ATLAS Vending & SWCorp Perluas Inisiatif Hijau dengan 50 ECOPOD Baharu di Seluruh Malaysia

Dalam satu langkah bersejarah ke arah Malaysia yang lebih hijau, ATLAS Vending, anak syarikat kepada Etika Sdn Bhd, bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat SW Corp di Cyberjaya. Langkah ini menyatukan dua peneraju nasional dengan misi bersama untuk memperluaskan infrastruktur kitar semula, memupuk tabiat lestari dalam kehidupan seharian, dan menjadikan gaya hidup hijau lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Di bawah perjanjian ini, SW Corp akan memudahkan penempatan 50 unit ECOPOD daripada ATLAS Vending. ECOPOD merupakan mesin kitar semula (Reverse Vending Machine) yang diiktiraf Guinness World Records sebagai mesin paling nipis di dunia, dilengkapi sistem pemampatan tin. ATLAS Vending juga akan bekerjasama dengan SW Corp untuk menempatkan unit ini di lokasi berimpak tinggi seperti pasar, hospital, universiti dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Dengan reka bentuk yang kompak dan praktikal, ECOPOD direka khas untuk kawasan yang sesak dan terhad ruang, menjadikan amalan kitar semula lebih mudah dan dapat dilaksanakan dalam rutin harian masyarakat. Berbeza dengan mesin kitar semula konvensional yang memerlukan ruang tambahan, ECOPOD menggabungkan fungsi mesin layan diri dan mesin kitar semula dalam satu struktur padat. Walaupun kecil, setiap unit mampu menampung sehingga 214 tin yang dimampatkan dan 70 botol pada satu masa, membuktikan bahawa reka bentuk pintar mampu memberikan kecekapan maksimum tanpa menjejaskan fungsi.

Mesin ECOPOD turut menawarkan pengalaman mesra pengguna di mana individu hanya perlu memasukkan nombor telefon bimbit mereka untuk mula mengitar semula dan menebus kredit. Bagi pengguna yang mengitar semula produk Etika, kredit ganjaran akan diterima serta-merta dan boleh ditebus melalui mesin layan diri ATLAS bersebelahan untuk mendapatkan minuman dengan harga diskaun. Inovasi ini menjadikan kitar semula bukan sahaja mudah, tetapi juga menyeronokkan dan memberi ganjaran kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd, Santharuban T. Sundaram berkata, kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memacu ekonomi kitaran Malaysia. Dengan menghubungkan aktiviti kitar semula secara langsung kepada rangkaian produk Etika, ECOPOD memudahkan rakyat mengamalkan gaya hidup lestari dalam kehidupan seharian. Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama adalah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengubah tabiat, meningkatkan kesedaran serta kadar kitar semula bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp, YBrs. Tuan Khalid Bin Mohamed menegaskan bahawa kolaborasi ini merupakan contoh terbaik kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kitar semula negara. Menurut beliau, ECOPOD menyediakan platform interaktif kepada masyarakat, terutamanya golongan muda, untuk memupuk amalan kitar semula dan menyokong aspirasi kelestarian Malaysia.

ECOPOD merupakan inovasi buatan Malaysia yang direka dan dibina sepenuhnya di dalam negara, membuktikan keupayaan tempatan dalam menghasilkan penyelesaian yang mampu menangani cabaran global. Dengan penempatan mesin-mesin ini di kawasan awam, ATLAS Vending dan SW Corp bukan sahaja menjadikan amalan kitar semula lebih mudah dicapai, malah memperkukuh sumbangan Malaysia terhadap agenda kelestarian negara.

Kerjasama ini turut selari dengan Rangka Kerja Kelestarian Plastik 2021–2030 yang menekankan penggabungan infrastruktur dengan penglibatan pengguna harian bagi membina tabiat kitar semula jangka panjang. Sejak diperkenalkan pada Mei 2025, ECOPOD telah menerima sambutan positif daripada masyarakat dan sektor korporat, sekaligus menetapkan penanda aras baharu bagi sistem kitar semula berasaskan ruang terhad. Dengan momentum ini, ATLAS dijangka mencapai sasaran penempatan 100 unit ECOPOD dalam tahun pertama pelaksanaannya.

Pemeterai MoU bersama SW Corp ini menjadi bukti komitmen berterusan Malaysia untuk mempercepatkan usaha kelestarian melalui inovasi, kerjasama strategik, serta memperkukuh peranan penyelesaian tempatan dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.

Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama ini, layari Facebook ATLAS Vending di: https://www.facebook.com/atlasasia.co/