BNM turunkan kadar faedah

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, kadar terendah sejak tahun 2004.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2 peratus dan 1.50 peratus.

“Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif pada tahun ini,” kata bank pusat.

Menurut BNM, pengurangan OPR memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

“MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan. BNM akan terus menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” kata bank pusat.

Walaupun paras terendah dijangka berlaku pada suku kedua, kelemahan menyeluruh dalam pasaran pekerja dan sikap isi rumah dan perniagaan yang berhati-hati boleh menjejaskan pemulihan pada masa depan.

“Beberapa ekonomi utama telah mula melonggarkan langkah-langkah pembendungan pandemik Covid-19 yang membawa kepada penyambungan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur. Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko terus tinggi.

“Risiko prospek global menjadi lebih perlahan masih wujud, terutamanya jika pandemik kembali menular dan memerlukan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan,” kata bank pusat.

Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi menguncup dengan ketara pada suku kedua tahun ini disebabkan oleh langkah-langkah yang diperkenalkan untuk membendung pandemik pada peringkat global dan dalam negeri.

“Susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan berperingkat sejak awal bulan Mei, kegiatan ekonomi telah mulai pulih daripada paras terendah pada suku kedua. Pakej rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan terus memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi,” kata BNM.

Ekonomi dalam negeri yang diunjurkan bertambah baik dijangka terus disokong oleh pemulihan keadaan pertumbuhan global secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, kadar dan kekuatan pemulihan masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca daripada faktor dalam dan luar negeri.

“Hal ini termasuk sekiranya wabak pandemik kembali menular yang menyebabkan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan, keadaan pasaran buruh yang semakin lemah, dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan,” kata bank pusat.

Sementara itu, BNM berkata, tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana pada 2020 apabila purata inflasi keseluruhan berkemungkinan menjadi negatif pada tahun ini, mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang jauh lebih rendah

“Risiko penurunan harga yang menyeluruh dan berterusan adalah terhad apabila kegiatan ekonomi diteruskan semula dan keadaan permintaan bertambah baik. Namun begitu, prospek inflasi masih dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas diunjurkan rendah dan pada kadar yang dijangkakan,” kata bank pusat. – Bernama



Sumber