Avana Prihatin bantu 10,000 usahawan PKS

Platform perdagangan sosial, Avana menyasarkan penyertaan 10,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyertai kempen Avana Prihatin yang dianjurkan bermula dari 15 Julai hingga 14 Ogos 2020.

Pengurus Pemasarannya, Illan Abdullah berkata, kempen itu memfokuskan untuk membantu usahawan mentransformasikan perniagaan mereka kepada digital selain menyediakan platform dan sistem digital secara percuma kepada mereka.

“Kami menyediakan sistem premium dan platform digital bagi membantu mereka yang memerlukan serta kurang berkemampuan, terutamanya kepada PKS yang masih baharu dalam pendigitalan perniagaan.

“Kami yakin pertumbuhan perdagangan sosial akan meningkat dengan lebih ketara dan pesat pada masa depan dengan adanya bantuan menerusi kempen ini,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Beliau berkata, melalui kempen Avana Prihatin pihaknya akan membantu PKS menukar media sosial menjadi bukan hanya platform promosi tetapi juga transaksi selain dapat mengurangkan kitaran jualan dan mengautomasikan proses jualan hujung ke hujung.

“Secara tidak langsung kempen ini membantu mengukuhkan perniagaan PKS dalam memastikan ekonomi domestik tidak ketinggalan.

“Justeru, kami menawarkan penyelesaian praktikal yang seterusnya dapat memberikan manfaat kepada peniaga dan pengguna Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Avana yakin penyertaan usahawan PKS dalam kempen berkenaan dapat membantu memacu ekonomi negara, sekali gus meletakkan sasaran yang tinggi dalam meningkatkan tempahan dan mempelbagaikan barangan serta perkhidmatan buatan Malaysia.

“Avana kini mempunyai 100,000 PKS dan kami menyasarkan jumlah ini akan meningkat tiga kali ganda dalam masa terdekat.

“Kami optimis ia dapat dicapai kerana didorong oleh penguasaan pasaran susulan permintaan tinggi yang kami terima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Avana dalam usaha menerokai pasaran Taiwan, Filipina dan Thailand menjelang akhir tahun ini.

“Buat masa ini, Avana beroperasi di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Banyak syarikat terkemuka daripada pelbagai sektor telah bersama Avana,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai Avana Prihatin boleh melayari laman web dan platform media sosial Avana.

Avana ialah penyelesaian e-dagang untuk membantu PKS mengembangkan perniagaan urus niaga dalam talian melalui laman web, telefon mudah alih dan media sosial.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2014 itu merupakan rakan rasmi Facebook dan Google.



Sumber