Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) telah menerima anugerah ‘Salute to Dealers’ 2025 daripada Ford Motor Company sebagai penghormatan atas sumbangan mereka dalam kerja kebajikan. Pengiktirafan ini diberikan kepada hanya enam pengedar di seluruh dunia, mengiktiraf usaha Auto ConneXion dalam pelaksanaan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selama lebih sedekad. Fokus utama mereka merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan warga emas, keselamatan makanan, dan pemuliharaan alam sekitar.
Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair, menyatakan bahawa penghargaan ini menjadi bukti komitmen mereka dalam menjalankan program CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Antara projek utama yang dijalankan ialah Projek Air Bersih, hasil kerjasama dengan MyFundAction bagi membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Gerik, Perak. Melalui inisiatif ini, 30 sukarelawan Auto ConneXion telah membantu memasang sistem tangki air lestari, memberi manfaat kepada 70 keluarga Orang Asli.
Selain itu, Auto ConneXion turut berganding bahu dengan The Lost Food Project dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan dan membantu golongan yang memerlukan. Dengan sumbangan sebanyak USD45,000 (kira-kira RM200,000), mereka telah menyediakan kira-kira 855,000 hidangan kepada komuniti yang kurang berkemampuan.

Dalam sektor kesihatan, Auto ConneXion memperkenalkan Ford Mobile Clinic dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy. Klinik bergerak ini menyediakan perkhidmatan kesihatan asas kepada masyarakat luar bandar serta mangsa banjir. Auto ConneXion menyumbangkan sebuah Ford Ranger untuk kegunaan program ini, manakala Ford Philanthropy memperuntukkan USD55,000 (kira-kira RM250,000) bagi pembangunan dan peralatan klinik bergerak tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,200 penerima menjelang 2025.
Auto ConneXion bersama Ford Philanthropy terus berusaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan bantuan yang diperlukan serta menyumbang kepada perubahan positif dalam kehidupan rakyat Malaysia.