Bella Astillah Sertai Konsert Holografik Glenn Fredly di Kuala Lumpur: Rindu Terubat Dalam Irama

Alunan suara Glenn Fredly terus menjadi siulan meskipun jasadnya sudah lama tiada. Lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya masih menjadi nadi kepada pencinta muzik seluruh Nusantara, termasuk penyanyi dan pelakon, Bella Astillah. Baginya, kehilangan Glenn adalah satu detik pilu buat industri muzik serantau, apatah lagi beliau merupakan antara individu yang paling banyak memberi inspirasi dalam perjalanan seninya.

Menurut Bella, Glenn merupakan antara penyanyi yang paling dikaguminya sejak kecil lagi. Rangkaian lagu-lagu seperti “Kasih Putih”, “Januari” dan “Akhir Cerita Cinta” bukan sahaja melekat dalam hati, malah menjadi rujukan buat ramai penyanyi masa kini. Gaya muziknya yang berbeza dan penuh emosi menjadikan Glenn sebagai sosok luar biasa yang sukar dicari ganti.

Kini, Bella merasa bertuah apabila dijemput menyertai barisan artis dalam konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang akan berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur. Turut serta dalam konsert istimewa ini ialah The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson. Nadira Adnan yang juga kelahiran Malaysia sudah lama menempa nama di Indonesia, manakala Matthew dikenali dengan muzik R&B dan pop jazz selain aktif dalam penerbitan album.

Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kedua pementasan konsert ini selepas sambutan luar biasa di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu. Menerusi teknologi hologram, Glenn seolah-olah ‘dihidupkan’ kembali di pentas, membuktikan bahawa kasih sayang dan penghormatan terhadap legasinya masih utuh. Para penonton bakal dibawa menyusuri dua jam setengah perjalanan seni yang penuh emosi, kenangan dan keindahan muzik.

Bagi Bella, konsert ini adalah satu penghormatan yang besar buat dirinya. Beliau mengakui teruja untuk berkongsi pentas dengan nama-nama besar serta terlibat dalam acara muzik holografik pertama seumpamanya di Malaysia. Walaupun belum bersedia untuk mendedahkan bentuk persembahannya, Bella mengajak para peminat untuk hadir dan menyaksikan sendiri keunikan persembahan malam itu.

Selain menjadi acara memperingati Glenn Fredly, konsert ini juga menjadi penanda aras kepada kemajuan teknologi dalam industri muzik Asia Tenggara. Ia membuktikan bahawa inovasi digital boleh menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini. Peminat bukan sahaja akan menyanyi dan menari, tetapi turut merasai pengalaman baharu yang penuh makna dan nostalgia.

Menariknya, penganjur turut menawarkan beberapa promosi eksklusif kepada peminat. Tiket couple boleh didapati pada harga RM266 sahaja, manakala pembelian tiket individu layak menerima diskaun 30 peratus dengan menggunakan kod promosi seperti GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh.

Tiket bagi Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia boleh dibeli di laman web www.ticket2u.com/GlennHologram. Untuk maklumat lanjut, ikuti perkembangan terkini melalui saluran media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia.