Peluang Menang RM1 Juta! Calpis Soda OIAM Kini Mencari Bintang Seterusnya

Program realiti nyanyian yang paling dinanti-nantikan, Calpis Soda One In A Million (OIAM), kini kembali dengan musim yang lebih sengit dan penuh cabaran.

Sebagai platform yang telah melahirkan bintang-bintang besar dalam industri muzik Malaysia, Indonesia, dan Singapura, OIAM terus menarik perhatian pencinta muzik dari pelbagai lapisan masyarakat. Setelah selesai mengadakan uji bakat pertama di Johor pada 2 dan 3 November 2024, kini giliran Sabah dan Pulau Pinang untuk meriah dengan bakat-bakat baru yang bakal menyertai cabaran musim ini.

Bagi Sarah Ismail, salah seorang juri tetap OIAM, uji bakat di Johor memberikan pengajaran berharga tentang pentingnya persediaan yang mantap. Sarah mengakui bahawa sambutan pada hari pertama agak mengecewakan, dengan ramai peserta yang datang tanpa persediaan yang cukup. “Sambutan hari pertama kurang memuaskan – ramai yang datang tanpa persediaan dan sekadar ingin cuba nasib,” kata Sarah. Menurut beliau, ramai peserta tidak menunjukkan pengetahuan yang mendalam mengenai pertandingan ini dan gagal untuk mengubah tempo lagu, satu elemen asas dalam nyanyian yang sangat penting.

“Tempo is standard and the basic of singing,” jelas Sarah dengan penuh tegas. Beliau juga mengingatkan bahawa uji bakat ini bukan tempat untuk bersenang-senang, tetapi satu platform untuk mencari bakat yang benar-benar berkualiti. “Kami ingin lihat kredibiliti peserta dalam membawakan lagu yang berlainan tempo. Ini bukan sekadar tentang vokal yang bagus, tetapi juga keberanian dan keyakinan diri,” tambah Sarah. Menurutnya, peserta yang berjaya dalam OIAM adalah mereka yang dapat mengendalikan pelbagai genre lagu dan bersedia untuk menunjukkan kelainan dalam setiap tugasan yang diberikan.

Dengan lokasi seterusnya di Sabah dan Pulau Pinang pada 9 dan 10 November 2024, Sarah turut menyampaikan pesanan istimewa kepada para peserta yang akan datang mencuba nasib. “Untuk orang Sabah, saya tak sabar nak melihat bakat orang-orang Sabah. Saya percaya Sabah mempunyai ramai bakat yang bagus,” ujar Sarah dengan penuh semangat. Beliau mengharapkan agar peserta dari Sabah dapat menunjukkan bakat yang dapat membuktikan bahawa negeri tersebut masih relevan dalam mencipta bintang baru dalam industri muzik.

Manakala, bagi peserta dari Pulau Pinang, Sarah turut mengingatkan mereka agar bersedia dengan persediaan yang terbaik. “Setiap negeri ada ‘tekstur’ berbeza. Untuk orang Penang, dah bersedia ke? Hantarlah wakil yang paling berbakat!” katanya.

Bagi mereka yang ingin mencuba nasib, Calpis Soda One In A Million terbuka kepada semua individu berusia 15 tahun ke atas dari Malaysia serta negara jiran. Peserta boleh menyertai uji bakat secara solo, duo, atau kumpulan. Bagi yang mempunyai lagu ciptaan sendiri, program ini juga memberi ruang kepada mereka untuk menunjukkan kreativiti mereka, selagi tidak terikat dengan kontrak rakaman.

Calpis Soda OIAM

Selain uji bakat secara langsung di Sabah dan Pulau Pinang, peserta juga boleh mengambil bahagian dalam uji bakat dalam talian melalui platform TikTok. Peserta yang berminat hanya perlu memuat naik video nyanyian berdurasi satu minit dengan tanda pagar #CalpisSodaOIAMTV3 dari 1 hingga 17 November 2024.

Uji bakat ini memberi peluang kepada mereka yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan bakat dan kebolehan mereka, berpotensi menjadi bintang dalam Calpis Soda One In A Million. Bukan sekadar peluang untuk menonjolkan bakat, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk membawa mereka ke pentas lebih besar dan melebarkan sayap dalam industri hiburan tanah air.

Bagi para peserta yang berjaya menempuh uji bakat dan melepasi cabaran seterusnya, hadiah utama berjumlah RM1 juta menanti! Kejayaan dalam pertandingan ini bukan sahaja akan menjanjikan kemasyhuran tetapi juga peluang untuk mencipta legasi dalam dunia muzik. Namun, hanya satu bintang yang akan dinobatkan sebagai juara OIAM 2024.

“Calpis Soda One In A Million adalah lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian. Ia adalah perjalanan mencari bakat sejati yang dapat memberikan impak besar dalam industri muzik,” kata Sarah. Beliau menekankan bahawa peserta yang bersedia untuk mencabar diri dan menunjukkan kelainan dalam setiap persembahan adalah mereka yang berpotensi untuk membawa pulang gelaran juara.

Bagi anda yang berminat untuk menyertai uji bakat OIAM, pastikan anda tidak melepaskan peluang ini. Uji bakat terbuka akan diteruskan di Sabah pada 9 dan 10 November 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) dan di Pulau Pinang di Hotel Atrium, Sunshine Central Penang. Jangan lupa, ini adalah peluang anda untuk tampil dan menunjukkan bakat terbaik di hadapan para juri berkaliber serta meraih gelaran sebagai bintang muzik yang seterusnya.

Ikuti perkembangan terkini tentang Calpis Soda One In A Million di Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok @TV3Malaysia untuk maklumat lanjut dan keterujaan program realiti nyanyian ini. Segera daftar dan siapkan diri anda untuk uji bakat seterusnya. Mungkin inilah peluang anda untuk menjadi bintang bernilai satu juta ringgit!