Penyanyi baharu berbakat, Syed Iqbal kini secara rasmi bernaung di bawah label Islamik terkemuka, Masyhur, milik Universal Music Malaysia dalam langkah besar memperkukuh kerjaya muziknya. Keputusan ini menandakan permulaan baharu buat Syed Iqbal yang tampil dengan karya sulungnya berjudul “Basstamam”, sebuah lagu penuh emosi dan ketenangan.
“Basstamam” mengetengahkan tema kebahagiaan dan ketenteraman jiwa dalam menghadapi tekanan hidup, sesuai dengan identiti label Masyhur yang memperjuangkan mesej positif dan spiritual. Lagu ini dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, manakala liriknya pula ditulis oleh Abdulkarim Al Ali bersama Wan Saleh. Ia menyampaikan mesej kasih sayang terhadap insan tersayang baik keluarga, sahabat mahupun pasangan agar mereka dapat menjalani hidup dengan lebih damai dan lapang dada.
Menurut Syed Iqbal, pengalaman merakam lagu ini sangat bermakna. “Saya mulanya rasa sedikit gementar, takut kalau tak dapat ikut tempo semasa rakaman. Tapi Alhamdulillah, prosesnya sangat lancar. Malah, saya hanya ambil dua jam untuk rakam keseluruhan lagu,” kongsi beliau yang penuh teruja.
Dengan susunan muzik menenangkan oleh Wan Saleh serta penerbitan bersama Amir Hufaz dan Wan Saleh, “Basstamam” menawarkan bunyian lembut yang menyentuh kalbu sesuai untuk didengar dalam suasana santai atau ketika mencari kedamaian diri.
Mengenai mesej lagu ini, Syed Iqbal berkata, “Saya harap pendengar bukan sekadar dengar, tapi benar-benar rasa apa yang ingin saya sampaikan. Semoga mereka dapat menemui makna ‘basstamam’ itu dalam hati masing-masing dan lagu ini menjadi peneman saat diuji.”
Video muzik rasmi “Basstamam” turut menjalani penggambaran mencabar yang dilakukan di kawasan berbukit, namun pengalaman itu sangat bermakna buat Syed Iqbal. “Kami mula shooting dari awal pagi hingga ke petang, mendaki bukit bersama kru yang sangat supportive. Semangat itu membuatkan saya berikan yang terbaik,” katanya lagi.
Penghasilan lagu ini turut mendapat sentuhan tenaga produksi yang berdedikasi dan kreatif, yang menjadi tulang belakang kepada kelahiran karya penuh makna ini. “Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi pasukan yang profesional, mudah berbincang dan sangat ikhlas,” tambahnya.
“Basstamam” secara rasmi boleh distrim di semua platform digital bermula 30 Mei 2025, dan video muziknya kini tersedia di saluran YouTube rasmi Masyhur. Menariknya, lagu ini telah mencipta fenomena tersendiri di media sosial sebelum pelancarannya apabila lebih 20,000 video dicipta di TikTok dan lebih 2,000 ciptaan di Instagram.
Trend viral yang dikenali sebagai ‘Wahai Bulan Purnama’ turut tercetus secara organik, di mana pengguna berkongsi perbezaan diri mereka dahulu dan kini, sebagai simbol perubahan ke arah kehidupan lebih positif dan harmoni.
“Harapan saya, semoga ‘Basstamam’ mampu menyentuh hati ramai, menyebarkan ketenangan serta menjadi cahaya kecil dalam perjalanan sesiapa sahaja yang mendengarnya,” ujar Syed Iqbal mengakhiri bicara.