CAPITAL A Berhad telah menerbangkan 100 juta pelanggan melalui rangkaian ketersambungan penerbangan AirAsia sejak industri pelancongan kembali beroperasi sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkembangan itu menunjukkan rangkaian pelanggan Capital A Berhad adalah kukuh.
“Rangkaian pelanggan yang berharga ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditawarkan oleh agensi pelancongan dalam talian (OTA) selain airasia Super App.
“Ini kerana kami adalah satu-satunya aplikasi super kembara yang juga memiliki sebuah syarikat penerbangan.
“Dengan pemulihan industri pelancongan dan kebolehan airasia Super App sebagai sebuah OTA memperkukuh platform tempahan hotel kami adalah penting untuk memperoleh serta memenuhi permintaan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tandatangan Kerjasama airasia Super App dengan 50 rakan kongsi utama perhotelan pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo dan Ketua Pegawai Komersial airasia Super App, Tan Mai Yin.
Dalam pada itu, tambah beliau, sebagai OTA yang memiliki syarikat penerbangan, ia membolehkan Capital A menawarkan produk seperti SNAP iaitu kombinasi tempahan penerbangan dan hotel kami.
“Selain ia juga mewujudkan pengambilan yang lebih baik untuk rakan kongsi hotel serta memberikan pengalaman tempahan yang lebih baik kepada pelancong,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, setakat ini platform tempahan hotel airasia Super App mempunyai lebih 700,000 hotel tersenarai dengan sekurang-kurangnya 3,000 rakan kongsi hotel memfokuskan kepada rantau ASEAN.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A (tengah), dan Amanda Woo (penghujung kiri) bergambar bersama 50 rakan kongsi perhotelan di majlis tandatangan airasia hotels pada Selasa.
Sebelum itu, pada majlis terbabit, Capital A Bhd menerusi airasia Super App menandatangani kerjasama dengan rakan kongsi daripada 50 kumpulan perhotelan terkemuka dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, kerjasama itu bagi mengukuhkan lagi kedudukan AirAsia Super App sebagai sebuah platform aplikasi super kembara dan gaya hidup paling pesat berkembang di rantau ini.
“Kerjasama ini bakal memberikan inventori hotel yang besar kepada ‘airasia hotels’ seterusnya menyediakan pengguna aplikasi itu lebih kemudahan dan nilai dengan pelbagai pilihan hotel mengikut bajet mereka melalui airasia Super App.
“Sebagai sebuah platform tempahan hotel, airasia Super App menawarkan lebih 700,000 pilihan hotel di seluruh dunia kepada pengguna dan keupayaan untuk memperoleh serta menebus mata ganjaran airasia.
“Selain menggandingkan tempahan penerbangan dan hotel mereka dalam satu transaksi melalui SNAP iaitu kombinasi tempahan penerbangan serta hotel,” ujarnya.
Sementara itu, Amanda menjelaskan platform tempahan hotel airasia Super App juga akan menjamin harga hotel terbaik terhadap platformnya melalui skim ‘Jaminan Harga Terbaik’ yang akan dilancarkan tidak lama lagi selain kadar istimewa untuk ahli airasia.