Cara Rasulullah SAW menzahirkan cinta

Ramai orang sebenarnya baik, namun sedih sekali ramai juga yang tidak pandai menzahirkannya kebaikannya. Ramai pasangan yang saling mencintai antara satu sama lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Seolah-olah cinta mereka dibungkus rapi dan dikuburkan dalam sudut hati yang paling dalam.

Sehingga natijahnya kedua-dua insan yang menyayangi menderita, bersedih, menangis dan meraung kerana akhirnya semakin jauh dan terpisah. Saling mencintai malah teramat cinta telah bertukar menjadi membenci sebegitu benci sehingga tidak nampak walaupun satu kebaikan lagi.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Kebencian itu telah menjadi hijab untuk melihat kebaikan pasangan. Yang ternampak hanya kelemahan demi kelemahan sedangkan manusia mana yang tiada kelemahan. Kebencian itu menular menjadi barah yang memakan percintaan seterusnya menjadikan diri semakin mati dalam melayari bahtera percintaan. Hanya menunggu sedikit pukulan ombak maka karamlah bahtera perkahwinan di tengah pelayaran sebelum sampai ke destinasi yang ingin digapai.

Masalah ini berpunca daripada diri kita yang tidak mencintai Nabi SAW dengan hakikat sebenarnya. Orang yang teramat cinta kepada Nabi SAW maka seluruh kehidupannya sentiasa mencontohi akhlak Nabi SAW.

Akhlak Nabi SAW sebagai suami yang boleh dicontohi;

1. Paling baik kepada keluarganya

Nabi SAW membuat segala kerja rumah ketika berada di rumah. Nabi SAW merupakan orang yang paling rajin ketika berada di rumah. Hinggakan baju dan kasut yang koyak beliau jahit sendiri.

2. Sentiasa makan berjemaah

Minum dari tempat isterinya minum. Makan sebekas dan sehingga licin. Sangat menghargai makanan anugerah tuhan. Membuat hati orang yang memasak menjadi gembira, tidak mengkritik makanan walau terjumpa rambut dalam makanan.

3. Ketika isteri Nabi SAW membuatnya marah

Baginda tetap boleh melihat dan menyebut kebaikan isterinya. Kadangkala hanya berdiam, mendoakan dan memanggil isterinya dengan panggilan yang mulia dan disukai oleh isterinya.

4. Menerima kekurangan pada isteri

Walaupun baginda SAW manusia paling sempurna dan tiada manusia sepertinya. Baginda SAW sentiasa memaafkan itulah sifat kekasih Allah SWT. Baginda SAW manusia yang paling sempurna.

5. Sentiasa berbaring di atas ribaan isteri

Nabi SAW tidur bersama dalam selimut ketika isteri didatangi haid dan membersihkan darah haid isteri yang menitik di lantai. Akhlak seperti ini benar-benar membuatkan hati isteri rasa tersentuh dan dapat merasai benar-benar dihargai.

6. Sentiasa meminta maaf kepada isterinya

Walaupun baginda tidak melakukan kesalahan dan sentiasa dengan sabar menerangkan sebab segala tindakannya. Baginda SAW tidak perlu berbuat begitu kerana baginda adalah seorang Rasul. Baginda pernah berkata ini salah saya kepada isterinya walaupun Baginda SAW tidak mungkin salah.

7. Sentiasa menghiasi wajah dengan senyuman

Abdullah ibnu Haris ra berkata aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak senyum berbanding Nabi Muhammad SAW.

8. Nabi SAW saat bersalam

Atau pegang tangan tidak akan menarik tangan sehingga orang itu lepaskan. Tidak akan mengalihkan telinga sehingga orang itu habis bercakap. Yakni Baginda seorang pendengar yang teramat baik. Baginda tidak akan biarkan orang itu berlalu tanpa Baginda SAW dapat membantu menyelesaikan.

Amalan paling utama ialah kedua-dua pasangan sentisa menjaga solat. Rasulullah SAW apabila mendengar azan tanpa berlengah akan terus ke masjid. Utamakan Allah dan Rasul serta perjuangan agama dalam segala urusan. Allah SWT pasti akan memelihara sesebuah keluarga itu. Reda Allah SWT pasti akan menjadikan segalanya menjadi sempurna dan baik.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *