AZIMAT: Mistik Azimat dan Pertarungan Jiwa Seorang Gadis

Apabila membicarakan tentang filem pilihan penonton, genre seram masih kekal sebagai kegemaran ramai. Dorongan inilah yang menggerakkan syarikat produksi dari Sarawak, Faradale Media-M Sdn. Bhd., untuk menghasilkan Azimat, sebuah filem seram psikologi yang menampilkan gabungan elemen mistik tempatan dan pergolakan emosi manusia. Penerbitnya, Kay Rezza Karim, menjelaskan bahawa Azimat memiliki keunikan tersendiri yang jarang ditemukan dalam filem seram lain, iaitu penggabungan unsur kepercayaan tradisional dengan konflik jiwa yang mendalam dan mencengkam.

Menurut Kay Rezza, idea menghasilkan Azimat mula tercetus pada tahun 2019 hasil perbincangan bersama dua rakan penulis yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan, trauma dan takdir saling berkait dalam kehidupan manusia. Mereka ingin mencipta sebuah filem seram yang bukan sekadar menimbulkan rasa takut, tetapi turut mencerminkan sisi emosi serta kegelisahan seseorang yang berada di ambang keputusasaan.

Azimat mengisahkan Hanna, seorang gadis yang mempercayai bahawa seutas rantai azimat mampu mengubah nasib malangnya selepas bertemu dengan seorang bomoh Iban. Lebih menarik, pembikinan filem ini sepenuhnya melibatkan bakat anak jati Sarawak, termasuk barisan pelakon Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud. Dialog filem ini juga menggunakan bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa Inggeris bagi mengekalkan keaslian dan identiti unik. Pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran bukan sahaja kerana keindahan visualnya, tetapi kerana nilai sinematiknya yang kaya dengan budaya serta estetika tersendiri, sekali gus menonjolkan Sarawak sebagai hab penghasilan karya seni berkualiti.

Kay Rezza yang turut bertindak sebagai pengarah menjelaskan bahawa meskipun Azimat merupakan karya fiksyen, ia diilhamkan daripada kisah-kisah nyata dalam masyarakat, khususnya melibatkan kepercayaan terhadap azimat dan kesan psikologi terhadap individu yang berdepan trauma. Sepanjang 37 hari penggambaran, pasukan produksi turut mengalami beberapa kejadian pelik seperti bunyi-bunyi aneh, gangguan peralatan dan pengalaman mistik yang dialami beberapa kru. Namun, penggambaran tetap berjalan lancar dan Kay Rezza menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang berharga, seolah-olah ‘menghidupkan’ suasana mistik filem ke alam nyata.

Azimat bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November 2025. Kay Rezza berharap karya terbaharunya ini mendapat sambutan hangat dengan kelainan yang ditampilkan berbanding filem seram lain. Beliau juga berharap Azimat bukan sahaja menimbulkan rasa takut, tetapi turut menyentuh hati penonton melalui mesej tentang harapan, pilihan hidup dan akibat daripada setiap keputusan yang dibuat.