata kenyataan ETCM baru-baru ini.

    Selain itu, terdapat juga perincian untuk menebus perlindungan takaful percuma selama setahun menerusi laman web FWD Takaful.

    Penebusan mesti dibuat sebelum 30 Mei 2020. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai FWD Protect Direct, layari laman web fwd.com.my/direct/protect-direct.

    Sumber

  • Solat sunat Istikharah bukan semata-mata untuk memilih jodoh

    Solat sunat Istikharah bukan semata-mata untuk memilih jodoh

    LAZIMI menunaikan solat sunat Istikharah apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

    LAZIMI menunaikan solat sunat Istikharah apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

    KEBANYAKAN kita sering menganggap bahawa solat Istikharah hanya sesuai dilakukan tatkala memilih jodoh.

    Hakikatnya, solat sunat berkenaan mempunyai ‘fungsi’ yang besar dalam kehidupan kita.

    Akibatnya, ia sering dilupakan gara-gara tidak tahu tujuan sebenar ia dilakukan.

    Ketahuilah bahawa Islam sebenarnya mengajar umatnya agar melakukan solat sunat berkenaan apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

    Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian berasa berat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa istikharah).” (Riwayat Muslim)

    Hadis itu jelas menggambarkan fungsi solat Istikharah yang kurang diendahkan oleh kebanyakan orang.

    Masakan tidak, ketika menghadapi masalah, ramai yang tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk menyelesaikan kesulitan berkenaan.

    Lantaran itu, fikiran menjadi buntu dan mulalah kita mengambil keputusan terburu-buru yang akhirnya menerbitkan penyesalan dalam diri kerana tindakan yang diambil tidak seperti yang diharapkan.

    Jika situasi itu yang kita hadapi, sebaiknya lakukanlah solat sunat Istikharah untuk pelbagai tujuan apabila dirasakan kita tidak mampu membuat keputusan yang tepat.

    Tidak kiralah sama ada keliru memilih pekerjaan, membeli sesuatu barang atau menuju destinasi pilihan dan lain-lain.

    Untuk menunaikannya, ia boleh dilakukan sebanyak dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam salam.

    Kepada mereka yang hendak menunaikannya, ia boleh dilakukan sama ada pada waktu siang atau malam.

    Jangan lupa untuk membaca tasbih “Maha suci DIKAU yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang DIKAU ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya DIKAU MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA!” dalam sujud akhir sebanyak 40 kali.

    Sebelum bangun daripada sujud, mohonlah kepada ALLAH agar ditunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.

    Ayuh sama-sama kita lazimi menunaikan solat sunat Istikharah jika ada masalah dan kesulitan yang sukar untuk diselesaikan.

    (Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)

    Sumber

  • Prihatin pengguna kenderaan – Sinar Harian

    Prihatin pengguna kenderaan – Sinar Harian

    ERIC ketika hadir pada majlis pelancaran Family Drive di Petaling Jaya baru-baru ini.

    ERIC ketika hadir pada majlis pelancaran Family Drive di Petaling Jaya baru-baru ini.

    BERUSAHA memberikan perlindungan menyeluruh kepada semua penumpang ketika di jalan raya, AIA General Berhad, anak syarikat AIA Berhad baru-baru ini melancarkan produk utamanya dikenali sebagai Family Drive.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Chang berkata, Family Drive merupakan insurans kenderaan komprehensif. Antara manfaat yang diberikan ialah perlindungan asas terhadap kerugian dan kerosakan kenderaan sendiri dan pihak ketiga selain menawarkan diskaun untuk kenderaan lain yang dimiliki ahli keluarga.

    “Kami teruja untuk memperkenal Family Drive serta ciri-cirinya yang inovatif dan berorientasikan pelanggan ke dalam pasaran insurans motor.

    “Inovasi pelan dan polisi insurans seperti ini mencabar keupayaan kami untuk membangunkan produk bagi memenuhi kepelbagaian keperluan. Apa pun, sebagai entiti baharu, kami yakin ia memiliki ciri berdaya saing untuk terus menyumbang dalam industri insurans am di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran Family Drive di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Difahamkan, antara kelebihan skim tersebut ialah perlindungan kemalangan diri yang mana setiap individu yang menaiki kereta diinsuranskan secara automatik sehingga RM250,000.

    Selain itu, Family Drive juga menawarkan elaun kesulitan sebanyak RM600 jika kenderaan perlu dibaiki di bengkel. Fungsi simpanan melalui Diskaun Keluarga sebanyak lima peratus juga diberikan.

    Pemegang polisi juga boleh membuat perlindungan tambahan termasuk perlindungan nilai dipersetujui terhadap penyusutan nilai kereta. Juga terdapat manfaat kos penambahbaikan untuk alat ganti tulen dan bencana alam seperti banjir, ribut atau tanah runtuh.

    Tambah Eric, Family Drive juga menawarkan pakej AIA Road Assist iaitu perkhidmatan nilai tambah seperti penggantian bateri atau tayar yang beroperasi 24 jam sehari selama tujuh hari seminggu. Bantuan laporan polis dengan baucar e-hailing turut disediakan.

    Pengecualian lebihan juga diberikan kepada pelanggan yang membaiki kenderaan di bengkel panel AIA dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya. Maklumat lanjut mengenai Family Drive, layari www.aia.com.my.

    Sumber

  • Fadilat Surah al-Falaq apabila membacanya

    Fadilat Surah al-Falaq apabila membacanya

    JADIKAN Surah al-Falaq sebagai bacaan rutin kita seisi keluarga.

    JADIKAN Surah al-Falaq sebagai bacaan rutin kita seisi keluarga.

    WALAUPUN hanya mempunyai lima ayat sahaja, namun Surah al-Falaq mempunyai kelebihan tersendiri yang bukan calang-calang.

    Ia merupakan antara surah yang begitu signifikan untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian.

    Bahkan, Rasulullah SAW akan membaca surah itu apabila sakit, kemudian meniupkan pada tangannya sebelum baginda menyapu ke seluruh badannya.

    Sebenarnya, ada banyak lagi fadilat surah berkenaan, selain merawat penyakit.

    Apakah fadilat-fadilat tersebut?

    Ikuti kupasannya bersama Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah dalam segmen Kapsul Surah pada hari ini.

    Sumber

  • Asniza mekanik pendingin hawa kereta

    Asniza mekanik pendingin hawa kereta

    MESKIPUN terpaksa bergelumang dengan minyak hitam, kerja yang sinonim dengan golongan lelaki ini bukanlah penghalang untuknya menguruskan sebuah bengkel pendingin hawa kereta.

    Bagi Asniza Kamaludin, 47, hidupnya ‘tidak tenteram’ jika hari-hari yang dilaluinya tidak berbau bahan pelincir itu atau tangannya tidak kotor terkena minyak gris.

    Luka-luka kecil di kedua-dua tapak tangannya juga seakan-akan tidak dihiraukan dek membantu suaminya, Yusri Mohd Yusof, 48, seorang mekanik pendingin hawa kereta.

     TIDAK kekok melakukan kerja penyelenggaraan pendingin hawa kereta yang kini menjadi permainan hariannya.

    TIDAK kekok melakukan kerja penyelenggaraan pendingin hawa kereta yang kini menjadi permainan hariannya.

    Jika pada wanita biasa barangkali tidak akan betah melakukan kerja-kerja tersebut, namun buat Asniza, tiada istilah takut dan geli memegang minyak hitam, gris dan kotoran lain.

    “Memang saya perlu berdepan semua kerja yang sentiasa nampak comot dan kotor ini untuk kenal pasti masalah sesebuah kenderaan. Kadangkala kita perlu leraikan semua komponen kereta.

    ‘’Alah bisa tegal biasa. Sebelum ada bengkel ni pun, rumah kami dah jadi tumpuan kawan-kawan dan kenalan datang untuk membaiki pendingin hawa kereta pada setiap hujung minggu,” kata Asniza sambil tersenyum membuka bicara.

    Di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada wanita yang berdiri di belakangnya.

    YUSRI (kiri) melayan permintaan pelanggannya.

    YUSRI (kiri) melayan permintaan pelanggannya.

    Kadangkala hingga ada lima buah kereta pelanggan dihantar serentak. Sudah tentulah Yusri tidak menang tangan membaikinya seorang diri, menyebabkan Asniza mengambil keputusan untuk membantu pasangannya itu.

    Asniza amat memahami minat suaminya yang juga seorang bekas tenaga pengajar vokasional, biarpun pada awalnya beliau hanya ingin mengembangkan kemahiran dan membantu rakan-rakan.

    Semuanya bermula apabila Yusri memuat naik perkongsian video dan tip baik pulih pendingin hawa kereta di Facebook. Impaknya, ramai kenalan yang berdepan masalah komponen itu mahu mendapatkan bantuannya selepas berkongsi informasi tersebut.

    “Mahu atau tidak kami terpaksa terima dan rupa-rupanya itulah rezeki kami sekarang,” katanya.

    Persepsi berkurangan

    Jika dahulu barangkali ada stigma mempertikai kemampuan golongan Hawa dalam melakukan pekerjaan kaum Adam. Kini persepsi seumpamanya sudah berjaya ditepis.

    Pelanggan yang datang ke bengkel Wak John Aircond misalnya tidak ragu-ragu dengan kemampuan mekanik wanita seperti Asniza yang cekap mengendalikan kerja-kerja teknikal membaiki kenderaan.

    “Pada awal 1990-an dulu ramai masyarakat yang tidak yakin kemampuan wanita sebagai mekanik. Tetapi hari ini sikap itu semakin berkurangan.

    “Lagipun, ada juga mekanik perempuan di luar sana yang menjalani latihan dan kemahiran bengkel yang sama dengan lelaki,” katanya.

    Berbangga dengan status diri sebagai Ketua Mekanik dan Pengurus di Wak John Aircond, Asniza membuktikan betapa perempuan juga tidak kurang hebat dan mahir dalam selok-belok kenderaan.

    Pengorbanan anak bongsu daripada empat beradik itu tidak sia-sia. Meskipun sebelum ini bekerja sebagai kerani kanan di sebuah syarikat, Asniza sanggup berhenti kerja.

    




ASNIZA nekad untuk berhenti kerja kerana mahu membantu suaminya.

    ASNIZA nekad untuk berhenti kerja kerana mahu membantu suaminya.

    Keputusannya itu semata-mata bagi memberi sepenuh perhatian kepada bidang baharunya selain kerana minat yang mendalam, di samping berniat membantu suami.

    Rezeki tidak pernah salah alamat, sebaik sahaja Yusri berhenti kerja, semakin ramai pelanggan yang datang. Promosi dari mulut ke mulut tentang kemahiran dirinya dan suami yang boleh menyelesaikan masalah pendingin hawa kereta banyak membantu.

    “Ada yang datang bawa alat ganti suruh suami pasangkan, masa tu kami terima sahaja sebab atas niat hendak menolong sehinggalah permintaan semakin banyak.

    “Suami akhirnya nekad ambil keputusan untuk berhenti sebagai guru bagi tumpu sepenuh masa dalam bidang penyelenggaraan dan membaiki pendingin hawa kereta,” katanya.

    




KAKITANGAN sedang memeriksa pendingin hawa kereta pelanggan.

    KAKITANGAN sedang memeriksa pendingin hawa kereta pelanggan.

    Tidak menafikan menghadapi kesukaran untuk suaminya membuat keputusan berhenti kerja sebagai seorang pendidik, tetapi perasaan mahu mencuba sesuatu yang baharu menjadi pendorong.

    Apalagi pekerjaan itu boleh mendatangkan sumber pendapatan, suami Asniza nekad meninggalkan profesionnya itu.

    Beri semangat

    Seperti sudah menelah soalan yang ingin dilontarkan, kepada penulis, Asniza tidak menafikan pada mulanya beliau agak kekok untuk memegang sepana atau pemutar skru bagi memeriksa bahagian tertentu pendingin hawa kereta. Pun begitu, perkara yang susah itu berubah menjadi minat.

    Berkongsi cabaran paling sukar perlu dihadapi mekanik pendingin hawa kereta, menurutnya masalah yang mengalami kerosakan berulang atau tidak konsisten adalah antaranya.

    “Selepas selesai satu kerosakan, datang pula masalah lain. Lebih teruk kalau melibatkan komponen-komponen utama yang memerlukan kos baik pulih yang tinggi. Itu antara kerumitan biasa dialami.

    “Apa pun, daripada tidak tahu apa-apa, suami beri tunjuk ajar hinggalah kami mengambil keputusan untuk menjadikan sebuah rumah kedai sebagai tempat beroperasi. Alhamdulillah dengan apa yang kami ada sekarang,” katanya.

    Menurut Asniza keputusan itu diambil kerana tidak mahu jiran-jirannya terganggu dengan bunyi bising dan kurang selesa kerana menjadikan kawasan perumahan seperti bengkel kereta.

    SALAH seorang pekerja sedang melakukan flushing pendingin hawa kereta.

    SALAH seorang pekerja sedang melakukan flushing pendingin hawa kereta.

    Dengan nada ceria beliau bersyukur, impian itu akhirnya tercapai apabila menyewa sebuah rumah kedai di Taman Sri Jelok, Kajang.

    “Walaupun bengkel ini tidak besar mana, namun ia cukup untuk menempatkan peralatan khas yang digunakan untuk mengesan kerosakan pendingin hawa kenderaan.

    “Saya juga bersyukur kerana mempunyai pekerja yang rajin dan sentiasa menjaga kualiti ketika menyelesaikan tugasan melibatkan kenderaan pelanggan. Bekerja dengan saya mudah, saya sukakan pekerja yang amanah,” katanya yang bercadang membuka sebuah lagi cawangan Wak John Aircond di sekitar Lembah Klang.

    




BERSAMA barisan warga kerja yang memastikan Wak John Aircond mampu beroperasi setiap hari.

    BERSAMA barisan warga kerja yang memastikan Wak John Aircond mampu beroperasi setiap hari.

    Sehingga kini, beliau mempunyai empat orang pekerja yang akan membantunya menyiapkan kerja-kerja di bengkel.

    Sementara itu, bagi Yusri, keputusannya meninggalkan profesion sebagai pengajar vokasional untuk memiliki perniagaan sendiri, tidak akan berjaya tanpa bantuan isterinya, Asniza.

    “Bengkel Wak John Aircond ini juga tidak akan wujud tanpa sokongan isteri. Apa yang dapat saya lihat dia minat untuk pelajari selok-belok dunia pendingin hawa kereta.

    “Tiada masalah buatnya meskipun ia bidang yang asing bagi dirinya,’’ kata bekas tenaga pengajar berpengalaman lebih 20 tahun itu.

    YUSRI

    YUSRI

    Seperti biasa dikatakan pada anak didiknya, tiada yang mustahil untuk berjaya jika seseorang itu rajin berusaha. Baginya tiada jalan singkat untuk cemerlang.

    “Kalau orang tanya tak penat ke kerja bengkel ni, saya hanya jawab ‘biasalah tiada kerja yang tak penat’. Inilah pengorbanan kami.

    “Tidak seperti orang lain kebiasaannya pada hujung minggu berehat. Tapi isteri dah faham bahawa Sabtu dan Ahad adalah rutin hari bekerja kami,” katanya yang lazim menerima bilangan kenderaan yang bertambah untuk mendapatkan perkhidmatan pada cuti hujung minggu.

    Biarpun begitu, beliau dan Asniza sepakat menyelaraskan jumlah kenderaan mengikut masa tempahan pelanggan untuk mengelakkan mereka datang serentak dan terpaksa menunggu lama.

    Sumber