Category: ATTRACTION

  • Galaxy Watch Active2 buat jejaka kekal fit dan stailo

    Galaxy Watch Active2 buat jejaka kekal fit dan stailo

    TIGA rekaan tali premium keluli tahan karat dengan diameter bersaiz 40mm.

    TIGA rekaan tali premium keluli tahan karat dengan diameter bersaiz 40mm.

    UNTUK si jejaka yang sukakan amalan gaya hidup sihat, jangan ketinggalan mendapatkan fitur baharu Samsung, Galaxy Watch Active2 untuk membantu tubuh kekal fit dan stailo sepanjang masa.

    Bukan sahaja prestasi portfolio dipertingkatkan, jam pintar yang direka khas itu berupaya untuk menjadi penasihat maya terbaik supaya si pemakai dapat menjalankan aktiviti dengan lebih sistematik.

    Menurut Presiden Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim, penciptaan Galaxy Wacth Active2 itu bertujuan untuk menggalakkan kebebasan ekspresi dan inspirasi positif sejajar agenda syarikat yang dipacukan pelbagai inovasi.

    “Kami memahami kepentingan keseimbangan antara tugas hakiki dan kehidupan seharian. Ini kerana dalam pembangunan profesional, kecenderungan untuk mengabaikan kesejahteraan peribadi cukup tinggi.

    “Atas justifikasi itu, inovasi tersebut dapat membantu mereka yang sedang mencari kehidupan yang lebih sihat dan pintar selain mahukan penampilan bergaya. Galaxy Wacth Active2 mungkin aksesori yang anda cari selama ini,” katanya.

    REKAAN tali aluminium ringan FKM dengan diameter bersaiz 40mm.

    REKAAN tali aluminium ringan FKM dengan diameter bersaiz 40mm.

    Tambah menarik, gajet jam pintar yang diprogramkan khas untuk panduan gaya hidup sihat itu turut merangkumi amalan diet, senaman, kecergasan mental dan juga rutin tidur.

    Bukan sahaja memiliki sensor kesihatan cukup berinovatif, pemakainya juga dapat melihat data lebih cepat dan mudah untuk memaksimumkan rutin kecergasan di landasan yang betul.

    Jadi, jangan lepaskan peluang untuk memiliki Galaxy Watch Active2 sebagai jurulatih maya harian buat para lelaki yang inginkan kelainan.

    GALAXY Watch Active2 edisi Under Armour dengan diameter bersaiz 40mm. GALAXY Watch Active2 edisi Under Armour dengan diameter bersaiz 40mm.

    GALAXY Watch Active2 edisi Under Armour dengan diameter bersaiz 40mm. GALAXY Watch Active2 edisi Under Armour dengan diameter bersaiz 40mm.

    ANEKDOT

    SPESIFIKASI lain Galaxy Watch Active2:

    • Miliki akses Samsung Health untuk program meditasi.
    • Algoritma analisis tidur yang dipertingkatkan ke arah pola lebih sihat.
    • Galaxy Watch Active2 kini menyokong suara dan terjemahan teks masa nyata lebih 16 bahasa.
    • Mudah untuk kekal berhubung dengan perkongsian Spotify 2.
    • Membawa pengalaman interaksi peranti lancar dengan akses kepada muzik, podcast dan multimedia lebih mudah.
    • Saiz 44 milimeter (mm) and 40mm dengan dua rekaan tali aluminium ringan Fluoroelastomer kasual (FKM) dan premium keluli tahan karat.

    Sumber

  • Kompleks Akademi My #QuranTime RM20 juta dibina tahun depan

    Kompleks Akademi My #QuranTime RM20 juta dibina tahun depan

    PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan membina sebuah Kompleks Akademi My #QuranTime bernilai RM20 juta di Bandar Baru Bangi, Selangor tahun depan.

    Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kompleks berkenaan akan dibina di atas tanah yang telah diinfakkan kepada yayasan itu seluas 0.6 hektar.

    Katanya, pembinaan kompleks yang bakal berfungsi sebagai pusat penyiaran bagi semua program berkonsepkan al-Quran itu hasil daripada infaq abadi atau wakaf.

    “Kompleks ini juga akan menjadi tempat untuk asatijah untuk menjalankan kajian bagi menambahbaik lagi program pada masa akan datang. Insya-ALLAH kompleks ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

    “Pembinaan kompleks yang dijangka mencecah RM20 juta ini dijangka dapat dicapai memandangkan hasil kutipan untuk infaq atau wakaf masih lagi berterusan.

    “Jadi, dengan siapnya akademik ini harapan kita untuk membawa gerakan menghurai al-Quran ke antarabangsa supaya konsep tadabbur, faham dan amal ini ke pelbagai bahasa di seluruh dunia,” katanya ketika ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, pada Sabtu.

    Tambah Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, hampir kesemua aktiviti yang dilaksanakan WUIF yang mula diwujudkan lebih 10 tahun lalu itu adalah hasil sumbangan orang ramai khususnya pengikut setia setiap program yang dilaksanakan yayasan itu.

    “Sepanjang pelbagai program yang dijalankan WUIF, penonton setia telah menginfaq dan memberi wakaf abadi melebihi RM20 juta.

    “Semasa kita melancarkan Tabung Al-Quran, kita sasar untuk kutip 15,000 naskah tetapi alhamdulilah kita dapat 300,000 naskah, di mana kita berjaya kumpul RM13 juta,” katanya.

    Jelasnya, sumbangan yang diterima melalui infaq itu kemudiannya telah diagihkan kepada pelbagai pihak antara hospital dan sebagainya dengan mewujudkan Al-Quran Corner.

    “Pada awal penubuhan WUIF sebelum ini, saya dan Kumpulan Karangkraf yang membiayai dana bagi setiap program yang dijalankan dan alhamdulillah sekarang ummah yang memberi dana.

    “Sehingga kini kita telah menerima lebih RM20 juta selama tiiga tahun dan wang ini digunakan dengan setelusnya. Kita mempunyai akaun untuk menguruskan dana,” katanya.

    Justeru, Hussamuddin turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membuat audit terhadap yayasan yang diterajuinya itu sekiranya wujud keraguan dalam menguruskan dana tersebut.

    Sementara itu, kira-kira 8,000 peserta diraikan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang julung kali diadakan itu.

    Program My #QuranTime diasaskan WUIF dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan TV Alhijrah sebagai penyiar utama.

    My #QuranTime merupakan program interaksi dengan al-Quran melalui tadabbur 114 surah/ 604 halaman yang bersiaran di TV Alhijrah dan platform Facebook My #QuranTime dan YouTube My #QuranTime pada pukul 12 hingga 1 tengah hari setiap hari bermula 8 Jun 2020.

    Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti program berkenaan.

    Sumber

  • Zhang Yu paling gagah Asia Tenggara 2019

    Zhang Yu paling gagah Asia Tenggara 2019

    MAMPU mengalahkan 17 finalis seluruh Asia Tenggara, Seah Zhang Yu rupa-rupanya si badang Malaysia dan menjuarai R U Tough Enough Southeast Asia 2019.

    Ukuran saiz badan tidak membataskan penasihat jualan itu untuk menewaskan pegawai tentera udara Thailand yang lebih bertubuh besar, sekali gus melayakkannya membawa pulang ganjaran wang tunai US$15,000 (RM60,000).

    Finalis berusia 23 tahun itu masih tidak percaya dirinya mampu bergelar juara dan mengharumkan nama Malaysia.

    “Rasa seperti sedang bermimpi dan tidak percaya yang saya menang! Pusingan terakhir dengan Kajohnsak memang sangat sengit.

    “Saya fikir sudah gagal ketika sesi mengangkat tayar kerana bebanan tersebut bukanlah kekuatan utama apatah lagi dengan saiz badan yang kecil namun saya tetap bertahan dan tidak putus asa,” katanya.

    ZHANG YU menayangkan piala kejuaraan R U Tough Enough Southeast Asia 2019 selepas berjaya menewaskan 17 finalis seluruh Asia Tenggara.

    ZHANG YU menayangkan piala kejuaraan R U Tough Enough Southeast Asia 2019 selepas berjaya menewaskan 17 finalis seluruh Asia Tenggara.

    Zhang Yu yang juga pejuang Mixed Martial Arts (MMA) turut menyifatkan kejayaan itu bukan sahaja untuk keluarga dan rakan-rakannya, bahkan untuk negara tercinta.

    “Semua cabaran memang melangkaui batasan diri terutama ketika pertembungan akhir pusingan ‘Head-to-Head Challenge’ menentang pencabar utama lain.

    “Namun demi keluarga, rakan dan Malaysia, semua itu telah memberikan dorongan terakhir untuk saya terus maju mencapai apa yang dianggap mustahil,” ujarnya.

    Sebelum ini, Zhang Yu pernah memenangi Malaysian Invasion Mixed Martial Arts (MIMMA) untuk kategori Flyweight tiga kali berturut-turut dan membawa pulang tali pinggang kejohanan.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pengiklanan Afiliasi dan Jualan Celestial Tiger Entertainment, Annie Chan berkata, pihaknya bangga dengan pencapaian Zhang Yu dalam kejuaraan tahun ini.

    “Cabaran itu memperlihatkan bagaimana kekuatan fizikal, mental dan emosi bergabung dan mengatasi segalanya. Ia adalah satu pertempuran sangat sengit mengalahkan 17 finalis lain.

    “Ketabahan, sikap ingin bergelar juara dan keazamannya jelas mewakili semangat R U Tough Enough,” ujarnya.

    R U Tough Enough Southeast Asia 2019 menyaksikan 18 finalis dari Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam beradu tenaga di Sunway Pyramid, Subang Jaya Selangor baru-baru ini.

    Sumber

  • Usia, berkerusi roda bukan penghalang

    Usia, berkerusi roda bukan penghalang

    Dari kiri: Aishah, Rokiah dan Ismail hadir pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Putrajaya pada Sabtu.

    Dari kiri: Aishah, Rokiah dan Ismail hadir pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Putrajaya pada Sabtu.

    PUTRAJAYA – Usia bukanlah penghalang untuk golongan berusia bersama-sama ribuan peserta menjayakan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang berlangsung pada Sabtu.

    Bagi Rokiah Busu, alunan ayat suci al-Quran menerusi siaran program My #QuranTime yang ditonton setiap hari membantu wanita berusia 85 tahun itu memperoleh ketenangan dalam hidup.

    Menurutnya, pendekatan tadabbur yang dilaksanakan juga sangat dekat dengan jiwa, sekali gus menambah kepuasan untuk memahami pengisian yang ingin disampaikan.

    “Saya minat baca al-Quran setiap hari, jadi saya kuatkan semangat untuk hadir juga ke program ini.

    “Awalnya anak saya kurang bersetuju disebabkan keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan tetapi selepas dapat tahu menantu akan turut serta, saya pun ikut dia.

    “Selama ini kita baca kulit (al-Quran) sahaja tapi program ini disertakan sekali dengan tadabbur, jadi kita mudah faham,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di sini pada Sabtu.

    Menurut Ismail Mamat, 75, meskipun dia terpaksa bertongkat disebabkan kakinya tidak kuat untuk berjalan jauh, dia tetap menguatkan semangatnya untuk menghadirkan diri ke acara khatam bersama-sama peserta lain.

    Ujar peminat tegar program My #QuranTime berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, al-Quran merupakan satu mukjizat yang akan menjadi pembela umat Islam.

    “Saya memang peminat al-Quran kerana bagi saya kalam ALLAH SWT ini adalah pemangkin semangat diri.

    “Al-Quran akan memberi syafaat kepada seluruh umat Islam dan sebagai pembela kita di dunia dan akhirat,” jelasnya.

    Sementara itu, Aishah Abd Gani, 78, mengakui ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh qari My #QuranTime boleh memberikan ketenangan kepada dirinya di saat sakit.

    “Kalau tidak sihat misalnya pening atau demam, alhamdulillah saya boleh rasa lega dan lapang apabila menonton rancangan ini,” katanya yang datang dari Pontian, Johor.

    Sumber

  • Interpretasi imej grafik dua negara

    Interpretasi imej grafik dua negara

    BARANGKALI sudah termaktub rezekinya di situ. Dek kerana obses dengan imej grafik pada sehelai kemeja-T mendorong pemuda ini mereka cipta desain tersendiri.

    Umpama sentuhan magis, Hafiz Abdul Hadi kini mampu membina empayar jenama Monkey Apparels merentasi Asia Tenggara sejak 2013 lagi.

    Menurut ejen insurans yang berusia 36 tahun itu, keghairahan mereka cipta imej grafik yang unik dan ‘rare’ cukup mendalam pada dirinya, lebih-lebih lagi tidak ramai yang menonjol dalam industri pembuatan baju dengan identiti jenama tempatan.

    “Saya lihat di Malaysia jarang ada jenama lokal yang mereka imej grafik. Kebanyakan fesyen baju termasuk kemeja-T diambil daripada jenama luar negara untuk dipromosikan.

    “Atas justifikasi itu, saya terpanggil untuk meneruskan misi memastikan golongan muda zaman sekarang menghargai karya dan artis grafik tempatan,” luahnya kepada e-Trend baru-baru ini.

    IDEA dan sentuhan imej grafik dengan jenama c membuatkan Hafiz memiliki peminat tersendiri

    IDEA dan sentuhan imej grafik dengan jenama c membuatkan Hafiz memiliki peminat tersendiri

    Minat dalam mencipta imej grafik bermotifkan haiwan tersebut turut dikongsikan bersama kenalannya, Budi Eka Fitri yang juga seorang pereka kaligrafi berasal dari Indonesia.

    Bapa kepada tiga anak itu berkata, pada awalnya mereka saling tidak mengenali dek batasan dua benua susulan Budi menetap di negara seberang, namun laman sosial dan minat yang sama mendekatkan jurang.

    “Sebelum ini, kami sering berkongsi pandangan dan idea mengenai imej grafik yang ada melalui Instagram. Apabila masing-masing serius, kami putuskan untuk bergabung mengembangkan jenama Monkey Apparels.

    “Masih ingat lagi, pertemuan pertama kami di Masjid India, Kuala Lumpur dulu untuk perbincangan lanjut. Bila ada minat yang sama, jadi misi untuk membuat kemeja-T dengan rekaan tersendiri memang tiada masalah,” bicaranya.

    Eksklusif

    Mengulas lanjut mengenai idea unik, anak jati Johor itu berkata, pada mulanya rekaan imej grafik pada kemeja-T itu direka sendiri oleh mereka berdua sebelum memiliki tujuh pereka yang bertempat di Kuala Lumpur dan Jakarta.

    “Selalunya bila dapat idea, saya akan buat lakaran imej baharu sebelum serahkan kepada pereka untuk buat. Memang kena ada proses approval setiap kali sketch siap sebab saya cukup mementingkan kualiti.

    “Kami juga menerima penyertaan pereka dari Filipina dan New York sekali gus menjadikan jenama Monkey Apparels dikenali seluruh dunia,” ujarnya yang setiap rekaan yang dihasilkan terhad kepada 50 helai sahaja.

    REKAAN imej grafik kemeja-T keluaran Monkey Apparels cukup rare dan mendapat sambutan menggalakkan.

    REKAAN imej grafik kemeja-T keluaran Monkey Apparels cukup rare dan mendapat sambutan menggalakkan.

    Setiap edisi katanya, hanya untuk tempoh tertentu sahaja dikeluarkan dengan jumlah terhad kerana mahu memberikan nilai eksklusif kepada pelanggan yang menghargai karya Monkey Apparels.

    “Edisi keluaran sebelum ini seperti Gorillas Goes To School, Nail Nerd Skull, Raging Tiger dan Turtle Gone Mad mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Kami tidak menyangka keluaran itu memiliki peminat tersendiri.

    “Varian terbaharu, The Piece of Eden, The King of War, The Little Fighter (edisi khas untuk mengutip dana buat pesakit kanser, Adik Maliq Aryan) dan Nightly Owl. Kami masih mengekalkan imej haiwan bagi menterjemahkan usaha keras, dedikasi, idea dan rekaan kami kepada semua,” katanya.

    Hafiz yang juga ketua latihan dan jaminan kualiti sebuah syarikat swasta itu tidak menafikan pihaknya cukup bangga dengan jenama yang dibawa kerana setiap rekaan membawa aura tersendiri.

    VARIAN Monkey Apparels terbaharu, Nightly Owl yang lebih feminin.

    VARIAN Monkey Apparels terbaharu, Nightly Owl yang lebih feminin.

    “Setiap rekaan memang lain daripada yang lain dan imej grafik yang dipaparkan membawa banyak maksud berbeza. Jika dulu fokus kepada orang muda, tetapi kini pasaran berubah apabila golongan profesional dan pertengahan umur pun meminati jenama kami.

    “Kemeja-T itu sesuai digayakan sebagai outfit of the day (OOTD) supaya si pemakai nampak lebih cool dan santai,” ujarnya yang memaklumkan harga dijual pada RM75 sehingga RM85 termasuk kos penghantaran pos.

    Sumber

  • My #QuranTime 2.0 bakal tampil pengisian lebih mendalam

    My #QuranTime 2.0 bakal tampil pengisian lebih mendalam

    Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB

    Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. – FOTO ROSLI TALIB

    PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Program My #QuranTime yang mencipta fenomena sejak lebih dua tahun lalu bakal diteruskan untuk edisi kedua hujung tahun ini dengan pengisian pengajaran yang lebih mendalam kepada penonton.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, My #QuranTime 2.0 dijangka bersiaran sebanyak 1,800 episod bermula pada 1 Disember depan.

    Selain itu, pihak WUIF juga sedang mempersiapkan studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam untuk program edisi kedua itu.

    “Program ini nanti akan membuka peluang kepada peserta untuk belajar secara langsung di lokasi penggambaran tersebut. Ini akan menjadikan program tersebut berinteraktif dalam sesi tadabbur dan belajar tajwid.

    “My #QuranTime 2.0 juga menekankan kepada kefahaman dan elemen hafalan al-Quran supaya orang ramai dapat membaca dan menghafal surah dengan betul.

    “Seterusnya mereka boleh mengamalkan bacaan tersebut dalam solat dengan lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.

    Jelasnya, My #QuranTime 2.0 juga dijangka turut disiarkan secara langsung melalui TV Alhijrah.

    Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf turut menyatakan perhargaan kepada 15 juta pengikut My #QuranTime 1.0 yang menyumbang dalam agenda membentuk Keystone Habit ummah iaitu Quran, Solat dan Infak (QSI).

    Agenda itu membawa misi Baca, Faham dan Amal, 1 jam berinteraksi dengan al-Quran setiap hari, 365 hari dari halaman 1 hingga 604.

    Impak My #Quran Time yang menguar-uarkan Tabung Gerakan Al-Quran di TV Alhijrah telah mengumpulkan sebanyak RM6,820.362 (sehingga 7 Oktober 2022) hasil sumbangan orang ramai.

    “Ia merupakan wakaf fasa empat yang diperkenalkan sejak 16 Oktober 2020,” katanya.

    Sementara itu, kira-kira 8,000 peserta diraikan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang julung kali diadakan itu.

    Majlis penuh sejarah itu diketuai lima pentadabbur dan 16 qari.

    Sumber

  • 10 Badang terkenal dunia – Sinar Harian

    10 Badang terkenal dunia – Sinar Harian

    BANYAK pertandingan menguji kekuatan ‘lelaki sado’ di peringkat antarabangsa dianjurkan saban tahun antaranya The World’s Strongestman, The Strongestman Guinness World Record, Arnold Strongman Classic dan Strongman Super Series.

    Bukan calang-calang cabaran diberikan. Mereka diuji dengan pelbagai rutin mustahil seperti mengangkat beban seberat 100 kilogram (kg) sehingga lebih 400kg sambil berlari menaiki tangga dan menarik rantai sauh seberat 430kg.

    Tetapi, apa yang paling tidak boleh terima dek akal, cabaran menarik satu kapal terbang dipenuhi penumpang sejauh 100 meter! Mungkin kedengaran satu kerja ‘gila’ namun ada jejaka terbukti berjaya melakukannya.

    Sebagai contoh, acara terbesar The World’s Strongestman anjuran International Management Group (IMG) yang berpangkalan di kota New York itu menyaksikan 42 pemegang gelaran Orang Terkuat Dunia sejak 1977.

    Justeru itu, e-Trend membawakan kisah menarik 10 si gagah dunia dalam sisipan minggu ini sempena sambutan Hari Lelaki Sedunia.

    MARTIN LICIS

    MARTIN LICIS

    Martin Licis

    Anak jati Republik Latvia itu dinobatkan sebagai Lelaki Paling Kuat Dunia 2019 selepas berjaya menewaskan penyandang yang juga bintang drama The Game of Thrones, Hafthor Bjornsson dalam saingan The World’s Strongest Man tahun ini.

    Mesra dengan panggilan The Dragon, Martin yang pernah bergelar juara Ultimate Strongman Summermania 2017 itu cemerlang dalam beberapa rutin termasuk Atlas Stone dan sembilan ulangan Squat Lift tanpa gagal sehingga disebut sebagai pelapis atlet Strongman masa depan.

    Juara MAS Wrestling Open World Championships berusia 29 tahun itu dilihat tidak berputus asa selepas menduduki tempat ke-6 bagi percubaan pertama The World’s Strongest Man 2016 dan berjaya merebut gelaran kali ini.

    MATEUSZ KIELISZOWSKI

    MATEUSZ KIELISZOWSKI

    Mateusz Kieliszowski

    Pesaing kelahiran Poland itu tidak kurang hebatnya. Meskipun menduduki tempat kedua dalam The World’s Strongest Man tahun ini, namun jejaka berusia 26 tahun itu cukup terkenal dek kerana kekuatannya mengangkat bebanan dumbell gergasi seberat lebih 100kg dengan hanya satu tangan.

    Penyandang gelaran Poland’s Strongest Man untuk lima tahun berturut-turut sejak 2015 itu turut memegang pelbagai rekod dunia dalam Giant Live 2019, Arnold Pro Strongman Europe 2019 dan Beasts of the Middle East World’s Ultimate Strongman 2019.

    Handal bukan? Hanya bermula dengan minat mendalam terhadap sukan kekuatan sejak di bangku sekolah lagi, Kieliszowski mencuba nasib seawal usia 17 tahun menyertai beberapa siri pertandingan amatur.

    Selepas berjaya memenangi Arnold Amateur Competition 2014, langkah kariernya lebih luas sehingga dapat melayakkan diri di tempat ke-3 dalam kejuaraan professional, Arnold Strongman Classic 2015.

    HAFTHOR JULIUS BJORNSSON

    HAFTHOR JULIUS BJORNSSON

    Hafthor Julius Bjornsson

    Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Aktor yang terkenal dengan gelaran The Mountain dalam siri drama aksi fantasi, Game of Thrones itu pernah menyandang gelaran juara dunia The World’s Strongest Man 2018.

    Bukan sahaja memegang gelaran Iceland’s Strongest Man sembilan kali berturut-turut, kegagahan bapa anak satu berkenaan mula terserlah selepas memenangi Arnold Strongman Classic dan menewaskan penyandang terhebat, Brian Shaw.

    Lebih dikenali dengan panggilan Thor, bekas atlet bola keranjang berusia 31 tahun tersebut mempamerkan aksi cemerlang mengangkat bebanan seberat 1,100kg bagi tiga rutin mustahil iaitu Squat Lift, Bench Press dan Deadlift. Cukup menakjubkan!

    JEAN FRANCOIS CARON

    JEAN FRANCOIS CARON

    Jean Francois-Caron

    Juara Canada’s Strongest Man buat tujuh kali berturut-turut itu bukan biasa-biasa orangnya. Meskipun lelaki berusia 37 tahun itu belum pernah menjuarai The World’s Strongest Man, namun pemilik gim berkenaan memiliki rekod cemerlang dalam aksi angkat berat.

    Selain masih mempertahankan rekod dunia WPA Powerlifting Organization, peminat fanatik pasukan Toronto Blue Jays itu juga menyandang rekod dunia The Strongestman Guinness World Record 2015 dalam acara menterbalikkan kenderaan jenis Volkswagen sebanyak 13 kali di China.

    Kekuatan tiada taranya tersebut turut terserlah apabila berjaya menterbalikkan tayar seberat 612kg sebanyak empat kali sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara Tire Flip World Record Arnold Strongman Classic 2016.

    BRIAN SHAW

    BRIAN SHAW

    Brian Shaw

    Namanya cukup digeruni dalam Strongman Super Series apabila mencatat rekod terbaik cabaran Gothenburg Grand Prix 2009, Los Angeles Grand Prix 2009 Viking Power Challenge 2010, Swedish Grand Prix 2010 dan Overall Champion 2010.

    Meskipun hanya menjuarai The World’s Strongest Man sebanyak empat kali, anak jati Colorado itu mencipta rekod peribadi tersendiri apabila muncul juara berganda pada kejohanan besar tahun 2011 dan 2015.

    Masih aktif dalam siri kejuaraan dunia demi masih mengejar gelaran The World’s Strongest Man buat kali ke-12 penyertaannya, pemilik YouTube Channel, Shawstrength itu juga rajin berkongsi tip kesihatan, cabaran kekuatan dan footage latihan peribadi bersama rakannya, Eddie Hall.

    EDDIE HALL

    EDDIE HALL

    Eddie Hall

    Sejarah kemunculan bekas pemain ragbi yang pernah dibuang sekolah ini cukup menarik. Hanya bermula pada tahun 2008 dengan kerjaya sebagai mekanik, lelaki cekal itu berlatih untuk menjadi ahli bina badan dan pernah menyertai beberapa siri pertandingan di sebuah gim di Staffordshire.

    Bagai orang mengantuk disorong bantal, peluang untuk menyertai England Championships terbuka luas apabila namanya dipetik sebagai pengganti finalis, Dave Meer yang tidak dapat meneruskan cabaran akibat kecederaan.

    Peluang yang diberikan dipergunakan sebaik mungkin dan siapa sangka, Hall berjaya memenangi kejuaraan itu dengan hanya satu percubaan sahaja. Bukan sahaja mengungguli carta UK’s Strongest Man 2011, beliau turut memecah rekod baharu dalam acara Viking Hold.

    Meskipun sudah bersara selepas menjuarai World’s Strongest Man 2017, namun bapa dua anak itu aktif dalam bidang perfileman apabila membuat kemunculan cameo dalam filem Transformers: The Last Knight dan dinobatkan bintang Youtubers.

    VASYL VIRASTYUK

    VASYL VIRASTYUK

    Vasyl Virastyuk

    Orang paling kuat Ukraine itu dilahirkan pada tahun 1974. Mula dikenali selepas debut Ukraine’s Strongest Man buat enam kali berturut-turut bermula tahun 2000.

    Mula jatuh cinta dengan latihan bergusti ketika masih di bangku sekolah, bapa dua anak itu mempamerkan bakat memberangsangkan dalam sukan angkat berat dan pernah mencatat rekod dunia kerana berjaya menarik trem seberat lebih 10 tan.

    Selepas menamatkan cabaran IFSA World Championship di tempat kedua pada tahun 2005 dan ketiga pada tahun 2006, Virastyuk berjaya mencipta momen tersendiri menewaskan juara IFSA World Champion, Žydrūnas Savickas pada tahun berikutnya.

    Atas kejayaan itu, lelaki yang berusia 45 tahun terbabit menjadi atlet pertama dalam sejarah, menyandang gelaran juara berganda World’s Strongest Man dan IFSA World Championship seterusnya menerima pengiktirafan 10 lelaki paling kuat sepanjang masa.

    ZSOLT SINKA

    ZSOLT SINKA

    Zsolt Sinka

    Pernah digelar sebagai Popeye Hungary kerana memiliki kekuatan badang selepas berjaya menarik sebuah kapal terbang jenis Airbus A320 sejauh 39.2 meter dalam tempoh 52 saat sahaja menggunakan gigi.

    Ya! Hanya menggunakan gigi untuk menarik kenderaan sebesar itu pastinya memerlukan kekuatan luar biasa. Impiannya mahu mencipta rekod baharu dalam The Strongestman Guinness World Record sempena World Expo Dubai 2020 akan datang.

    Bukan sembarangan impian yang ingin dicapai apabila bapa anak satu tersebut menyuarakan hasrat untuk menarik Boeing 777 dan Airbus A380 sebagai satu promosi unik selain mahu menarik enam sehingga lapan kereta untuk persembahan rekod baharu pada masa akan datang.

    ZYDRUNAS SAVICKAS

    ZYDRUNAS SAVICKAS

    Zydrunas Savickas

    Seorang atlet profesional Strongman yang pernah menggegarkan dunia dengan aksi cemerlang di peringkat Republik Lithuania bermula 1995 lagi sehingga mencapai empat kali kejuaraan World’s Strongest Man.

    Asalnya, anak jati Lithuania itu tertarik dengan aksi atlet angkat berat dalam satu siaran langsung pertandingan tersebut pada tahun 1989. Beliau mengambil keputusan untuk mengambil bahagian dan tidak sangka berjaya bergelar juara di kejohanan sama.

    Kejayaan itu memberikan inspirasi kepadanya untuk memulakan latihan dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga dinobatkan Orang Paling Kuat Lithuania dengan 15 kali kejuaraan.

    Lebih dikenali gelaran Big Z, jejaka yang berusia 44 tahun itu aktif mempromosikan program dan seminar Strongman seluruh dunia dengan penampilan baharu selepas berjaya menguruskan badan daripada 170kg kepada 155kg.

    DMYTRO KHALADZHI

    DMYTRO KHALADZHI

    Dmytro Khaladzhi

    Berbeza pula dengan kisah lelaki Ukraine berusia 40 tahun itu yang mencetuskan fenomena dunia apabila cuba membuktikan kekuatan diri dengan aktiviti tidak masuk akal termasuk mendukung kuda dewasa, membiarkan truk melanggar badannya dan membengkokkan cerucuk keluli menggunakan gigi.

    Ada beberapa video tentang aksinya tular dalam media sosial mendapat perhatian netizen. Aksi selamba memaku menggunakan tangan turut menjadi trending dan memegang 63 rekod dunia Guinness World Record.

    Juara Ukrainian Drug-free Powerlifting Federation 2009 itu memulakan zaman kanak-kanak agak tragis apabila 35 peratus badannya melecur teruk akibat terkena air panas ketika usia empat tahun dan terpaksa menjalani tujuh pembedahan serta 12 transfusi darah.

    Pemegang watak utama dalam filem aksi, Strong Ivan itu pernah menerima anugerah The Golden Pen of Rus 2010 atas beberapa artikel berkaitan atlet terkenal selain pernah mencatat rekod terbaik – mengangkat paip seberat 1,022 kg selama 12.5 saat.

    Sumber

  • Sanggup datang Malaysia demi khatam tadabbur My #QuranTime

    Sanggup datang Malaysia demi khatam tadabbur My #QuranTime

    Pengiran Siti Awa bersama suaminya sanggup hadir ke Malaysia bagi menyokong Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0.

    Pengiran Siti Awa bersama suaminya sanggup hadir ke Malaysia bagi menyokong Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0.

    PUTRAJAYA – Demi Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0, sepasang suami isteri dari Brunei sanggup terbang ke Malaysia semata-mata ingin menyatakan sokongan mereka.

    Pengiran Siti Awa Pengiran Bakar berkata, dia dan suami, Aslan Damit merupakan peminat setia program My #QuranTime yang disiarkan di TV Alhijrah bermula 8 Jun 2020.

    Justeru katanya, setelah mengetahui tentang penganjuran acara khatam tadabbur tersebut pada Sabtu, mereka berdua nekad untuk hadir.

    “Kami memang mengikuti program ini dari awal disebabkan di Brunei juga ada siaran TV Alhijrah.

    “Banyak segmen yang diperkenalkan dalam rancangan tersebut termasuk bacaan al-Quran daripada qari terkenal, ajaran tajwid dan tadabbur.

    “Mungkin juga disebabkan penggunaan bahasa yang santai, lebih mudah untuk kami fahami maksud yang nak disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0. di sini pada Sabtu.

    Pengiran Siti Awa juga mengakui teruja apabila mengetahui program berkonsepkan keagamaan itu akan diteruskan untuk musim akan datang.

    “Diharapkan rancangan ini akan memberi impak positif bukan sahaja untuk seluruh rakyat Malaysia, malah berupaya memberi manfaat kepada lebih ramai umat Islam di luar sana,” luahnya.

    Pasangan itu baru-baru ini turut menyumbang dana lebih RM3,000 melalui Tabung Gerakan Ummah.

    Sumber

  • Garang bawa tuah buat Ahmad

    Garang bawa tuah buat Ahmad

    UJIAN cukup berat berdepan masalah polio (poliomyelitis) akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat sedikit pun tidak menghalang Ahmad Maembong untuk beraksi cemerlang.

    Siapa sangka, dilahirkan pra matang dan berdepan komplikasi angin pasang, Ahmad pada zaman kanak-kanaknya juga pernah diserang demam panas sehingga memberi kesan kepada saraf kaki.

    Pun begitu, jiwa anak ke-10 daripada 11 beradik itu ternyata kental. Sikap happy go lucky terserlah bersama adik-beradiknya yang dikongsikan dalam media sosial tidak menggambarkan adik pelakon terkenal, Emma Membong itu seorang pemuda serba kekurangan.

    Melihat lagaknya beraksi demi menjayakan filem tempatan bakal ditayangkan tidak lama lagi, jejaka berusia 26 tahun itu membuktikan dirinya mampu sebaris pelakon handalan.

    Kegigihan pelakon utama filem Garang tersebut dalam menguruskan diri dan melakukan aksi lagak ngeri sendiri membuktikan kecacatan bukannya penghalang untuknya terus bangkit menjadi insan yang memberi aspirasi.

    Di sebalik kejayaannya kini, pastinya bertaut isi hati yang dipendamkan. Bagaimana Ahmad mampu bertahan dengan kecaman dan kritikan masyarakat yang masih memandang rendah terhadap orang kelainan upaya (OKU)?

    Kepada wartawan e-Trend, Ahmad menjawab beberapa persoalan signifikan berhubung perkembangan karier terkini, apatah lagi penampilan baharunya selepas berjaya menurunkan berat badan lebih 20 kilogram (kg).

    e-Trend: Tahniah kerana Ahmad dipilih sebagai barisan pelakon utama dalam filem Garang yang akan ditayangkan pada 5 Disember nanti. Boleh kongsikan bagaimana Ahmad boleh terpilih untuk menjayakan filem itu?

    Ahmad: Alhamdulillah. Saya berterima kasih kepada Kan Varren, pengarah filem Garang. Beliau memilih saya untuk memegang watak Reza kerana mahukan seseorang pelakon kelainan upaya yang sudah biasa beraksi di depan kamera. Ini bukannya pertama kali saya berlakon memandangkan sebelum ini pernah membintangi dua filem arahan Mamat Khalid. Saya cukup teruja kerana diberi kepercayaan untuk berlakon dalam filem paling mencabar setakat ini bersama rakan OKU yang lain.

    KERJASAMA yang baik antara rakan pelakon dan mendapat sokongan padu keluarga mendorong Ahmad untuk terus berjaya dalam industri lakonan.

    KERJASAMA yang baik antara rakan pelakon dan mendapat sokongan padu keluarga mendorong Ahmad untuk terus berjaya dalam industri lakonan.

    e-Trend: Difahamkan, filem Garang itu adalah kemunculan pertama Ahmad sebagai pelakon utama. Apakah cabaran yang paling besar membuatkan Ahmad barangkali berasa putus asa sepanjang tempoh penggambaran?

    Ahmad: Sebenarnya saya hampir putus asa semasa hendak memulakan penggambaran apabila kerusi khas untuk acara lumba kerusi roda tidak muat kerana seat bersaiz 14. Selalunya saya pakai kerusi roda dengan seat saiz 16 sehingga 18 sahaja. Disebabkan tidak boleh duduk dalam kerusi yang memang ikut potongan badan, ketika itu rasa down sangat sedangkan saya perlu pastikan muat duduk di kerusi itu dalam tempoh tiga minggu sebelum penggambaran bermula. Lagi satu, saya memang tiada pengalaman untuk kawal stereng dan pada masa sama kena tolak kerusi roda yang berat sehingga pernah berlaku insiden jari tersepit. Saya rasa tidak biasa duduk di kerusi roda itu, selalu terbalik ke belakang sehingga kepala terhentak. Memang tidak dinafikan tempoh tiga minggu pertama cukup memberi ‘pengalaman’ buat diri. Tapi alhamdulillah saya boleh harungi semua itu dengan baik.

    e-Trend: Sekarang ini, penampilan Ahmad cukup berbeza, kelihatan lebih kurus berbanding sebelum kemunculan filem Garang. Apakah rahsia Ahmad yang berubah menjadi fit?

    Ahmad: Inspirasi menjadi kurus ini disebabkan keinginan saya mahu menjayakan filem itu sebaik mungkin. Saya nekad untuk menguruskan badan supaya boleh muat duduk di kerusi itu. Bukan senang nak kurus, tapi saya amalkan makan roti oat, air kosong dan kafein tanpa gula selama tempoh tiga minggu. Sebelum pilih menu itu, saya ada buat research dalam internet dan makanan paling mudah didapati adalah roti oat. Minuman kafein juga saya ambil tanpa gula untuk bakar lemak. Pada mulanya pernah rasa hendak pitam dan gastrik, tetapi saya tahan diri demi menjayakan filem ini. Syukur, berat asal lebih 90kg berjaya turun sehingga 65kg. Lepas berjaya kurus, saya teruskan amal pemakanan sihat supaya badan kekal fit untuk persediaan rezeki lain selepas ini. (seloroh)

    e-Trend: Bagaimana dengan sokongan keluarga? Siapa dalam kalangan adik-beradik yang paling banyak memberikan dorongan dan tunjuk ajar?

    Ahmad: Tidak dinafikan ketika down dalam tempoh tiga minggu sebelum penggambaran, keluarga banyak beri kata-kata semangat dan membakar jiwa untuk saya lebih kuat. Kak Emma banyak bantu beri dorongan dan tunjuk ajar untuk saya menghayati dua watak berbeza daripada seorang yang pendiam kepada seorang yang bersosial. Pada mulanya saya sukar menjiwai watak, tetapi apabila serapkan watak Reza dalam diri, akhirnya saya boleh bawa peranan dengan baik dan melakukan aksi lagak ngeri dengan sendiri walaupun serba kekurangan.

    AKSI Ahmad dalam filem Garang.

    AKSI Ahmad dalam filem Garang.

    e-Trend: Saya difahamkan, Ahmad sendiri menyuarakan hasrat untuk membuat aksi lagak ngeri sendiri meskipun ada pelakon stunt disediakan? Mengapa mengambil tindakan sedemikian?

    Ahmad: Saya sebenarnya pertama kali memegang watak utama yang banyak aksi mencabar. Saya cuba untuk menguji limit diri dalam beberapa aksi kerana mahu membuktikan walaupun saya OKU tetapi mampu buat aksi sendiri tanpa khidmat stuntman. Bagi saya, semua orang sama sahaja, cuma kekurangan masing-masing yang berbeza.

    Mungkin pelakon lain boleh berjalan normal tetapi tidak berani buat aksi lagak ngeri tetapi saya cuba sendiri. Setiap orang ada limit masing-masing bahkan saya tidak rendah diri dengan kekurangan yang ada. Kebanyakan dialog yang ada pun saya cari sendiri bagi menyedapkan ayat. Kalau diberi peluang untuk berlakon lagi, saya mahukan watak gengster untuk cabar diri pada masa akan datang.

    e-Trend: Bagaimana keterlibatan Ahmad dalam filem itu mampu memberikan inspirasi kepada golongan kelainan upaya di luar sana?

    Ahmad: Pada mulanya, saya tidak terlepas berdepan kecaman dan kritikan orang ramai yang kononnya kata OKU tidak layak menjadi hero dalam filem. Isu layak atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting bagaimana kita menyampaikan sesuatu watak. Seperti watak Reza ini yang seorang OKU, sepatutnya OKU yang lebih sesuai melakonkannya sebab bagi saya, orang normal tidak tahu bagaimana struggle kami untuk teruskan hidup.

    Tiada timbul isu pandang rendah terhadap golongan OKU apabila pengarah cuba mengangkat inspirasi OKU dalam filem ini. Bahkan bagi saya, filem ini akan membuka mata semua terhadap kewujudan orang seperti kami yang mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu menjadi atlet negara jika diberikan perhatian sewajarnya. Filem ini juga mengajar kita supaya jangan cepat mengalah dan cuba sebaik mungkin untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Bukan setakat pengajaran kepada diri, tetapi boleh memberikan satu harapan buat OKU.

    Sumber

  • Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 tarik 8,000 peserta

    Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 tarik 8,000 peserta

    PUTRAJAYA – Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang julung kali diadakan tahun ini mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan seramai 8,000 peserta.

    Lebih menarik lagi, acara khatam tadabbur yang bertemakan ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah Bersama Al-Quran turut mengumpulkan bukan sahaja peserta dari seluruh Malaysia tetapi turut disertai oleh rakyat Brunei, Singapura dan Thailand.

    ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah bersama al-Quran’ diangkat sebagai tema program ini serta merupakan kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV Alhijrah.

    Antara pengisian lain dalam majlis khatam tadabbur itu adalah bacaan sinopsis 114 surah dalam al-Quran, berselawat dan mendengar tadabbur secara beramai-ramai antaranya surah al-Asr dan al-Nas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff ketika ditemui berkata, pihaknya begitu terharu dengan penyertaan luar jangka dalam program yang julung kali diadakan itu.

    Katanya, penyertaan luar jangka itu didorong oleh peranan yang sangat positif Sahabat Al-Quran dan Rumah Ngaji, di samping ‘kejayaan’ My #QuranTime yang bersiaran di TV Alhijrah sejak Jun 2020 itu sendiri.

    “Khatam al-Quran mungkin biasa tetapi khatam tadabbur halaman demi halaman merupakan pendekatan My #QuranTime untuk baca, faham dan amal.

    “Inilah menjadi misi kita. Kita melihat keterujaan pengikut di TV dan digital ikuti kelas sejam bersama al-Quran. Ini merupakan sesuatu yang luar biasa.

    “Sasaran kita untuk tadabbur tahap permulaan bagi orang ramai yang terdiri daripada suri rumah, eksekutif, warga emas dan pesara yang sebelum ini tiada pengalaman.

    “Ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka yang tekun mengikuti sejak awal hingga khatam 30 juzuk al-Quran,” katanya ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.

    Turut hadir, Pengasas WUIF merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

    Program itu juga diketuai lima pentadabbur dan 16 qari antaranya Dr Ahmad Sanusi Azmi (pentadabbur); Fazrul Fahmee Ismail (pentadabbur); Ahmad Tarmizi Abdul Rahman (qari); Ahmad Tirmizi Ali (qari) dan Dr Anuar Hasin (qari).

    Dalam pada itu, Marhaini berkata, My #QuranTime merupakan program baca dan tadabbur al-Quran tahap asas agar mudah difahami oleh masyarakat umum.

    Selain itu katanya, ia menjadi pemangkin masyarakat untuk mendekati al-Quran pada tahap lebih tinggi.

    “My #QuranTime merupakan program berinteraksi dengan al-Quran melalui tadabbur 114 surah/604 halaman yang bersiaran di TV Alhijrah dan di platform Facebook My #Quran Time dan YouTube My #QuranTime pada pukul 12 hingga 1 tengah hari setiap hari bermula 8 Jun 2020 hingga 7 Oktober 2022 lalu,” katanya.

    Program sejam bersama al-Quran (Baca, Faham & Amal) setiap hari amat penting dalam memupuk kerangka fikir dan sistem operasi diri berlandaskan al-Quran dan Hadis. Ini selari dengan misi WUIF, ‘MengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah’ katanya.

    Tambahnya, 7 Oktober 2022 merupakan hari dan surah terakhir ditadabbur pada My #QuranTime yang bersiaran sebanyak 838 episod.

    Sumber